Thursday, January 15, 2009

Wajib lagu ciptaan sendiri


PERTANDINGAN pencarian superband Malaysia pertama, Hot FM Twisties Bingit anjuran stesen radio popular Hot FM makin hampir ke kemuncaknya.

Selepas tiga minggu berlalu, tiga kumpulan, N.A.D.A Band, The Rhymes dan Fury terpaksa melupakan impian bertanding di peringkat akhir Sabtu ini.

Pada persembahan Sabtu lalu di Borneo Rainforest Sunway, Petaling Jaya, Selangor, kumpulan Canaries pula berputih mata dengan keputusan empat juri profesional iaitu Pengurus Label Monkey Bone, Edris Adrien G; komposer Edrie Hashim; pemain bass kumpulan Spider, Tony dan pemain gitar kumpulan Meet Uncle Hussain, Taja.

Walaupun Canaries yang menyanyikan lagu sendiri, Wajah, menerima komen positif juri nyata rezeki tidak memihak kepada mereka selepas berada di tangga tercorot antara tujuh kumpulan bertanding.

Keputusan Canaries yang terkeluar minggu lalu sekali gus menyelamatkan nasib Hunterz yang dijangka ramai terkeluar kerana mendapat kritikan pedas juri. Mengikut jejak Hunterz ke peringkat akhir adalah Modread, Pardon Me, Mystery Call, Rockstar dan Sodo.

Pardon Me juga mencuri tumpuan apabila menyampaikan lagu Akan Ku Tunggu yang pernah dipopularkan kumpulan Candy manakala Modread memikat hati juri dengan lagu Estranged, Velocity.

Berbeza dengan Rockstar yang selesa membawakan lagu ciptaan sendiri menggunakan judul nama kumpulan mereka dikritik tidak peka dengan kehendak pertandingan dan dikatakan syok sendiri.

Menjelang peringkat akhir yang akan diadakan di tempat letak kereta, E-Centre, Caps Square, Kuala Lumpur, jam 2.30 petang itu, semua peserta dijangka memberikan persembahan sengit.

Cabaran kali ini, setiap kumpulan diberi masa 10 minit untuk membuat persembahan dan mereka wajib membawa sebuah lagu ciptaan sendiri.

Pengurus Rangkaian Program Radio Hot FM, Anida Mohd Tahrim berkata, semua kumpulan yang bertanding menunjukkan peningkatan dari aspek persembahan. Menariknya, sejak awal pertandingan bermula, penganjur bertanggungjawab menggabungkan setiap anggota menjadi kumpulan baru.



“Dari mula, kami berhadapan cabaran mencari anggota sesuai untuk digabungkan dalam satu kumpulan. Walaupun tidak mengenali antara satu sama lain sejak mula digandingkan, mereka serius ketika membuat persembahan apatah lagi terpaksa berhadapan penyingkiran.



“Cuma ada satu vokalis yang tarik diri kerana mempunyai komitmen lain manakala anggota kumpulan lain tidak membantah apabila disatukan dalam satu kumpulan. Dalam proses itu, kami terlebih dulu memilih mereka yang mempunyai bakat sebagai vokalis dan pemain muzik.

“Selepas itu, kami melihat faktor tempat tinggal berdekatan agar mudah berlatih muzik bersama. Kami melihat gabungan setiap kumpulan yang bertanding ini mempunyai keserasian dan kebanyakan mereka lebih gemar memilih genre rock dan pop rock untuk persembahankan.

“Untuk peringkat akhir ini, setiap kumpulan bebas memilih lagu untuk persembahan mereka. Sebuah lagu sendiri yang dirakam sebelum ini dipersembahkan semula.

“Menariknya, dua kumpulan iaitu Hunterz dan Pardon Me yang layak ke peringkat akhir menyaksikan dua vokalis wanita bersaing dan ini pastinya memberi tarikan kepada penonton,” katanya.

Tidak terkecuali, pertandingan akhir ini yang dijangka berlangsung selama lima jam turut menjemput artis jemputan iaitu kumpulan Meet Uncle Hussain mengadakan persembahan. Empat juri tetap yang diperkenalkan sebelum ini dikekalkan.

Hanya juara akan membawa pulang hadiah RM20,000 bersama kontrak rakaman bersama Monkey Bone. Berdasarkan sambutan peserta dan penonton pertandingan ini, penganjur merancang untuk meneruskan pertandingan ini pada masa akan datang selain mahu menjadikan ia sebagai program realiti TV.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: