Sunday, January 11, 2009

Mawi, Ekin kena bersedia harungi gosip rumah tangga

MALAM ini bakal berlangsungnya majlis meraikan pasangan pengantin popular, Mawi dan Ekin yang akan diadakan sekali lagi selepas dua kali majlis seumpamanya diadakan iaitu di Johor Bahru dan di Felda Taib Andak, Kulai, Johor. Malam ini adalah sesi penutup upacara perkahwinan mereka yang bernikah pada 20 Disember lalu. Majlis yang dinamakan Resepsi 1001 Malam akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Seri Kembangan, Selangor dan bakal disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria, bermula jam 7.45 malam ini.

Acara yang bertemakan 'Konsep Timur Tengah dan Ala Arab' itu bakal mengakhiri pesta perkahwinan Mawi-Ekin sebelum mereka pergi berbulan madu ke Seoul, Korea Selatan. Semoga perkahwinan mereka diberkati dan pada masa sama masing-masing akan dapat menjalankan tugas dengan baik sebagai suami dan isteri.

Dalam menempuh kehidupan berumah tangga, Mawi dan Ekin juga harus bersedia bukan saja fizikal dan emosi, tetapi dari segi psikologi dan mental supaya dapat mempertahankan jodoh mereka hingga ke akhir hayat. Sebagai artis paling popular, Mawi sebenarnya berdepan risiko dalam menghadapi kehidupan berumah tangga bersama Ekin kerana apa saja tindakannya selepas ini akan lebih diperhatikan dan dipantau oleh ramai orang kerana dia kini sudah bergelar suami. Mawi berkahwin dengan Ekin, seorang pelakon baru yang kurang dikenali dan apabila heboh percintaan mereka, nama Ekin juga melonjak popular.

Ramai yang suka apabila mereka kini sudah diijabkabulkan. Dan, perlu juga mereka ingat, ramai yang tidak suka dengan perkahwinan mereka hinggakan dalam internet, perkahwinan mereka jadi cemuhan. Tindakan Astro yang mengadakan siaran langsung dan kemudian mengadakan program khas mengenai kisah perkahwinan mereka juga dianggap berlebih-lebihan, sekali gus membuatkan ramai yang menyifatkan ia keterlaluan. Akibatnya, ada yang mula tidak gembira, bosan, meluat dan menyampah dengan cerita perkahwinan mereka.

Selepas bergelar suami isteri, Mawi dan Ekin akan berdepan risiko pelbagai tohmahan dan fitnah, waima apa saja cerita negatif yang dihamburkan mengenai rumah tangga mereka. Di sinilah kesabaran mereka akan teruji meskipun sebelum ini mereka sudah diuji dengan pelbagai tohmahan sebelum dan menjelang majlis perkahwinan. Apa yang penting, Mawi dan Ekin harus bijak menangani apa saja tuduhan negatif yang dilemparkan. Mereka harus ada kekuatan untuk bersabar dan cekal menghadapi kemelut yang dicetuskan pihak tertentu bertujuan memburukkan hubungan antara suami isteri ini.

Mawi dan Ekin juga kena sentiasa berwaspada dan tidak mudah goyah apabila menerima pelbagai tuduhan atau apa saja unsur yang cuba menjejaskan hubungan mereka. Jika ia bukan cerita benar, mereka tidak wajar bimbang dan yang penting, masing-masing tahu dan kenal hati budi, kejujuran dan cerita sebenarnya. Mereka sajalah yang akan menentukan sejauh mana perkahwinan ini akan dibawa dan seterusnya dipertahankan.

Nasihat begini memang nampak biasa saja. Mawi dan Ekin juga tentunya sudah mendapat banyak nasihat dan kata-kata semangat daripada ahli keluarga dan rakan taulan. Tetapi ingatlah, realiti selepas ini sukar untuk dibayangkan dengan kata-kata dan mereka harus bersedia dalam segala segi. Apa saja gosip dan cerita yang digembar-gembur sama ada dalam internet mahupun media massa akan mengundang pelbagai kontroversi dan sekali gus berkait dengan diri mereka. Puncanya kerana Mawi adalah artis paling popular.

Mungkin, selepas ini Mawi dan Ekini juga akan tampil untuk menceritakan keadaan sebenar dan membuat penafian mengenai kisah negatif terhadap mereka. Hal sama jugalah yang berlaku seperti mana menimpa penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dengan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa. Baru dua tahun lebih mereka mendirikan rumah tangga, Siti dan Khalid kini berdepan risiko besar dan terpaksa menepis segala macam tohmahan yang dilemparkan bertubi-tubi terhadap hubungan mereka sebagai suami isteri sehingga akhirnya mereka sendiri terpaksa tampil untuk memberi penjelasan dan membuat penafian.

Mulut manusia tidak boleh ditutup. Sifat hasad dengki dan iri hati manusia juga tidak boleh dihalang kerana ia lumrah kehidupan. Cuma, risiko yang menimpa pasangan suami isteri seperti Mawi-Ekin atau Siti-Khalid kerana mereka adalah pasangan selebriti terkenal dan majlis meraikan perkahwinan mereka secara besar-besaran. Kata-kata umpatan, tohmahan dan apa saja cerita negatif yang menimpa diri dua pasangan popular ini sebenarnya perkara lumrah. Soalnya sejauh mana mereka berjaya menanganinya dengan kesabaran, ketenangan dan kebijaksanaan, itulah yang lebih mustahak. Dugaan selepas bernikah jauh lebih hebat berbanding dugaan ketika dilamun cinta dan bertunang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: