![]() Saiful (atas) dan Nabil. |
Jurang pengalaman antara kedua-duanya sebagai pelakon komedi digabungkan dalam filem Sifu & Tongga
BERDIRI atas jalur sama iaitu komedi namun yang membezakan mereka adalah pengalaman.
Antara tuah dan rezeki, barangkali perjalanan Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil, 25, lebih pantas berbanding pelawak senior, Saiful Apek yang terpaksa menempuh laluan panjang sebelum berjaya berdiri teguh seperti sekarang.
Saiful sendiri mengakui betapa Nabil meniti laluan lebih selesa selepas berjaya menggenggam trofi juara Raja Lawak Astro musim kedua lalu yang seterusnya menyediakannya platform pantas untuk mencuri perhatian khalayak.
Berbeza dirinya yang gagal di pertengahan jalan ketika menyertai Sinaran Pasport Kegemilangan, meletakkan dia dalam laluan sukar untuk mendaki satu demi satu tangga menuju ke puncak.
“Saya terpaksa bekerja keras kerana pada peringkat permulaan, saya seperti serba tidak kena ketika hendak menembusi industri. Rasa seperti tidak mempunyai kemampuan untuk melakukannya,” kata Apek, berkongsi pengalaman detik awal dia memulakan perjalanan seninya hampir 15 tahun lalu.
![]() |
| GANDINGAN mantap Saiful dan Nabil yang menjadi teraju utama filem Sifu & Tongga. |
Akui Saiful sambil merendah diri, dia terpaksa menanti sehingga 10 tahun untuk menggapai kedudukan seperti yang dinikmati oleh pemuda kelahiran Mambau, Negeri Sembilan itu.
Katanya, gelaran Raja Lawak yang diterima Nabil mempercepatkan hampir separuh langkah yang pernah dilaluinya untuk diterima khalayak, sedangkan dulu dia tidak berpeluang merasai semua itu.
“Saya cuma menyedari diri diterima sedikit apabila dapat menewaskan Lan Pet Pet dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Itupun selepas 10 tahun berada dalam dunia seni ini, baru saya dapat rasa tahap yang Nabil capai hari ini,” katanya.
Tambah artis komedi berusia 40 tahun itu lagi, pengalaman banyak membantu Nabil mencorakkan dirinya lalu memecut langkahnya untuk pantas meraih penerimaan khalayak.
![]() |
Nabil pula, kata Saiful lagi, mempraktikkan segala pengalaman yang dikutip ketika bekerja sebagai budak penghantar surat dan itu semua tidak dilaluinya dulu.
“Perjalanan Nabil bermula ketika dia bekerja di tempat lama, justeru permulaannya dalam bidang lawak atau komedi agak cepat. Dia hanya menjadi dirinya sendiri. Lagi spontan seseorang pelawak itu, lagi bagus persembahannya,” kata Apek.
Bersatu dalam filem komedi terbaru arahan Profesor Madya A Razak Mohaideen, Sifu & Tongga yang akan menemui penonton bermula 29 Januari ini, membangkitkan keterujaan buat Nabil kerana buat pertama kali digandingkan dengan Saiful yang dianggapnya seperti sifu.
Nabil tidak leka pujian
MENYIFATKAN dirinya bertuah kerana dapat bekerja dengan pelawak hebat seperti Saiful, pada permulaan akui Nabil, dia agak keliru dan sukar membayangkan apa yang akan dilaluinya.
Untuk mengaburi perasaan debarnya, Nabil terpaksa bersikap gila-gila ketika di lokasi semata-mata ingin menghidupkan suasana tetapi keadaan menjadi sebaliknya.
“Saiful melayan saya seperti orang yang sudah lama kenal. Apabila tiada sempadan antara kami, ia memudahkan kerja ketika di lokasi.
“Dipermudahkan lagi apabila berkerja di bawah pengarah yang sudah berpengalaman, membuatkan saya selesa walaupun itu pengalaman pertama saya berlakon.
“Jujurnya saya menerima tawaran ini kerana Saiful Apek. Dia membuatkan saya teruja walaupun tawaran berlakon Lu Pikirlah Sendiri tiba lebih awal,” katanya.
Hampir setahun meraih gelaran juara Gelanggang Raja Lawak, Nabil sudah membintangi enam filem termasuk Kecoh Betul, Notti, Pisau Cukur dan Ee... Hantu!!!, selain mengendalikan program sendiri seperti Studio Nabil, Pondok-Pondok dan Ewah-Ewah.
Ditanya mengenai laluan mudah yang dikecapinya ketika usia pembabitan dalam bidang seni masih hijau, Nabil berkata, semua kemanisan itu tidak pernah membuatnya leka.
Mungkin permulaannya mudah tetapi kata Nabil, semua itu bergantung kepada dirinya bagaimana untuk terus mempertahankan apa yang digenggam ketika ini.
“Saya perlu terus bekerja kerana jika tidak, apa yang saya lalui ini akan terlepas daripada genggaman. Saya tidak mahu terlalu gembira hingga lupa untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri.
“Disebabkan itu, sebaik saja keluar daripada Raja Lawak saya terus menetapkan apa matlamat dan haluan yang ingin saya mara selepas mencatat kejayaan awal,” katanya.
Nabil berkata, dia mengagumi Saiful sejak dulu lagi malah sentiasa mengikuti perkembangan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2003 itu.
“Dulu saya hanya menonton filem atau sitkom yang dibintanginya. Tetapi apabila mengenali peribadinya, dia bukan hanya seperti apa yang dilihat di kaca televisyen.
“Dia umpama sifu saya. Saya akui dasar hubungan itu penting dalam menjayakan sesuatu produksi dan mungkin kerana itu, kami serasi dalam Sifu dan Tongga,” katanya.
Bagaimanapun, Nabil enggan dirinya dilihat sebagai pengganti Saiful sebaliknya, kehadirannya dalam bidang hiburan adalah sebagai penyambung kepada usaha mereka yang terlebih dulu menempa nama dalam genre komedi.
Begitu juga Saiful yang mengakui, dia perlukan penyambung generasi pelawak untuk menggalas tanggungjawab itu kerana bimbang jika terlalu didedahkan, penonton akan jelak dan bosan dengan aksinya.
Perluas pengaruh di balik tabir
KEPUASAN di layar perak sudah lama dikecapi oleh Saiful namun itu belum cukup untuk melengkapkan perjalanannya sebagai anak seni.
Mutakhir ini, Saiful semakin aktif membabitkan diri dengan kerja di balik tabir dan filem Shhh... Dia Datang adalah percubaan pertamanya sebagai pengarah filem.
Katanya, berada di balik tabir adalah keinginannya sejak dulu lagi dan ini adalah masa terbaik untuk dirinya mempertingkatkan kredibiliti.
“Selepas tamat program Sinaran dulu, saya pernah bekerja di balik tabir bersama syarikat milik Aznil Nawawi. Pernah juga terima tawaran berlakon, namun saya tolak hingga satu peringkat, Aznil memberhentikan saya kerana dia percaya saya mampu pergi jauh dalam bidang lakonan.
“Bagaimanapun, untuk melepaskan peranan sebagai pelakon itu adalah sesuatu yang sukar kerana ketika ini, khalayak masih mahukan khidmat saya di layar.
“Dalam hal ini, saya menjadikan Afdlin (Shauki) sebagai inspirasi ketika mengarah Buli dan pada masa sama, berlakon serentak.
“Saya mula sedar, pengarah yang baik belum tentu mampu menjadi pelakon yang hebat. Tetapi pelakon biasanya akan mampu menjadi pengarah yang baik,” katanya.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: