MULA mencebur diri sebagai pengurus produksi secara sambilan selama setahun, minat Kamaruzzaman Nordin mengenai kerja belakang tabir makin bertambah. Sejak itu, dia meneruskan minat untuk mempelajari selok-belok penerbitan sesebuah drama. |
Katanya, banyak pengalaman dan kenangan pahit serta manis ditimba sejak lapan tahun menjalankan tugas pengurus produksi. Sebelum ini, dia pernah berkhidmat dengan agensi pengiklanan dan mempunyai kemahiran dari aspek penerbitan video korporat, iklan serta pemasaran.
“Sebenarnya tidak banyak beza tugas dulu dan kini. Dulu saya terbabit dalam penerbitan video korporat dan banyak berurusan dengan media cetak untuk pengiklanan. Berbanding sekarang, saya bertanggungjawab dalam penerbitan drama TV.
“Walaupun mempunyai pengalaman kerja selama 16 tahun dalam bidang pengiklanan dan pemasaran tetapi selepas satu tempoh, saya ingin beralih angin dengan mencari pengalaman kerja baru.
“Lalu saya menjadi pengurus produksi secara sambilan dan tidak sangka terus minat dan selesa dengan kerja ini sehingga sekarang. Jika diikutkan, banyak pengalaman yang ditempuhi.
“Selain menyesuaikan diri dengan jadual kerja tidak tentu masa, pengetahuan saya mengenai kerja produksi drama TV juga makin bertambah. Saya kini turut menjalankan tugas sebagai pegawai pemasaran yang memberi saya peluang untuk menguruskan urusan eksport dan import drama tempatan mahupun luar negara.
“Di samping itu, saya juga bertanggungjawab dalam menghasilkan iklan drama untuk promosi di akhbar. Cabaran saya kali ini, perlu bekerja mengejar masa dalam menguruskan penggambaran sesebuah drama dengan lancar.
“Saya turut bertanggungjawab mencari lokasi penggambaran, berurusan dengan artis dan menjaga semua kru produksi ketika kerja. Akibat masa kerja tidak menentu, saya pernah tidur hanya dua jam sebelum penggambaran bersambung semula.
“Buat masa ini, saya mahu teruskan minat saya dalam bidang ini,” katanya yang bercita-cita ingin menjadi produser.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: