![]() Liyana dengan peranan yang menyeramkan menerusi filem Histeria. |
Liyana Jasmay gigih bina kerjaya seni ketika usia masih muda
PERJALANAN seni gadis genit ini semakin mendapat perhatian. Liyana Jasmay, 21, antara bintang muda yang semakin pantas memacu kerjaya sebagai pelakon dan kini sudah mula galak berbicara mengenai impiannya bergelar penyanyi.
Tidak dinafikan Liyana antara pelakon pelapis yang sedang rancak kala ini, kerana selesai saja muncul dalam filem Histeria, kini filem lakonan terbarunya, Maut pula sudah berada di panggung wayang sejak 15 Januari lalu.
Watak-wataknya dalam filem itu sangat jauh berbeza dengan karektor sebenarnya. Dalam filem, dia sering digambarkan sebagai gadis bermasalah, terkongkong, suka memberontak sedangkan realitinya Liyana adalah gadis periang yang ke mana-mana saja sering ditemani ibunya.
Drama lakonannya Puaka Niyang Rapik kini sedang disiarkan di TV3 menerusi slot Seram.
Dan, pada Februari ini, Liyana bakal muncul dengan album EP mengandungi lima buah lagu terbitan komposer Ajai. Sewaktu dihubungi minggu lalu, Liyana dan kakaknya, Adriana berada di pusat membeli belah terkemuka di ibu negara kerana sibuk memilih busana yang sesuai digayakan bersesuaian dengan imej yang bakal ditampilkan di dalam kulit albumnya nanti.
![]() |
| Aksi Liyana dan Que Haidar dalam filem Papadom yang akan ditayangkan tidak lama lagi. |
Menurut pelakon berasal dari Pahang ini, gayanya diilhamkan daripada konsep yang ditampilkan penyanyi Miley Cyrus dan Avril Lavigne. Kakaknya pula membantu memberi nasihat mengenai konsep pakaian yang bakal dikenakan. Sejak Isnin lalu, Liyana sibuk menjalani penggambaran kulit album sulungnya.
Seperti kebiasaan tahun lalu, Liyana begitu komited menjalani kehidupannya sebagai pelakon dan tidak salah sesekali dia menghabiskan waktu senggang dengan pergi bercuti.
Jadi bermula 26 Disember hingga 5 Januari lalu, Liyana sekeluarga termasuk abang dan kakak iparnya menenangkan jiwa daripada kesibukan kerja sekali gus menyambut tahun baru di Rome, Itali.
“Ini adalah percutian yang dirancang oleh keluarga. Selain bercuti, acara berkumpul sesama ahli keluarga ini menjadi tradisi wajib kami. Sewaktu hari raya pun kami akan ke Port Dickson untuk mengukuhkan ikatan silaturahim.
“Agak lama saya ‘meninggalkan’ Rome, teruja juga rasa di hati dapat menikmati cuti di sana sekali lagi. Paling saya kagumi, bangunan bersejarahnya membuatkan diri saya berada dalam sebuah kembara yang mencabar
“Kali ini saya banyak teroka benda baru dan semestinya saya tidak lupa membeli belah. Kebetulan saya tidak membawa banyak pakaian, jadi pilihan mudah saya di sana hanya membeli baju untuk pakaian harian di sana.
“Bercuti ini ibarat terapi untuk saya melupakan kekusutan fikiran dan kerja di Kuala Lumpur. Saya tidak ingat langsung mengenai kerja di sana. Bercuti ini harus seimbang dengan kerja tapi saya harus katakan kerja kena lebih sebab saya jenis kuat bekerja. Cukuplah sekadar dua tiga kali saya peruntukkan untuk bercuti,” katanya.
Mahu lebih matang daripada usia
BERSAHABAT akrab dengan Aizat menimbulkan tanda tanya kepada pihak yang memerhatikannya dari jauh. Lalu, timbul andaian kononnya Liyana dan penyanyi muda itu sedang hangat bercinta.
Selepas itu, menerusi petikan temu bualnya di dalam program sensasi Melodi juga diperkatakan, apabila lagak ‘gediknya’ makin menjadi-jadi.
Tidak melatah dan menuding jari kepada sesiapa, Liyana secara terbuka memohon maaf dan mengakui ia adalah kesilapan dirinya.
Bagi yang sudah mengenali gadis ini, Liyana antara anak seni yang mesra, ramah dan mudah didekati. Sikapnya itu menyebabkan dia disenangi oleh media.
Bagaimanapun, masing-masing mempunyai persepsi berbeza terhadap pelakon itu.
“Mungkin apa yang terjadi dan disebut itu adalah salah saya sendiri yang tidak pandai menjaga diri. Saya terlepas tingkah laku dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi pada masa depan.
“Ia adalah satu pengajaran terbesar untuk saya terus mematangkan diri. Kalau apa yang saya sudah lakukan ini menimbulkan kemarahan di kalangan peminat dan orang di luar sana, saya mohon diberi kemaafan,” tegasnya.
Tidak ingin terus lalai dengan perkara yang tidak dapat dikawal, Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-19 ini ingin terus memastikan fokus dan resolusinya pada 2009 akan berada pada landasan yang betul.
Menurutnya, dia ingin terus mempersiapkan diri dengan bersikap kental dan kebal terhadap apa juga yang bakal dilaluinya ke depan.
“Saya sudah tetapkan tahun ini adalah tahun untuk saya bekerja kuat. Tambahan pula cabang seni saya kini bertambah satu lagi dengan bergelar penyanyi. Saya harus bersedia dengan apa juga kemungkinan dan kritikan yang bakal saya hadapi kelak.
“Biarpun masih muda (berusia 21 tahun), saya mahu jadi lebih dewasa dan matang. Saya mahu berfikir dengan lebih serius tanpa mengubah personaliti diri saya yang sedia ada.
“Saya juga mahu menaikkan kualiti lakonan saya dan juga nyanyian kepada 140 peratus. Saya tidak boleh terus statik, bimbang akan menyebabkan timbulkan pandangan hasil kerja saya dalam bidang seni dilihat sebagai sama saja,” katanya.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: