Thursday, January 15, 2009

Hati golongan dewasa turut tercuit


LUCU dan seronok apabila melihat pelbagai gelagat dan aksi kanak-kanak dalam program, Tom Tom Bak (TTB) yang disiarkan menerusi Astro Ceria (saluran 611) setiap Ahad jam 12 tengah hari.

Kanak-kanak bukan saja mampu menawan hati golongan mereka malah mencuit hati orang dewasa yang melihat setiap aksi menerusi segmen yang ditampilkan. Selain persembahan tarian, nyanyian dan permainan yang pasti menghiburkan.

Penampilan pengacara terkenal, Aznil Nawawi tidak kurang hebatnya ketika mengendalikan kerenah kanak-kanak yang membuatkan ibu bapa teruja melihat bakat si cilik daripada seluruh semenanjung Malaysia. Kanak-kanak berkenaan juga menunjukkan minat dan tumpuan untuk terbabit dalam menjayakan program itu.

Difahamkan lebih 400 peserta muncul ketika sesi uji bakat yang berlangsung di Lembah Klang beberapa bulan lalu.

Wartawan Rap berkesempatan mengikuti rakaman program TTB di Studio 9, Wisma Ali Bawal, Petaling Jaya, baru-baru ini. Rakaman terpaksa diadakan sepanjang cuti sekolah hujung penggal. Biarpun tarikh awal siaran untuk musim keempat hanya dapat ditonton setiap Ahad bermula 31 Mei ini.

Pengurus Saluran Astro Ceria, Azlin Reza Azmi berkata sambutan positif membuatkan pihaknya yakin untuk terus menerbitkan program berilmu untuk kanak-kanak itu.

Apatah lagi bersandarkan kepada kekuatan kandungan dan kebolehan hebat pengacara, Aznil Nawawi dalam mengendalikan keletah kanak-kanak.

"Kami menerima sambutan baik sejak musim pertama. Malah sejak disiarkan perkembangan positif dapat dilihat menerusi jumlah penyertaan peserta. Jika musim pertama kami berdepan cabaran sukar apabila terpaksa mencari bakat kanak-kanak daripada beberapa negeri begitupun perkara itu dapat diatasi daripada masa ke semasa.

"Kami juga menerima pelbagai respons mengenai program ini. Ikutkan program ini sentiasa memberi kebebasan kepada peserta untuk tampil menjayakan persembahan asalkan ia tidak meruntuhkan akhlak dan menyentuh sensitiviti masyarakat.

"Sejak disiarkan kami masih mengekalkan pengacara asalnya iaitu Aznil. Malah pihak pengurusan juga percaya kemampuan dan kredibiliti Aznil dalam melaksanakan tugasnya. Tidak timbul langsung soal penonton jemu atau kurangnya bakat pengacara untuk program kanak-kanak. Pihak kami sentiasa menaruh keyakinan yang tinggi kepada Aznil untuk mengendalikan program ini," katanya.



Ketika ditemui pada rakaman program itu, Azlin turut meluahkan perasaan bangga dan seronok melihat gelagat kanak-kanak menerusi segmen seperti Anmum Essential Eja, Jom Borak dan Ada Bakat Ke?. Sepanjang proses rakaman berlangsung studio berkenaan sentiasa dipenuhi kanak-kanak dan ibu bapa yang menemani anak mereka menonton program berkenaan.



Pihak penerbitan juga mengakui terpaksa mengadakan rakaman program berkenaan sepanjang cuti sekolah yang panjang untuk tidak mengganggu jadual aktiviti harian dan pembelajaran peserta terutama yang berasal daripada luar Lembah Klang. Program yang disiarkan selama setengah jam itu mensasarkan penyertaan penonton 3 hingga 14 tahun. Disamping Aznil sebagai pengacara tetap program berkenaan turut menampilkan kepetahan kanak-kanak, Ayma yang akan bersama Aznil serta karakter badut bernama Kicap yang menampilkan suara Din Beramboi ketika mengendalikan segmen Jom Borak.

Dalam segmen Ada bakat ke? peserta menonjolkan pelbagai persembahan merangkumi tarian, nyanyian dan permainan muzik tradisional. Berbeza pula bagi segmen baru seperti Anmum Essential Eja yang menguji kecekapan kanak-kanak mengeja dengan tepat. Tiga kanak-kanak bertuah yang terdiri daripada 7 hingga 9 tahun dipilih daripada khalayak penonton untuk turut serta dalam pertandingan mengeja itu.

Lebih membanggakan apabila program dengan format sama turut dilancarkan di Indonesia. Program yang berjudul Hom Pim Pa menampilkan pengacara Indra Herlambang disiarkan di negara jiran itu sejak kejayaan musim pertama program itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: