![]() BAKAT lima peserta program Gadis Melayu terbitan TV9 boleh dikembangkan dalam pelbagai bidang tidak terhad kepada pengacaraan TV saja. |
Kita perlu lebih ramai penyanyi dan pelakon pelapis berkualiti
ANUGERAH Juara Lagu ke-23 (AJL23) berakhir dengan cemerlang. Sepatutnya memang begitulah kerana AJL sendiri sudah berusia lebih dua dekad. Kemeriahan AJL23 disokong dengan persembahan mantap barisan peserta akhir yang mengambil bahagian dalam anugerah itu. Usaha setiap peserta untuk menampilkan persembahan terbaik masing-masing sekali gus menghangatkan lagi suasana anugerah ini.
Tahniah kepada krew produksi AJL23. Begitu juga dengan komposer, penulis lirik dan berjaya pada malam kemuncak anugerah itu. Bagaimanapun, bagi kita semua yang terbabit dalam pertandingan ini adalah dari kalangan yang terbaik juga. Walaupun Meet Uncel Hussain (MUH), Faizal Tahir bersama Audi Mok dan Ahmad Izham selain Julfekar, Ku Seman dan Farawahida diisytiharkan sebagai pemenang, tetapi aksi daripada Estranged, Ziana Zain, Elyana, Stacy, kumplan Spider, Aiman, Ayu pada keseluruhannya tidaklah mengecewakan.
Mengumumkan nama pemenang tidaklah mendebarkan sangat, tetapi yang membuatkan kita agak cemas ialah dengan telatah pengacaranya iaitu Ally Iskandar, Cheryl Samad dan Faizal Ismail. Biarpun ketiga-tiganya berjaya memainkan peranan masing-masing tetapi ada ketikanya cemas juga takut mereka tersasul dalam menyebut senarai nama orang kenamaan yang hadir di anugerah itu. Ini kerana cara mereka bercakap atau menyebut itu tidak meyakinkan pendengar dan penonton.
Selepas lebih dua dekad, sudah tiba masanya TV3 membuat sesuatu agar AJL tidak sekadar anugerah atau acara tahunan semata-mata. Mungkin pada masa akan datang TV3 boleh membuat aktiviti sampingan menjelang AJL seperti seminar, kongres atau forum yang membincangkan mengenai industri muzik tanah air secara keseluruhannya.
Kemenangan MUH dan Faizal Tahir dalam AJL23 juga satu petanda bahawa dunia muzik kita menggalakkan seseorang itu bukan sekadar penyanyi tetapi juga mampu bertindak sebagai penulis lirik dan komposer. Malahan adalah lebih baik juga kalau terbabit dalam penerbitan lagu atau album masing-masing. Ini bukan bererti hendak mengetepikan peranan komposer dan penulis lirik sebaliknya kalau boleh kita mahu melahirkan penyanyi atau pelakon yang serba boleh supaya mereka boleh bertahan dalam bidang masing-masing walaupun menghadapi persaingan yang semakin sengit.
Kita mengalu-alukan program seperti ini kerana ia menjadi pentas untuk anak muda kita menggilap bakat dalam bidang yang diminati. Apa yang penting, program realiti ini tidak melahirkan penyanyi atau bakat baru yang mabuk glamour.
Walaupun aspek atau nilai komersial itu penting, tetapi biarlah pemilihan di peringkat awal dilakukan dengan teliti. Nampaknya bagi musim baru program realiti popular Akademi Fantasia ke-7 (AF7) nanti, barisan juri sudah mengenakan syarat yang ketat. Penilaian awal terhadap peserta yang hadir dalam sesi uji bakat ialah sejauh mana mereka membuat persiapan awal.
Oleh itu, kita alu-alukan juri AF7 yang dilantik oleh Astro bersikap tegas ketika membuat uji bakat untuk program realiti ini.
Peranan stesen TV dan radio dalam menggilap bakat baru untuk apa saja program memang sangat penting. Mereka ibarat kain putih jadi peranan TV dan radio dapat membantu hala tuju mereka dalam bidang seni sama ada pengacaraan, muzik atau lakonan.
Pada Khamis lalu, kita berpeluang melihat sendiri lima peserta akhir program Gadis Melayu terbitan TV9 yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Melihat persembahan lima peserta Gadis Melayu di peringkat akhir ini, ternyata bakat mereka boleh dikembangkan dalam pelbagai bidang, tidak terhad kepada pengacaraan. Ada yang berpotensi sebagai pelakon dan penyanyi.
Media Prima Berhad (MPB) barangkali boleh menggilap semua bakat baru dalam program Gadis Melayu ini menerusi saluran yang mereka miliki, terutama dengan kewujudan Primeworks Studio yang mempunyai unit drama dan filemnya sendiri.
Awal bulan ini, stesen radio HotFM mengundang kita untuk memberikan sesi khas bagaimana hendak menghadapi media atau wartawan bersama 10 kumpulan muzik yang menyertai Hot FM Twisties Bingit. Daripada perbualan bersama mereka, ternyata semuanya bersemangat untuk menggilap bakat masing-masing dan mempunyai minat mendalam dalam pelbagai genre muzik.
Apa yang dilakukan oleh HotFM sebagai penganjur ialah bukan saja mahu melihat mereka sebagai sebuah kumpulan yang bagus dalam membuat persembahan tetapi juga mampu menghasilkan karya sendiri. Oleh itu, kebanyakannya bertanding dengan menyanyikan lagu ciptaan sendiri. Kalaupun menyanyikan lagu ciptaan orang lain, mereka perlu mengubah suai semula mengikut kreativiti masing-masing.
Estranged dan MUH sudah buktikan lagu-lagu ciptaan sendiri berjaya mendapat pengiktirafan dalam AJL. Kita harap ada kumpulan daripada HotFM Twisties Bingit atau peserta Gadis Melayu ini berdiri di pentas membuat persembahan pada malam kemuncak AJL suatu hari nanti.
Kita tidak memerlukan sekadar penyanyi baru yang dinamik tetapi juga barisan pelapis yang mampu menghasilkan karya muzik lebih segar. Inilah antara peranan yang harus dimainkan oleh stesen TV dan radio kita.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: