|
AKTOR kacak, Pierce Brosnan sinonim dengan watak James Bond. Empat kali melakonkan Bond menerusi Die Another Day pada 2002, The World Is Not Enough (1999), Tomorrow Never Dies (1997) dan Golden Eye (1995), Brosnan menjadi antara pelakon yang dikagumi ramai berikutan lakonan mantapnya itu. |
Berbanding karakter ejen perisikan, Brosnan juga sesuai membawakan watak romantik seperti The Thomas Crown Affair (1999) dan Laws Of Attraction (2004). Tahun lalu, Brosnan hanya muncul dengan filem muzikal, Mamma Mia!. Perkembangan terbaru, dia terbabit dengan filem bercorak keluarga iaitu The Greatest di samping pelakon Susan Sarandon, Carey Mulligan, Cheryl Cosenza dan Cheryl Alessio.
Menariknya, untuk filem ini, Brosnan juga bertanggungjawab sebagai penerbit eksekutif. Sebelum ini, dia pernah menjadi penerbit untuk filem The Nephew, The Thomas Crown Affair, The Match, Evelyn, Laws Of Attraction, The Matador dan Butterfly On A Wheel.
Untuk filem baru kali ini, dia tertarik kerana faktor skrip yang mengisahkan gadis remaja bermasalah hingga ibu bapa terpaksa berhadapan dengan kehilangan anak sendiri. Katanya, berlakon di bawah filem terbitan sendiri memberi kelebihan untuk dia memilih watak yang sesuai.
Bagaimanapun, cabaran filem ini mengingatkan Brosnan dengan kehidupan silam yang pernah kehilangan isteri tersayang, Cassandra Harris yang meninggal dunia pada 28 Disember 1991 akibat kanser ovari. Usia perkahwinan mereka bertahan selama 11 tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata, Sean Brosnan. Selepas peristiwa pahit itu, Brosnan memulakan hidup baru apabila berkahwin dengan aktres Keely Shaye Smith pada 4 Ogos 2001 dan mendapat dua anak.
“Watak kali ini memberi peluang kepada saya untuk menghayati karakter bapa dengan mendalam. Dalam kehidupan realiti, saya juga adalah bapa yang memahami tanggungjawab memberi kasih sayang kepada isteri dan anak.
“Pengalaman hidup yang lalu banyak membantu dalam melakonkan watak ini dengan berkesan. Sebenarnya, pengalaman pahit adalah sumber terbaik untuk meluahkan emosi pada watak ini. Untuk filem ini, saya selesa bekerja berseorangan tanpa ditemani anggota keluarga di lokasi penggambaran.
“Ini membantu saya agar bekerja dengan lebih produktif. Saya fikir filem ini membawa penonton berhadapan dengan kesedihan dalam hidup. Ia juga menekankan proses mententeramkan diri daripada perasaan berkecamuk. Walaupun perasaan sedih seseorang dapat dilihat pada ekspresi muka tetapi dia harus terima kenyataan dan bina hidup baru.
“Saya percaya lakonan yang mantap perlu mengikut kata naluri. Saya tidak pandai untuk berbincang kata naluri tetapi ketika berlatih bersama Susan untuk filem ini, kami mendapat keserasian. Susan terbuka untuk bercakap apa saja topik berbanding saya yang lebih suka berdiam diri.
“Begitu juga dengan Carey dan pengarah, Shana Feste yang komited menjalankan tugas masing-masing. Saya berharap lakonan saya kali ini dapat menonjol diri saya dengan baik dan memberi kepuasan pada penonton,” katanya.
Hingga kini, Brosnan, 55, mengakui dia bertuah kerana diberi kepercayaan melakonkan watak Bond yang melonjak namanya sebagai aktor popular di Hollywood. Selain The Greatest, dia juga terbabit dengan projek filem terbaru iaitu The Ghost dan Vanilla Gorilla.
Filem The Ghost arahan Roman Polanski mengetengahkan genre misteri thriller mengisahkan seorang penulis yang ditugaskan mengarang biografi bekas Perdana Menteri Britain akhirnya menemui rahsia di sebaliknya. Dalam Vanilla Gorilla pula Brosnan terbabit dalam usaha menyelamat gorila albino yang terancam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: