|
CANTIK dan mempunyai pakej yang lengkap untuk bergelar pengacara. |
Kelebihan itulah yang menjadi sandaran empat pengacara pelapis yang mewarnai musim baru program bual bicara popular TV3, Wanita Hari Ini (WHI) bermula bulan ini.
Empat pengacara baru itu ialah Syarifah Salwa Syed Abdul Rahman (Wawa), Nur Syahira Aiyob (Shera), Irin Putri Azmi (Irin) dan Suraya Yeop Junior (Suraya).
Mereka bakal bergandingan dengan pengacara sedia ada seperti Azizah Ariffin, Ruhil Syafinaz, Nur Azura Azizul Azman, Siti Hasfizza Aswati Sabjahan (Fizza) dan Ifa Raziah.
Berbanding tiga lagi pengacara baru, Wawa, 29, dari Batu Pahat, Johor nampak lebih berkeyakinan apabila berada di depan kamera.
Justeru, tidak hairanlah dia tidak perlu bergandingan dengan pengacara lama ketika bersiaran.
Sebaliknya, Wawa digandingkan dengan seorang lagi pengacara baru, Shera pada minggu berkenaan.
Ibu kepada dua cahaya mata yang juga bekas pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) ini pernah bertugas sebagai Penyampai Berita & Eksekutif Pembangunan, Berita dan Hal Ehwal Semasa di saluran ntv7 serta wartawan Penyiaran Nona sebelum menyertai warga kerja WHI tahun ini.
“Pengalaman bertugas dengan saluran ntv7 selama lima tahun banyak membantu saya untuk tampil yakin di depan kamera, malah tampil dengan identiti sendiri dan tidak terikut dengan gaya pengacara lain.
“Saya juga tidak berasa rugi meninggalkan ntv7 kerana bagi saya WHI juga mempunyai cabaran tersendiri dan ia juga adalah program dikendalikan wanita yang mengupas isu wanita sekali gus memartabatkan golongan wanita di luar sana.
“Apapun, saya perlu ubah cara saya bercakap untuk disesuaikan dengan program ini kerana suka bercakap laju,” katanya.
Wawa berkata, dia juga membuat persiapan rapi sebelum bersiaran di WHI.
Katanya, dia ingin pastikan penonton dapat informasi yang disampaikan dalam program ini, antaranya, kajian menerusi Internet berhubung topik dibincangkan pada minggu berkenaan.
“Saya suka berikan kata-kata azimat kepada penonton setiap kali bersiaran sebagai kelainan. Pada masa sama, saya juga menganggap gandingan dengan pengacara lama sebagai satu penghormatan buat pengacara baru dan tidak ada salahnya untuk bertukar fikiran dengan mereka demi memberikan yang terbaik buat program ini,” katanya.
Irin, 26, yang juga wartawan penyiaran Majalah 3 sejak setahun lalu, bangga menjadi barisan pelapis WHI kerana diberi peluang beraksi di depan kamera buat kali pertama sekali gus bergelar pengacara.
Pemegang Ijazah Pengurusan Teknologi dan Multimedia, University Multimedia, Cyberjaya ini juga berpengalaman sebagai Wartawan Penyiaran Unit Berita, Wartawan Penyiaran Medik TV selama tiga tahun sebelum menyertai Majalah 3 sejak September 2007.
“Terus terang, saya tidak pernah buat program yang disiarkan secara langsung seperti WHI. Bagaimanapun, menerusi sesi latihan kepada pengacara atau ‘mock run’ yang disediakan sebelum ini banyak membantu saya meningkatkan keyakinan diri sedia ada.
“Apa yang penting, sebelum bersiaran, saya buat persiapan rapi dan pengetahuan yang lengkap mengenai topik dibincangkan.
“Saya perlu pastikan mempunyai keserasian dengan pasangan yang digandingkan dengan saya dalam program ini. Kalau penonton nampak kami tidak serasi, program ini menjadi tidak menarik untuk ditonton,” katanya.
Sebagai pengacara muda, Irin yang sudahpun berstatus isteri menyedari dia mempunyai tanggungjawab besar untuk tampilkan imej segar dalam WHI sekali gus menarik penonton yang berusia 20-an.
“Saya yakin isu semasa dan kesihatan yang ditampilkan dalam WHI boleh menarik perhatian golongan muda untuk menonton WHI,” katanya.
Pengacara paling muda, Sheera, 23, yang berasal dari Ipoh, Perak pula bersandarkan pengalamannya sebagai pengacara My Tv3 sejak tahun lalu.
Pemegang Diploma Malaysia Institute of Integrative Media ini mengakui masih banyak ilmu yang perlu ditimbanya untuk menjadi pengacara yang bagus pada masa depan.
“Saya menjadi pengacara My Tv3 tidak sampai setahun dan ia juga program rakaman. WHI program lebih mencabar kerana ia disiarkan secara langsung. Bila buat progran ini, saya mula nampak hala tuju dalam bidang penyiaran. “Saya beruntung kerana pengacara senior tidak kedekut ilmu dan banyak membantu saya dengan tips berguna untuk memperbaiki prestasi sedia ada dari semasa ke semasa. “Mereka juga banyak memberi saya sokongan untuk tampil lebih yakin di depan kamera. Contohnya, saya masih nampak gementar lagi apabila kali kedua bersiaran,” katanya.
Pengacara yang masih bujang ini mengakui, ada cabaran yang besar menantinya dalam WHI.
Kata Sheera, dia lebih suka melihat cabaran itu dari sudut yang positif.
“Saya paling muda dan satu-satunya pengacara baru WHI yang masih belum berkahwin, tetapi mengupas isu yang lebih matang berkaitan kisah rumah tangga. Apapun, ia bukan halangan buat saya buat yang terbaik serta menarik golongan remaja untuk menonton WHI,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengacara baru WHI, Suraya dari Ipoh, Perak juga mencuba bakat sebagai pengacara WHI kerana ingin mengembangkan bakatnya dalam bidang pengacaraan.
Pemegang Ijazah Pemasaran dari Universiti Tenaga Nasional, Kajang ini juga bertugas sebagai Eksekutif Komunikasi dan Jenama, Alt Media Sdn Bhd (www.gua.com.my) yang juga anak syarikat Media Prima Berhad.
“Semuanya bermula bila saya ditawarkan warga kerja WHI untuk mencuba nasib uji bakat menjadi pengacara WHI. Selepas buat ‘mock run’, saya tidak menerima sebarang jawapan dari mereka. Namun, selepas ‘mock run’ kali ketiga saya terus ditawarkan menyertai warga kerja WHI.
“Saya bersedia untuk menyahut cabaran ini kerana berminat untuk mengupas isu berkaitan wanita di luar sana dalam WHI.
Saya juga ingin melihat sejauh mana saya boleh menempa nama dalam bidang pengacaraan,” katanya.
Suraya juga tidak melihat statusnya sebagai isteri menjadi halangan baginya untuk berikan yang terbaik pada program itu.
“Suami juga menyokong minat saya dari belakang. Apa yang penting, saya perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya sedia ada dengan komitmen dengan WHI. Saya hanya terbabit dalam program ini sekali dalam dua minggu dan tidak menjejaskan kerjaya saya dengan Alt Media,” katanya.
Wadah baru WHI ini disiarkan secara langsung selama sejam di TV3 pada jam 12 tengah hari, setiap Isnin hingga Jumaat.
>Profil
NAMA PENUH: Nur Syahira Aiyob
PANGGILAN: Shera
ASAL: Ipoh, Perak
TARIKH LAHIR: 21 Disember 1986
AKADEMIK: Diploma Institut Media Integratif Malaysia
STATUS: Bujang
PENGALAMAN: Mengacara program My Tv3 (2008)
>Profil
NAMA PENUH: Irin Putri Azmi
PANGGILAN: Irin
ASAL: Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur
TARIKH LAHIR: 28 September 1982
AKADEMIK: Ijazah Pengurusan Teknologi Multimedia, Universiti Multimedia, Cyberjaya
STATUS: Berkahwin
PENGALAMAN: Wartawan Penyiaran Unit Berita (Okt-Nov 2004), Wartawan penyiaran Medik TV (Nov 2007-Sept 2007),
Wartawan Majalah Tiga (Sept 2007 hingga sekarang)
>Profil
NAMA PENUH: Syarifah Salwa Syed Abdul Rahman
PANGGILAN: Wawa
ASAL: Batu Pahat, Johor
TARIKH LAHIR: 28 Jun 1979
AKADEMIK: Sijil Perkomputeran Perniagaan dari Institute Tutorial
STATUS: Berkahwin
PENGALAMAN: Penyampai Berita & Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Bilik Berita dan Hal Ehwal Semasa ntv7 dan
wartawan penyiaran Nona (September 2008 hingga sekarang)
>Profil
NAMA PENUH: Suraya Yeop Junior
PANGGILAN: Suraya
ASAL: Ipoh, Perak
TARIKH LAHIR: 8 Mac 1980
AKADEMIK: Ijazah Pemasaran, Universiti Tenaga Nasional, Kajang.
STATUS: Berkahwin
KERJAYA: Eksekutif Komunikasi dan Jenama, Alt Media Sdn Bhd (www.gua.com.my)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: