| MUNGKIN ada beranggapan bukan mudah jika seseorang isteri mahu menguruskan kerjaya suami yang terbabit dalam bidang seni terutama apabila status mereka popular dan menjadi pujaan ramai. |
Apabila Mawi membuat keputusan mahu isterinya, Ekin, menguruskan kerjaya dan penampilannya baru-baru ini, ramai peminat bertanya berbaloi atau tidak perkara itu dilaksanakan kerana bimbang boleh menjadi punca persengketaan dalam rumah tangga.
Pelakon terkenal kelahiran Singapura, Aaron Aziz, mempunyai persepsi sendiri dalam memastikan keharmonian rumah tangga dibina tetap terpelihara walaupun isterinya, Diyana Halik, 26, mengurus kerjanya.
Ditemui pada majlis pelancaran Megadrama Astro, Aaron berkata, apabila isterinya sendiri bertindak sebagai pengurus segala kerja menjadi mudah.
"Sudah tentu isteri lebih tahu waktu bekerja saya dan sebaik mungkin cuba memastikan dalam kesibukan di lokasi saya masih ada masa untuknya dan anak-anak," katanya.
Bagaimanapun, sebagai pekerja, imbuhan untuk isteri tetap tidak dilupa dan sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap segala tawaran, isterinya terlebih dulu mengenakan komisen atas setiap bayaran diambil sebagai upah meneliti kontrak dan menyiapkan jadual.
"Walaupun Diyana isteri saya tetapi sebagai pengurus sudah tentu upahnya perlu ada. Ia menjadi tanda sebagai suami isteri kami turut bersikap profesional apabila membabitkan kerja," katanya.
Sambil ketawa, Aaron menjelaskan biasanya apabila setiap kali kerja selesai dan memperoleh bayaran penuh dia turut menghadiahkan beg Louis Vutton sebagai penghargaan kepada isteri tersayang.
"Sebelum ini sewaktu kami berpeluang bercuti ke Los Angelas, isteri saya sakan membeli sampai sembilan beg Coach.
"Itulah harga yang harus saya bayar kepada isteri atas usahanya membantu kerjaya seni saya. Pada saya biarlah saya berbelanja untuknya kerana Diyana banyak berkorban untuk saya dan anak," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: