|
BERBICARA dengannya walaupun hanya di telefon, nyata dia bukan pelakon yang sombong. Bahkan, tiada istilah ‘memilih’ media bagi Esma Daniel. Semuanya dilayan sama rata memandangkan publisiti penting kepada golongan artis. |
Namun, hubungan baik itu tidak pernah cuba disalah guna.
Bapa kepada anak ini lebih senang cerita mengenainya ditulis media andai ada perkembangan baru. Justeru, kini Esma berada di Indonesia kerana menjalani penggambaran sinetron.
Esma bersama dua pelakon tanah air iaitu Linda Hashim dan Haeriyanto Hassan dipilih membintangi sinetron Melodi Yang Terindah usaha sama antara Double Vision Sdn Bhd dengan produksi di negara jiran itu. Malah, Esma membawa watak utama.
Menurut lelaki yang baru meraikan ulang tahun ke-40 pada 16 Januari lalu, dia melakonkan watak komposer dari Malaysia bernama Budi yang menetap di Indonesia. Pada zaman mudanya, Budi pernah menjalin cinta dengan seorang komposer wanita.
“Ketika asyik bercinta, mereka turut mencipta satu lagu yang tidak habis melodinya. Ia disebabkan, kedua-duanya berjanji menyiapkan lagu itu selepas berkahwin nanti. Sayangnya, cinta putus di tengah jalan dan masing-masing membawa haluan sendiri.
“Bagaimanapun, memori indah lalu kembali mekar apabila anak angkat Budi menyertai satu kumpulan muzik. Pada pertandingan diadakan, kumpulan itu menyanyi lagu berkenaan. Budi terkejut kerana tidak menyangka melodi lagu sudah disiapkan.
“Jadi, Budi sedar yang bekas teman wanitanya meneruskan usaha itu selama ini,” katanya menceritakan serba sedikit jalan cerita sinetron dilakonkan. Malah, apa yang pasti Esma mengakui dia berdebar untuk bergandingan dengan pelakon seberang.
Jelasnya, bukan kerana terasa diri kecil tetapi ini pengalaman pertama. Apapun, Esma bersyukur kerana mengikut maklumat diterima daripada beberapa pelakon tanah air yang pernah berlakon di Indonesia, layanan diterima sama rata.
“Kru produksi di sana (Indonesia) pun khabarnya tidak berat sebelah. Mereka melayan pelakon dari negara ini bagaikan ‘tetamu’. Justeru, rasa hormat atas apa yang diberi itu pastinya tidak akan membuatkan saya berasa tersisih dan tiada semangat.
“Dalam soal ini, apa yang saya lihat adalah peluang. Bukan mudah meraihnya dan saya tidak boleh main-main. Apa yang dimahukan sekarang, lakonan saya pada watak dibawa menjadi. Itu yang akan menjadi bukti dan kayu ukur pada keupayaan diri,” katanya.
Ditanya pula pandangannya terhadap perkembangan bidang lakonan Indonesia, Esma berkata ia tidak banyak beza. Dari segi kelebihan dan kuantiti lebih kurang sama dengan industri tempatan. Namun, apa yang mampu dibandingkan soal bayaran.
“Setahu saya, di Indonesia bayaran untuk pelakon lebih tinggi daripada kru belakang tabir. Malah, ia dibayar dengan dolar Amerika . Jadi, pastinya jumlah itu tidak sama dengan kadar ringgit. Oleh itu, saya memang puas hatilah soal bayaran.
“Selain itu, industri hiburan tempatan juga kecil jika hendak disamakan dengan Indonesia. Mungkin, jumlah penduduk mereka terlalu ramai dan kemunculan bakat baru pun silih berganti. Tetapi, di negara ini jumlahnya sangat terhad kerana faktor penduduk,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: