Wednesday, January 21, 2009

Kahwin bukan jalan penyelesaian - Norman

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Perkahwinan dalam masa terdekat bukan penyelesaian terbaik untuk menutup kes khalwat antara pelakon Norman Hakim, dan Memey Suhaiza Suhaimi.

Sebaliknya, jelas Norman, pada ketika ini yang penting baginya adalah menyelesaikan perkara utama terlebih dahulu iaitu pertuduhan di mahkamah.

"Kenalah selesaikan satu persatu mengikut keutamaan. Soal kahwin, ia bukan jalan penyelesaian yang terbaik buat masa ini.

"Saya dan Memey tidak mahu membuat keputusan secara terburu-buru. Kalau ada rezeki, pasti saya akan umumkan,'' katanya kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini.

Dalam prosiding mahkamah pagi ini, Norman dan Memey masing-masing mengaku tidak bersalah atas tuduhan khalwat pada Oktober tahun lalu.

Norman, 33, dan Memey, 21, didakwa berkhalwat pada pukul 3 pagi, 30 Oktober tahun lalu di alamat 4/1A Jalan UP1, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang dekat sini.

Jelas Norman, mengenai kes khalwat antaranya dan Memey, dia akan melantik peguam bela untuk perbicaraan 3 Mac ini.

"Pihak pendakwaan mempunyai bukti dan kami juga ada alasan-alasan untuk membela diri,'' ujarnya.

Sementara itu, Memey berkata, dia berharap kes khalwat tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

Namun, katanya, dia akan terima dengan seadanya apa pun keputusan mahkamah.

Menjawab soalan mengenai anggapan pelbagai pihak tentang status hubungannya bersama Norman, Memey memberitahu, hubungan itu hanya sekadar atas dasar kerja semata-mata.

"Tidak ada sampai melibatkan perkara-perkara negatif. Saya ada keluarga dan maruah diri serta tahu batas-batas pergaulan,'' jelasnya.

Tentang soal jodoh bersama Norman, Memey berkata, pihaknya bersedia dan tidak menolak andai perkara itu sudah ditakdirkan.

Dalam pada itu, ibu Norman, Kamariah Kamat, 66, berkata, apa yang berlaku ke atas Norman merupakan satu ujian dan anak lelakinya itu serta keluarga perlu kuat dalam menghadapinya.

Ditanya jika ada jodoh antara Norman dan Memey, Kamariah yang tiba di mahkamah dari Kuantan berkata, semuanya terserah kepada takdir.

"Itu (perkahwinan) terletak pada kuasa Allah. Lagipun, saya dan Memey serta keluarga Memey sangat akrab.

"Namun bagi saya, biarlah Norman dan Memey kenal dahulu hati budi masing-masing. Tentang hubungan saya dengan Abby Abadi, saya masih melawatnya dan cucu-cucu saya.

"Soal Norman dan Abby, saya tidak mahu cakap apa-apa. Semuanya ketentuan Allah. Sesuatu perkara yang terjadi tentu ada sebabnya,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: