![]() DR ZUBIR (tengah) bersama barisan tenaga kerja dan pelakon Merempuh Karma. |
Penerbit sudah canang buat beberapa sambungan filem ini biarpun belum mula penggambaran
PADA tahun lalu, Secondlife Pictures melancarkan filem pertama mereka, Gentayangan, yang kini berada pada peringkat suntingan serta proses memasukkan kesan visual CGI.
Belumpun filem itu ditayangkan kepada umum, syarikat ini menghebahkan pula pembikinan filem kedua, Merempuh Karma.
Berbeza dengan genre produk pertama yang lebih berupa thriller dan seram, filem kedua pula dalam kategori aksi yang memaparkan realiti kongsi gelap dan jenayah ala mafia di Malaysia.
Filem terbabit dicanang sebagai bakal menyaksikan babak pergaduhan yang ‘menaikkan bulu roma’ dan selain ceritanya sendiri, Merempuh Karma dilihat gah dengan barisan pelakon pelbagai generasi.
Daripada Ahmad Yatim, Fauziah Nawi, Sidi Oraza, Rosyam Nor, Faizal Hussein hingga ke Hasnol Rahmat, Que Haidar, Raja Farah, Kathy Azian dan Liyana Jasmay, nama yang disenaraikan dianggap mempunyai daya penarik yang bukan sedikit.
Filem ini akan diarahkan Azhar Yunus yang sebelum ini banyak menghasilkan drama. Menggunakan peruntukan sekitar RM1.8 juta, filem ini akan memulakan pada 18 Mac ini di sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor. Sekiranya tiada aral melintang, Merempuh Karma juga bakal menyaksikan babaknya dirakam di London.
Khabarnya, filem ini akan dihasilkan dalam bentuk trilogi, dengan siri kedua dihasilkan terlebih dulu.
Kebanyakan pelakonnya pula bersetuju membintangi filem yang akan ditayangkan pada 2010 itu berikutan kehadiran beberapa nama besar dalam lakonan, dalam judul terbabit. Ahmad Yatim disebut antara punca mengapa sesetengah pelakon lain mengatakan ‘ya’ pada tawaran penerbitnya, Datuk Dr Zubir Yahya.
Liyana Jasmay umpamanya, menerima tawaran berkenaan sebaik saja dia mengetahui pelakon veteran yang juga tenaga pengajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam itu turut membintanginya.
"Apabila kita bekerja dengan pelakon yang hebat, secara tidak langsung ia akan dapat membantu lakonan kita sendiri. Kerana itu juga saya selalu bertanya pada pengarah atau produser, siapa pelakon lain yang turut menjayakan sesuatu filem ditawarkan kepada saya.
“Pesanan ini sendiri disampaikan abang Rosyam, ketika mula-mula berlakon dengannya dulu. Jadi sehingga sekarang, saya masih berpegang pada prinsip berkenaan," kata pelakon Histeria dan Maut ini.
Menurut pelakon berbakat berusia 20 tahun itu, dia sememangnya sentiasa mencari peluang mendalami dunia lakonan dan kesempatan ‘berguru’ bersama Ahmad Yatim nanti, dilihatnya sebagai peluang yang tidak harus dilepaskan begitu saja.
"Dia menjadi tenaga pengajar di Aswara, sedangkan saya pergi menuntut ilmu lakonan di tempat lain. Jadi, inilah masanya saya mengutip sedikit ilmu daripada pelakon hebat ini," kata Liyana yang mengaku sebagai penggemar filem mafia dan aksi ganas.
Dalam Merempuh Karma, dia bakal memegang watak Aqila, seorang gadis yang baru saja pulang daripada pengajiannya di Mesir. Buat pertama kalinya, Liyana akan tampil berjilbab, sesuai watak diberikan.
Dia mengaku amat teruja untuk muncul dengan watak amat berbeza.
Que Haidar yang akan menaiki pelakon pada 14 Februari ini pula amat terharu apabila mengetahui dirinya disenaraikan sebagai pelakon utama bagi sebuah filem yang mengetengahkan sebegitu ramai pelakon handalan tanah air.
"Ahmad Yatim ialah guru saya, manakala Sidi pula pelakon idola saya. Jadi, bodoh sangatlah jika saya tolak peluang beraksi di samping mereka," kata aktor muda ini yang akan mengikuti kelas lakonan bersama pelakon lain di bawah kendalian Fauziah Nawi, sebagai persediaan sebelum penggambaran bermula.
Manakala Rosyam pula mengaku, dia memang bersikap memilih untuk menerima tawaran berlakon sesebuah filem ketika ini. Atas alasan itu, sudah agak lama dia tidak membintangi sebarang judul selepas muncul sebagai bintang undangan dalam Estet, arahan Mamat Khalid, pada tahun lalu.
"Sekarang, saya agak memilih kerana tidak mahu membuang masa berlakon dalam filem yang tidak membawa saya ke mana-mana. Bagaimanapun apabila ditawarkan Merempuh Karma, saya dapat rasakan, inilah filemnya. Saya mencari sesebuah filem yang mampu mengangkat nama saya ke peringkat lebih tinggi dan membuatkan saya bertahan lama dalam industri.
"Begitu juga saya percaya pada team produksi filem ini, walaupun produser dan pengarahnya agak baru dalam dunia perfileman. Menjadi harapan saya, naskhah skrip yang baik itu bisa diterjemahkan dengan berkesan di layar lebar nanti," kata Rosyam yang mengimpikan karier lebih cemerlang pada 2009.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: