BERBANDING pengalaman kerja menerusi drama lain sebelum ini, drama Dewi Di Sebalik Cermin memberi lebih cabaran kepada Othman Selamat sebagai jurukamera. Ini kerana dia perlu mengambil syot bayangan pelakon utama iaitu Rozita Che Wan yang banyak bermain emosi menerusi cermin. |
“Pada mula penggambaran ini dijalankan, ia memberikan cabaran pada saya untuk mengambil syot yang cantik bayangan Rozita dalam cermin. Wataknya banyak berinteraksi dengan cermin sehingga menggambarkan bayangan itu seolah-olah bernyawa.
“Sebagai jurukamera, teknik syot diambil secara langsung sebelum ditambah kesan khas pada bayangan itu yang hilang secara tiba-tiba. Ada ketika satu adegan depan cermin mengambil masa setengah jam. Untuk drama ini, saya melihat Rozita berhadapan dengan cabaran melakonkan dua watak serentak sehingga terpaksa bercakap seorang diri di hadapan cermin,” katanya.
Othman, 45, mula berkecimpung sebagai jurukamera sejak 1992. Sehingga kini, dia sudah menimba pengalaman kerja dengan lebih 20 produksi. Katanya, antara pengalaman mencabar melakukan penggambaran dalam hutan selama sebulan.
“Saya juga pernah terbabit dengan penggambaran program dokumentari. Pernah dulu, saya belajar mengambil syot haiwan dalam hutan dan ada Orang Asli yang panjat pokok tualang mencari madu lebah. Uniknya, dia melompat dari pokok ke pokok lain dengan bergayut pada dahan pokok itu itu.
“Berbanding program dokumentari, drama lebih relaks. Saya suka dengan kerja ini kerana sambil bekerja, saya seronok dapat melancong. Saya pernah terbabit dengan penggambaran di New Zealand pada 1995. Penggambaran di sana cantik kerana faktor cuaca dan pemandangan indah.
“Walaupun saya suka melancong tetapi fobia menaiki kapal terbang. Saya pernah melalui pengalaman ngeri ketika kapal terbang yang saya naiki bergegar hampir dua jam dan pernah juga berlaku satu kipas kapal terbang Fokker itu rosak secara tiba-tiba,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: