Mila kecewa dituduh jadi perempuan simpanan ketika dia bekerja keras menyara keluarga
SUATU ketika dulu, bintang Akademi Fantasia 5 (AF5), Mila pernah dituduh menjadi perempuan simpanan kepada seorang lelaki Cina tua yang membiayai penerbitan klip videonya, namun Mila menafikan gosip itu dengan sekeras-kerasnya. Pun begitu, baru-baru ini, gosip sekali lagi muncul apabila Mila dikatakan menjadi perempuan simpanan seorang lelaki yang memiliki jet peribadi.
“Dalam Mila meniti kerjaya, nampaknya tak henti-henti kontroversi melanda kehidupan Mila. Terbaru, ruangan gosip Alkisah kelolaan Raja Nurfatimah Mawar, dalam B*Pop pada 11 Januari lalu, ada satu gosip dengan judul ‘Penyanyi popular jadi perempuan simpanan’. Pada awalnya Mila tak ambil pusing dengan gosip berkenaan kerana ia tidak menyatakan sebarang nama atau maklumat lengkap.
Namun, apabila seseorang memberitahu Mila supaya membuka laman web hiburan, www.cari.com.my kerana nama Mila dikaitkan dengan artikel berkenaan, Mila pun terus membacanya. Ramai blogger yang membuat spekulasi, kononnya penyanyi wanita yang dimaksudkan menjadi perempuan simpanan itu ialah Mila! Justeru, Mila harus menjelaskan perkara sebenar, sekali gus membersih nama Mila dan keluarga!
Sekiranya benar Mila jadi perempuan simpanan, tak perlulah Mila kerja penat-penat, hanya duduk di rumah dan cakap apa saja yang dihajati, rumah, kereta, kredit kad, semuanya tersedia tanpa perlu bekerja keras! Sekarang Mila pun belum mampu nak beli rumah sendiri, kami sekeluarga masih menyewa. Mila juga masih menggunakan kereta yang sama. Mila ada ramai adik beradik nak tanggung, pendapatan pun masih belum strong lagi.
Mila nak tambah pendapatan apabila menyedari tak cukup dengan hasil menyanyi saja, Mila buat perniagaan produk kecantikan, Luv Mila. Tambahan pula AF7 pun dah nak mula tak lama lagi, persaingan semakin sengit, Mila tak boleh duduk diam, mesti ada ‘back-up’ untuk masa depan. Jadi, sekiranya Mila ada sugar daddy, Mila tak perlu risau apa-apa!
Minta apa saja dengan sugar daddy Mila, mesti dapat. Tapi, faham-fahamlah apabila mereka memberi, berbudi, tidak ada yang percuma, pasti ada balasan yang ditagih daripada kita. Mila tak sanggup gadai maruah! Maknanya Mila tidak pernah terbabit dengan mana-mana sugar daddy! Menerusi artikel Alkisah itu, ia menyatakan si penyanyi jadi perempuan simpanan seorang lelaki tua berusia 50-an.
Sebenarnya isu ini Mila sudah jelaskan dulu lagi, tapi entah kenapa tiba-tiba muncul kembali gosip sugar daddy ini. Mila mula dikaitkan mempunyai sugar daddy apabila seorang lelaki Cina bekerjasama dengan Maestro Records dan MC Voices & Stars Sdn Bhd untuk menerbitkan klip video MTV karaoke album Persis Mutiara.”
Akui berkawan rapat dengan lelaki Cina
“Terus-terang Mila jelaskan di sini, kononnya sugar daddy yang dimaksudkan itu ialah Bernard Cheah, 54, berasal dari Ipoh, Perak. Dia sudah berkahwin, isterinya, Rubby dan mempunyai dua orang anak perempuan. Mereka kini menetap di Sydney, Australia. Bernard hanya melabur dalam penerbitan klip video berkenaan dan sebarang pecahan keuntungan, peratusannya dibahagi sama rata, jadi bukan dia yang menaja!
Ketika ini, Bernard maju setapak lagi apabila dia bekerjasama dengan Nova Music. Mila memang dah lama mengenali Bernard, Mila belum jadi artis lagi dah kenal dia. Bernard mengenali Mila menerusi ayah ketika ayah bermain muzik di Pulau Pinang dulu. Dia sering ke Pulau Pinang tengok Mila buat persembahan di hotel.
Apabila Bernard mula rapat dengan Mila dan keluarga, dia pernah memperkenalkan isterinya kepada kami. Keluarga Mila dan Bernard berkawan rapat. Apabila Mila keluar AF5, Bernard menemui Mila. Dia memberitahu, Mila tidak boleh bergantung kepada nyanyian semata-mata, sebaliknya harus ada perancangan dalam perniagaan.
Memang tidak dinafikan, Mila mengenali rapat Bernard sebelum bergelar artis lagi. Tambah gosip itu lagi, ahli perniagaan yang kononnya menjadi sugar daddy penyanyi popular, memiliki jet peribadi. Sebenarnya Bernard mempunyai perniagaan iaitu perkhidmatan sewa khas kapal terbang kepada agensi pertahanan dan kegunaan golongan VIP.
Kami berhubungan menerusi e-mel, jika ada perkara penting saja, baru dia menghubungi Mila. Apabila Bernard datang ke sini (Malaysia), dia ke rumah bertemu Mila dan keluarga. Tak ada istilah Mila dan Bernard jumpa berdua-duaan. Kalau benarlah Bernard itu sugar daddy Mila, pasti Mila akan mencari peluang menemuinya secara sulit, pergi cuti bersama, tapi ia tidak pernah berlaku!
Bernard dijadualkan datang ke Kuala Lumpur akhir Januari ini atas urusan perniagaannya, tapi Mila tak ada di sini ketika itu kerana terbabit dengan siri jelajah mempromosi Luv Mila seluruh Semenanjung sehingga awal Februari. Bayangkan, kalau betullah Bernard sugar daddy Mila, dia mesti marah, datang jauh-jauh dari Australia, tapi tak dapat jumpa Mila.”
Kesal maruah diri tercalar
“Ingin Mila tegaskan sekali lagi, Bernard bukan sugar daddy Mila dan Mila bukan perempuan simpanannya! Pun begitu, menerusi artikel yang sama, ia menyatakan si penyanyi menyara keperluan keluarganya yang besar. Kenalah kerja lebih kalau nak dapat duit lebih. Tapi, cara si penyanyi tak kena, dia dipanggil perempuan simpanan.
Ia seolah-olah ingin memberitahu, penyanyi berkenaan menyara kehidupan keluarganya dengan duit hasil menjadi perempuan simpanan! Memang sakit apabila membaca kenyataan itu apabila ia turut menyentuh keluarga Mila. Terlalu pedih dakwaan itu (menangis). Apabila ia mengheret mak dan ayah Mila, Mila rasa macam kena tikam... Maruah Mila tercalar. Orang tak tahu macam mana Mila bekerja keras menyara keluarga.
Kadang-kadang apabila Mila menyanyi, bekerja keras membantu keluarga, waktu tidur pun tak cukup, tapi orang tak tahu semua itu (menangis lagi). Penat-penat Mila bekerja tanggung keluarga, orang senang saja bercakap, Mila sara keluarga dengan duit haram, Mila terasa sangat (sebak). Segala titik peluh Mila, orang tak nampak. Tapi, peduli apa dengan cakap-cakap orang, yang penting keluarga tahu apa yang Mila buat, duit datang dari mana.
Bagi Mila, apa yang berlaku ini satu dugaan yang cukup hebat, Mila terima. Ia menjadikan Mila semakin tabah mengharungi kehidupan. Berhentilah daripada bercakap isu sama (sugar daddy). Isu ini dah berlaku tahun lalu, awal tahun, tapi terjadi lagi pada awal tahun ini. Mila anggap ia sebagai satu cabaran, Mila tak mahu cepat melenting. Jadi, biarlah orang nak bercakap apa saja, Mila tak mampu menutup mulut mereka.”
Info Mila
NAMA SEBENAR: Noorsyarmilla Jirin
TARIKH LAHIR: 23 Disember 1987
ASAL: Teluk Kumbar, Pulau Pinang
PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Teknik Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Air Hitam, Pulau Pinang
PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia musim ke-5 (AF5) dan Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007
ALBUM: Persis Mutiara
FILEM: Apa Kata Hati dan Lu Pikirlah Sendiri The Movie, manakala suaranya turut digunakan dalam filem muzikal Walt Disney, High School Musical yang dialih ke bahasa Melayu. Mila melakonkan watak Gabriella
PERNIAGAAN: Mengusahakan produk kecantikan, Luv Mila yang diselenggara Luv Mila Corporation Sdn Bhd.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: