Tuesday, January 27, 2009

Ledger mengintai Oscar




HEATH LEDGER menang lagi! Mendiang pelakon watak The Joker menerusi filem The Dark Knight itu mengungguli Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi kategori filem pada majlis Anugerah Screen Actors Guild (SAG) ke-15 yang berlangsung di Los Angeles kelmarin.

Ledger sebelum ini merangkul Anugerah Aktor Pembantu Pilihan pada majlis Anugerah Golden Globe ke-66 baru-baru ini.

Justeru, kemenangannya pada majlis anugerah yang khusus untuk meraikan bakat lakonan golongan pelakon filem dan televisyen itu menguatkan lagi potensi untuknya meraih Oscar pada tahun ini.


BOLLYWOOD menguasai Hollywood. Anil Kapoor (kanan) bersama tiga lagi pelakon filem Slumdog Millionaire yang diumumkan sebagai pemenang Anugerah Barisan Pelakon Filem Terbaik.


Mendiang Ledger meraih pencalonan Oscar menerusi Anugerah Academy ke-81 yang bakal berlangsung pada 22 Februari nanti, yang menyaksikan saingan paling sengit datang daripada aktor Philip Seymour Hoffman, bekas pemenang Oscar Aktor Terbaik yang kali ini tercalon menerusi filem Doubt.

Peluang Ledger untuk meraih kemenangan diperkuatkan lagi dengan fakta The Dark Knight turut meraih tujuh pencalonan Oscar dalam kategori lain.

Aktor Gary Oldman yang turut berlakon dalam The Dark Knight saat naik ke pentas mewakili Ledger untuk mengambil trofi dalam ucapannya berkata: "Saya penuh emosi saat ini."

Tambahnya: "Saya berasa sangat bangga apabila diminta mewakili Heath Ledger untuk menerima anugerah ini. Dia seorang pemuda hebat yang memiliki bakat lakonan yang hebat, dan saya sangat terharu bakatnya itu dihargai malam ini."

Laluan mencabar Kate Winslet

Namun begitu, Kate Winslet yang disebut-sebut sebagai calon pilihan ramai untuk meraih Oscar Aktres Terbaik bagaimanapun agak tercabar kredibilitinya.


GEMBIRA tidak terhingga. Barisan pelakon 30 Rock meraikan kemenangan mereka untuk Anugerah Barisan Pelakon Komedi Bersiri Terbaik.


Ini kerana SAG ke-15 menjulang aktres Meryl Streep untuk Anugerah Pelakon Wanita Filem Terbaik hasil lakonannya menerusi filem Doubt.

Sedangkan Winslet yang tercalon menerusi filem The Reader pula mennang Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Filem Terbaik.

Ironinya kedua-dua Streep dan Winslet menerusi filem tersebut masing-masing tercalon bagi merebut Oscar kategori aktres terbaik.

"Apa yang dapat saya katakan adalah tiada istilah aktres terbaik, tidak wujud apa yang dikatakan aktres terhebat pernah hidup di muka bumi ini," ucapnya saat menjulang trofi kemenangannya.

Streep yang mencipta rekod sebagai pelakon paling banyak meraih pencalonan Oscar - sebanyak 15 kali - termasuk pencalonan pada tahun ini menyambung bicara: "Saya berbangga dengan hasil lakonan pelakon-pelakon wanita pada tahun ini, sama ada yang tercalon mahupun yang tidak tercalon."

Penguasaan berterusan 30 Rock

Sementara itu, kategori TV pula menyaksikan penguasaan komedi bersiri popular,30 Rock.

Mengulangi kejayaan pada majlis Anugerah Golden Globe baru-baru ini, dua pelakon utama komedi bersiri itu, Alec Baldwin dan Tina Fey masing-masing mengungguli Anugerah Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Komedi Bersiri Terbaik.


TINA FEY dan Alec Baldwin mengulangi kejayaan mereka pada majlis Anugerah Golden Globe ke-66.


Lebih mengujakan ialah 30 Rock menyapu bersih kategori komedi bersiri apabila barisan pelakon 30 Rock diumumkan sebagai pemenang Anugerah Barisan Pelakon Komedi Bersiri Terbaik.

Pelakon utama siri House, Hugh Laurie dan Sally Field, bintang utama drama bersiri Brothers & Sisters pula masing-masing diumumkan sebagai pemenang Anugerah Pelakon Lelaki dan Wanita Drama Bersiri Terbaik.


INI pula lima pelakon Mad Men yang diumumkan sebagai pemenang Anugerah Barisan Pelakon Drama Bersiri Terbaik.


Barisan pelakon siri Mad Men merangkul Anugerah Barisan Pelakon Drama Bersiri Terbaik, sementara siri popular Heroes menang Anugerah Barisan Pelakon Lagak Ngeri Terbaik.

Sementara itu, pelakon veteran James Earl Jones diberi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: