Sunday, January 11, 2009

Linda anggap 2008 tahun malang, tertekan


DARI tahun lalu hingga penghujung 2008, penyampai radio popular, Linda Onn tak habis-habis diduga. Lepas satu, satu kontroversi yang mencengkam jiwa hingga suatu ketika, dirinya buntu dan tidak mampu menanggung tekanan dan bebanan yang diterima.

Kasihan juga Raja mendengar luahan Linda. Kesempatan bertemu dengannya pada majlis sidang akhbar Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 di Hotel Palace of Golden Horses, petang Selasa lalu, Linda meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Belumpun kontroversi hubungan 'teman tapi mesra' bersama aktor Fahrin Ahmad padam, Linda diduga pula dengan kes penukaran ke Sinar FM secara tiba-tiba. Apa yang berlaku, seolah-olah Linda dihukum atas cerita kontroversinya itu.

“Saya bukanlah dihukum, tentu AMP Radio mempunyai alasan tersendiri menukarkan saya ke Sinar FM. Saya hanya diberitahu kemasukan saya ke Sinar FM untuk mengukuhkan lagi kedudukan stesen radio berkenaan. Sama ada dihukum atau sebaliknya, saya tak dapat jawab.

Bagi saya, adalah tidak adil jika saya dihukum rentetan cerita peribadi yang tercetus. Saya percaya mereka bersikap profesional, begitu juga saya. Walaupun pada mulanya, saya tertekan apabila diberitahu ditukarkan ke Sinar FM, tapi saya sudah boleh menerimanya hari ini. Sudah lebih seminggu saya bertugas di konti Sinar FM.

“Mungkin kenyataan saya dulu menggambarkan saya tak puas hati dan kecewa ditukarkan secara tiba-tiba. Memang pada mulanya saya sukar nak terima hakikat. Bukannya apa, sudah 10 tahun saya bersama radio Era. Secara jujurnya, jiwa dan kecintaan saya pada radio Era tidak mampu dipadamkan dengan mudah.

“Apabila saya ditukarkan ke Sinar FM secara tiba-tiba, fikiran saya berkecamuk, bolehkah pendengar Sinar FM menerima saya. Dan paling penting, bolehkah jiwa saya menerima dan mengendalikan lagu retro. Saya jarang mendengar lagu retro dan penyanyi lama pun saya tak kenal, ambil masa juga saya nak menyesuaikan diri.

“Bagaimanapun, inilah cabaran, saya perlu buktikan walaupun dulu jiwa saya urban, demi tugasan dan kecintaan saya pada bidang penyiaran radio, saya perlu belajar. Ibu saya kini menjadi tempat saya membuat rujukan kerana lagu retro sudah sebati dengan jiwanya.

Kata orang tak kenal maka tak cinta, dulu mungkin saya tak kenal dan saya tak tahu sejauh manakah kemampuan saya, jadi saya perlu mencuba. Hati saya semakin seronok apabila berada di Sinar FM, pengetahuan saya mengenai lagu dan artis lama semakin meluas,” katanya.

Bagaimanapun, Linda beritahu Raja, dia terkilan kerana tidak dapat mengucapkan selamat tinggal kepada pendengar setianya di radio Era.

“Bayangkan selepas habis bertugas, saya diberitahu esok saya mula bercuti selama tiga minggu sebelum memulakan tugasan di Sinar FM. Saya memang terkilan sebab saya tiada `last day’ di radio Era seperti rakan lain. Sekurang-kurangnya berilah saya masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pendengar setia saya. Bagaimanapun, saya pujuk hati dan mendapat kekuatan apabila peminat setia saya di radio Era beralih ke Sinar FM untuk terus mendengar celoteh saya setiap petang,” katanya dengan tenang.

Linda akui, 2008 adalah tahun malang buat kerjaya mahupun soal peribadinya. Perit untuknya ceritakan bagaimana berdepan tekanan yang bertalu-talu hingga kadang kala dirinya tak mampu lagi mengawal emosi.

“Saya sudah puas menangis. Daripada kontroversi apabila tidak muncul di kaca televisyen mengendalikan acara permaidani merah Anugerah Academy ke-79 untuk Star Movies di Los Angeles, California dulu, saya dapat berasakan 2008 bukanlah tahun yang bertuah buat saya dan apa yang saya rasakan benar-benar terjadi. Sebagai manusia kerdil di sisiNya, saya terima dugaan Tuhan dengan reda,” katanya yang mengharapkan sinar pada 2009 nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: