Tuesday, January 27, 2009

Nabil peningkan pengarah


PERTAMA kali. Sifu & Tongga merupakan filem pertama mengabungkan lakonan Apek, Nabil dan Fouziah.


FILEM komedi Sifu & Tongga yang menggabungkan dua pelawak popular tanah air, Saiful Apek dan Nabil, merupakan percubaan ke-26 Prof. Madya A. Razak Mohaideen dalam genre filem sebegitu.

Mungkinkah karyanya kali ini berbeza dengan yang terdahulu? Kali ini, Razak yang bertindak sebagai pengarah filem itu menyatukan elemen pengembaraan dan komedi.

Menyahut cabaran dengan membikin filem mengenai Orang Asli yang hidup di gua semenjak melarikan diri daripada tentera Jepun pada tahun 1940-an, Sifu & Tongga memaparkan pelbagai aksi komedi Apek sebagai Sifu dan Nabil yang menghidupkan watak Tongga.

Mereka berdua telah mengembara ke Kuala Lumpur dalam misi menyelamatkan Mila (lakonan Fouziah Ghous) yang diculik oleh Tammy, watak antagonis lakonan Erra Fazira.




Sepatutnya dengan kombinasi kedua-dua pelakon komedi popular itu filem yang bakal ditayangkan pada 29 Januari ini boleh menjadi lebih berkualiti.

Namun, entah di mana silapnya, komedi dan lawak yang disampaikan tidak berjaya menyentuh dasar hati audiens.

Mungkin ada babak yang kelakar tetapi secara keseluruhan, filem itu boleh diperbaiki lagi. Namun, jika mahukan hiburan ringan bersama Apek dan Nabil, filem Sifu dan Tongga adalah pilihan tepat. Lagipun, ia merupakan filem pertama yang melihatkan gabungan Apek dan Nabil di layar perak.

"Pertama kali digandingkan dengan Nabil adalah satu cabaran yang sukar. Namun, Nabil menyertai produksi ini bukan untuk mencabar sesiapa.

"Ini adalah kombinasi baru yang kami tonjolkan supaya dapat melahirkan kelainan kepada penonton," kata Apek yang ditemui selepas tayangan perdana filem itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.




Menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan salah sebuah gua di Lenggong, Perak, Sifu & Tongga yang menelan bajet RM1.6 juta termasuk kos promosi, ditulis skripnya oleh Shukor Mohaideen. Menyampaikan mesej kekejaman manusia, penggambaran filem itu berjalan selama 25 hari.

Namun, penggambaran di gua Lenggong hanya mengambil masa selama lima hari. Masa selama lima bulan pula diperlukan untuk proses pascaproduksi.

"Gua itu sebenarnya kosong dan kami telah menyiapkan gua itu tiga minggu sebelum penggambaran. Kami perlu membina gua itu bagaikan sebuah kawasan penempatan," jelas Razak mengenai filem tersebut.


NABIL berpuas hati dengan filem pertama lakonannya.


Sudah biasa mengarahkan Apek dalam filem-filemnya sebelum ini, Razak mengakui dia pening dengan gelagat Nabil yang selalu berlakon di luar rangka filem. Namun, baginya, Nabil seorang yang cepat belajar dan turut memberikan idea untuk mengembangkan jalan cerita.

"Kami selalu berbincang mengenai skrip kerana saya mengamalkan sikap terbuka dengan pelakon saya. Ia memperbaiki filem ini kerana ada kalanya idea mereka amat bagus," tambahnya.

Bagi Nabil yang pertama kali melihat dirinya di skrin lebar pula, dia berterus terang mengakui berasa gementar kerana tidak tahu apa yang dijangkakan oleh penonton. Menegaskan dirinya masih perlu banyak belajar, Nabil berpuas hati dengan lakonannya kali ini.


KEMUNCULAN FOUZIAH menerusi watak Mila menjadi daya tarikan tambahan filem Sifu & Tongga.


"Ini ialah filem pertama saya selepas keluar daripada program Raja Lawak pada bulan Mac 2008. Ada beberapa babak yang sukar bagi saya tetapi Apek dan Razak banyak membantu saya.

"Apek dan saya banyak ketawa semasa berlakon. Pengalaman itu amat menyeronokkan," ujar Nabil yang juga bakal muncul dalam filem Pisau Cukur dan Kecoh Betul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: