Sunday, January 11, 2009

Adlin, Emelda pergi kursus kahwin


DALAM diam, pasangan merpati dua sejoli, pelakon Emelda dan kekasihnya yang juga pengarah dan pelakon, Adlin Aman Ramlie sudah menghadiri kursus nikah di Bangsar, Kuala Lumpur, minggu lalu. Bermakna tidak lama lagilah majlis pernikahan mereka akan berlangsung.

Secara kebetulan seorang teman wartawan Berita Harian turut mengikuti kursus nikah bersama pasangan itu. Khabar angin yang bertiup kencang mengatakan Emelda dan Adlin merancang melangsungkan hari bersejarah mereka pada Februari depan Eloklah tu. Emelda dan Adlin bercinta pun sudah masuk tiga tahun, tak perlu nak tunggu lagi. Perkara yang elok harus dipercepatkan untuk mengelak cakap-cakap belakang dan fitnah. Usia Emelda pun sudah mencecah 29 tahun, Adlin pula sudah 37 tahun, bukan muda lagi.

Dulu, Raja pernah bertanya pada Emelda, dirinya mengakui mengharapkan hubungan yang terjalin selama tiga tahun berakhir ke jenjang pelamin, cuma tarikh belum dapat dipastikan lagi ketika itu. Masing-masing sibuk dengan kerjaya yang sedang melonjak.

“Saya memang tak sabar menantikan saat diijabkabulkan dengan Adlin. Saya mengharapkan hubungan ini berakhir di gerbang perkahwinan. Memang kami merancang mahu berkahwin tahun depan, tetapi semuanya masih dalam perbincangan. Apa yang dapat saya lakukan sekarang ialah terus menguatkan ikatan cinta kami dan berdoa pada Tuhan supaya dijauhkan daripada dugaan dan cabaran tak elok,” katanya kepada Raja suatu ketika dulu.

Khabarnya Emelda dan Adlin sedang sibuk dengan persiapan kahwin mereka. Sumber memberitahu Adlin terpaksa menarik diri daripada menjayakan teater muzikal Puteri Gunung Ledang yang akan dipentaskan awal tahun depan.

Baguslah Adlin, kalau fikirkan soal kerja sampai bila-bila pun tak habis, apatah lagi kini Adlin aktif mengarah. Kena fikirkan juga soal jodoh dan masa depan, kalau tangguh lagi entah esok, lusa melepas pula, siapa yang rugi. Letih saja menyulam cinta selama tiga tahun, akhirnya terlerai begitu saja. Apapun, Raja doakan Emelda dan Adlin cepat naik pelamin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: