Wednesday, January 21, 2009

Pelakon mengaku tidak salah


NORMAN Hakim dan Memey bercakap kepada wartawan selepas perbicaraan kes khalwat mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, semalam. - UTUSAN / WAHIDAH ZAINAL


KUALA LUMPUR 20 Jan. - Aktor popular, Norman Hakim dan pelakon muda, Memey Suhaiza masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini hari ini atas tuduhan berkhalwat di sebuah pejabat pada Oktober tahun lalu.

Norman, 33, dan Memey, 21, yang bukan mahram didakwa berada bersama-sama dalam keadaan yang menimbulkan syak kira-kira pukul 3 pagi, 30 Oktober 2008 di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, dekat sini.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala Memey atau nama sebenarnya, Suhaiza Suhaimi didakwa di bawah Seksyen 29(1)(b) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun atau kedua-duanya.

Hakim syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhamad menetapkan 3 Mac ini untuk perbicaraan kes tersebut.

Wan Mahyuddin juga membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin kakitangan awam bagi mengelakkan tertuduh menghilangkan diri semasa perbicaraan.

Pegawai pendakwa syarie, Muhamad Nazri Basrawi yang mengendalikan pendakwaan sebelum itu turut memberitahu, sekurang-kurangnya enam saksi akan dipanggil memberi keterangan.

Terdahulu, Memey yang ditemani seorang ibu saudaranya tiba di mahkamah dengan menaiki kereta Proton Persona pada pukul 8.45 pagi dan disusuli oleh Norman yang menaiki sebuah kereta pacuan empat roda kira-kira lima minit kemudian.

Turut hadir di mahkamah ialah beberapa ahli keluarga Norman termasuk ibunya, Kamariah Kamat, 66.

Pasangan pelakon itu yang berpakaian sedondon dengan kombinasi warna hitam putih kelihatan mesra dengan Memey sentiasa melemparkan senyuman.

Norman dan Memey serta ahli keluarganya beredar dari mahkamah dengan menaiki sebuah kereta kira-kira pukul 1 petang selepas urusan pembayaran wang jaminan selesai.

Ketika ditemui wartawan selepas prosiding, Norman memberitahu, oleh kerana mereka berdua tidak begitu mahir dengan prosedur mahkamah dan setelah menerima pandangan pihak mahkamah serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), mereka akan melantik peguam syarie mewakili diri masing-masing.

''Kami akan membuat yang terbaik untuk membuktikan kami tidak bersalah,'' ujar Norman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: