Wednesday, January 21, 2009

Jawablah!: Tidak mahu terus bersembunyi


Memey Suhaiza

Memey kuatkan azam untuk bangkit kembali tanpa peduli pandangan masyarakat

DIA duduk di hadapan penulis dengan wajah yang sugul seperti seorang pesalah cinta yang sedang menanti masa untuk dihukum. Sesekali dia cuba untuk tersenyum bagi melindungi debaran di hati. Maklumlah, sekian lama menyembunyikan diri gara-gara peristiwa di tangkap khalwat bersama pelakon Norman Hakim tersebar, baru kini dia berani tampil bertemu pihak media untuk menjelaskan perkara sebenar.

Pada pertemuan kami usai dirinya menjadi tetamu untuk program bual bicara, Wanita Hari Ini, pelakon Memey Suhaiza dengan rela 'menyerah diri', membiarkan pelbagai persoalan diajukan padanya.

Biarpun ada di antara soalan yang ditujukan bisa mengguris perasaan namun Memey tetap mampu bertahan tanpa memberi sebarang reaksi negatif.

Tutur katanya cukup berhati-hati dan setiap soalan yang diberi pasti akan ada jawapan yang keluar dari mulut pelakon berusia 20 tahun ini. Bijak sungguh dia menangani situasi sehingga ada yang mendakwa jawapan yang diberi seolah-olah dibaca dari sebuah skrip.

Sambil mengakui kesalahan yang dilakukan, Memey berulang kali menegaskan bahawa antara dia dan Norman hanyalah sekadar teman biasa. Namun dalam pada mengaku antara mereka tiada hubungan istimewa, Memey dalam temubual itu tetap memberi pujian terhadap lelaki yang kini sudah bergelar duda itu.

Memey anggap Norman lelaki yang baik, prihatin dan sering memberi nasihat kepadanya.

Berdasarkan pengamatannya, Memey mengakui Norman seorang lelaki yang baik dan prihatin serta banyak memberinya dorongan dalam menempuhi cabaran hidup.

Hip: Sebagai pelakon pastinya Memey bertemu dengan ramai lelaki namun mengapa Norman juga menjadi pilihan?

Memey:
Pada saya Norman lelaki yang baik, suka ambil berat serta banyak memberikan nasihat dan pandangan dalam bidang seni memandangkan dia lebih berpengalaman. Dia beritahu apa yang perlu dan tidak perlu saya buat, dan dia seorang yang cekap dalam pelbagai aspek dan melihat potensi yang saya sendiri tidak mengetahuinya. Selepas kejadian ditangkap itu, kami ada berjumpa dan dia banyak memberi sokongan untuk berdepan masalah itu dan masyarakat. Pun begitu, ingin saya tegaskan di sini bahawa antara saya dan Norman hanyalah kawan biasa saja. Tiada hubungan istimewa.

Hip: Apakah Norman juga yang menjadi pendorong Memey sehingga sanggup keluar dari persembunyian?

Memey: Sebenarnya saya tidak pernah bersembunyi seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini. Sepanjang tempoh itu, saya banyak belajar daripada mereka yang berpengalaman bagaimana untuk berdepan dengan situasi seperti ini. Antara yang saya pelajari adalah berdiam diri itu lebih baik sebenarnya dan jika ingin keluarkan sebarang kenyataan biarlah sehingga keadaan itu reda supaya tidak timbul masalah lain pula. Selepas kejadian itu lebih baik saya menghilangkan diri seketika kerana tidak mahu keadaan semakin menjadi keruh.

Hip: Ada yang mendakwa Memey dan Norman sudah berkahwin secara rahsia di negara jiran.

Memey:
Itulah yang menghairankan saya. Bagaimana cerita seperti itu boleh timbul sedangkan kami sendiri tidak pernah merancang untuk berkahwin apatah lagi bernikah di Thailand seperti yang didakwa. Itu semua tidak benar. Saya tidak menolak jika ada jodoh di kemudian hari. Kalau boleh saya memang hendak mengelak menjalin hubungan dengan suami orang, tetapi tiada siapa tahu apa yang berlaku pada masa depan.

Hip: Boleh Memey ceritakan mengenai kes tangkapan khalwat yang membabitkan anda berdua.

Memey:
Sebenarnya hubungan saya dengan Norman sudah pun diketahui keluarga dan mereka sendiri tahu yang kalau saya tiada urusan penggambaran, saya akan berada di pejabat Norman untuk belajar hal perniagaan. Malangnya kami ditangkap dan didakwa berkhalwat. Sebaik saja perkara itu berlaku, saya terus memaklumkan perkara ini kepada emak saya. Kalau boleh saya tak mahu perkara ini diketahui dari mulut orang lain. Mujurlah emak amat memahami dan menyuruh saya supaya banyak bersabar. Bagaimanapun, saya akui, kejadian ditangkap itu sesuatu yang amat mengaibkan saya dan keluarga. Apatah lagi ia membabitkan suami orang.

Hip: Apakah Memey percaya pada hukum karma iaitu apa yang Memey lakukan hari ini, mungkin akan Memey lalui pada masa depan? Apa perasaan Memey apabila dikatakan menjadi punca keretakan rumah tangga Norman dan Abby?

Memey:
Saya tahu ramai yang menuding jari kepada saya apabila ini berlaku. Saya sedar akan kesalahan saya dan saya ingin meminta maaf kepada semua pihak yang selama ini terluka dengan perbuatan saya. Sebagai manusia biasa, saya tak lepas dari kesalahan. Dan sebagai hambanya, saya juga tidak mampu menolak takdir yang sudah ditentukan pada saya. Saya percaya Qada dan Qadar. Ada masa saya tersungkur dan sekarang saya mahu bangkit semula untuk menjadi manusia yang berjaya. Apa pun saya minta maaf kepada masyarakat atas apa yang terjadi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: