Thursday, January 15, 2009

Lydia Belajar Cara Kendali Kanak-Kanak


BUKAN mudah untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu bidang yang diceburi. Perkara itu turut diakui Penerbit Tom Tom Bak (TTB), Lydia Emalia Ishak, 28, atau Lydia. Daripada program yang kurang dikenali malah dilontarkan hiburan kosong untuk kanak-kanak, kru TTB termasuk Lydia ternyata berbangga dengan pencapaian program yang disiarkan disaluran Astro Ceria itu.

Lydia juga antara sebahagian daripada kru di belakang tabir yang sentiasa memastikan pengisian program berkenaan sesuai ditonton kanak-kanak seterusnya seisi keluarga. Malah sejak menyertainya pada musim kedua, Lydia berdepan pelbagai cabaran dan dugaan dalam mengendalikan program yang penampilan Aznil sebagai perantara.

"Saya menyertai pogram ini sejak musim kedua. Memang banyak pengalaman yang tidak diduga berlaku sepanjang pembabitan saya dalam menjayakan program ini. Sebelum ini, saya pernah menerbitkan program Macam-Macam Aznil (MMA) yang turut mempunyai segmen khas membabitkan penyertaan kanak-kanak.

"Menerusi program itu sedikit sebanyak saya mempelajari cara mengendalikan kanak-kanak. Di sana juga saya mempelajari cara untuk menguruskan kanak-kanak yang menyertai program televisyen.

"Pada peringkat awalnya memang sukar apabila terpaksa berdepan ragam dan sikap kanak-kanak termasuk ibu bapa. Begitupun, masih ada kanak-kanak yang pandai menyesuaikan diri apabila berhadapan kamera. Ada di antara mereka juga tidak berdepan banyak masalah ketika rakaman dilakukan," katanya.

Rakaman TTB berlangsung sepanjang musim cuti sekolah yang baru lalu, mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton. Sepanjang sesi penggambaran berlangsung, studio berkenaan kerap saja dipenuhi kanak-kanak dan ibu bapa.

Mungkin ada yang menganggap penggambaran program dalam studio kurang mencabar berbanding di luar. Begitupun, Lydia mempunyai pandangan tersendiri dan memperolehi kepuasan setiap kali berjaya menyiapkan episod program berkenaan.

"Program di dalam studio mungkin lebih teratur. Penggunaan lebih daripada tiga kamera (MCP) serta kemudahan bilik studio yang selesa dan berhawa dingin mungkin satu kelebihan untuk rakaman di studio.

"Sebelum ini, saya pernah merakamkan program MMA di permukaan lapang seperti Taman Tema Genting Highlands. Cabaran tidak kurang hebatnya. Apabila rakaman berlangsung di luar kru penerbitan berdepan kesukaran untuk menguruskan penonton. Berbanding di studio, penonton yang menyaksikan sesuatu program memang sudah dapat ditetapkan.

"Begitupun bagi program luar, saya tidak dapat menjangka jumlah penonton yang hadir semata-mata menyaksikan program berkenaan ataupun mengambil kesempatan untuk sama-sama terbabit dalam program itu ketika bersiar-siar di taman tema itu.



"Pengisian program juga perlu padat untuk memastikan program yang berlangsung di luar studio dapat menarik perhatian penonton dan pengunjung yang berada di kawasan terbabit," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: