KUALA LUMPUR 20 Jan. - Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap pelakon Ako Mustapha kerana gagal hadir bagi menghadapi tuduhan khalwat yang dihadapinya, dua tahun lalu.
Hakim syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad mengeluarkan perintah tersebut setelah dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa saman supaya Ako hadir di mahkamah pada hari ini telah ditampal di alamat rumah pelakon itu.
Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 38, yang baru berkahwin dengan Kartina Shuaib, 29, di Sabah pada Sabtu lalu sepatutnya dikenakan tuduhan khalwat dengan seorang wanita bukan Islam berusia 25 tahun di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa pada 27 Jun 2007.
Hari ini merupakan sebutan kali keempat kes itu sejak pertama kali disebut di mahkamah pada 20 Mei tahun lalu. Ako gagal hadir bagi ketiga-tiga sebutan kes berkenaan sebelum ini.
Sebanyak tiga saman telah dikeluarkan terhadap Ako agar hadir ke mahkamah tetapi ia gagal diserahkan ke tangan pelakon itu sendiri sehingga menyebabkan saman terakhir ditampal di alamat rumah Ako di Kota Damansara.
Berikutan kegagalan Ako hadir di mahkamah hari ini, pegawai pendakwa syarie, Shamsul Khair Bahro yang mengendalikan pendakwaan memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap pelakon itu.
Menurut Shamsul Khair, waran tangkap itu akan diserahkan kepada Ako melalui penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengikut alamatnya di Kota Damansara.
Wan Mahyuddin menetapkan 3 Mac ini untuk sebutan semula kes tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: