|
CADANGAN mewujudkan Skim Pencen untuk artis tempatan masih dalam perbincangan di peringkat Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW). Walaupun skim itu memberi kelebihan kepada artis sebagai jaminan di usia emas, tetapi ia perlu diteliti lanjut. |
Sebelum ini, menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pernah membawa perkara berkenaan pada mesyuarat Kabinet.
Malah, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Husni Mohamed Hanadzlah terlebih dulu mencadangkan di Dewan Negara agar Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menjadi badan pelaburan untuk semua artis sama ada penggiat filem dan karyawan seni dengan mencarum wang untuk simpanan masa depan.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Razali Ibrahim berkata ia adalah petanda baik apabila perkara itu dibincangkan di peringkat mesyuarat Kabinet.
Namun, pelaksanaan skim berkenaan perlu memikirkan masalah kebanyakan artis yang bekerja mengikut kontrak.
Katanya, caruman menerusi Skim Pencen mahupun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu mendapat persetujuan antara majikan dan artis.
Bagaimanapun, Finas tetap berusaha dalam membantu dan menyokong usaha berkenaan agar ia dapat dilaksanakan dengan baik.
“Selain fokus pada Skim Pencen, Finas juga mencadangkan Skim Berkelompok diwujudkan. Ia bertujuan memberi kemudahan insurans kepada artis daripada risiko kemalangan ketika bekerja.
“Namun, Finas berasakan skim ini lebih mudah dilaksanakan mengikut artis yang berdaftar menerusi persatuan artis.
“Mungkin mana-mana artis yang mahu menyertai skim ini, mereka boleh merujuk persatuan. Bagi memastikan pelaksanaan ini berjalan lancar, ia perlu mencari syarikat insurans yang sesuai untuk bekerjasama,” katanya.
Sementara itu, Razali yang hadir pada sidang media Hari Terbuka Finas di pejabatnya, baru-baru ini, turut menyampaikan bantuan Skim Belaan Artis pada enam artis yang menganggotai Persatuan Artis India Warganegara Malaysia (Miewa).
Jumlah sumbangan keseluruhan sebanyak RM28,000 diberikan kepada Subramaniam Murugan, Blabagasee @ Allabase Abdul Karim, Kathirvelu Dorasamy, Balan Ramasamy, Nagappan Ramasamy dan Thilainathan Pappan.
Turut hadir pada sidang media itu Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyiddin Mustakim, Timbalan Ketua Pengarah Finas, Mohd Zulkifli Ab Wahab, Presiden Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dan Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah dan Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Datuk M Daud Wahid.
Sejak skim berkenaan dilancarkan dua tahun lalu, sebanyak RM236,100 dibelanjakan untuk 21 penerima.
Bagi tahun ini, sebanyak enam penerima iaitu dari Miewa ditambah.
Dalam pada itu, Finas turut menganjurkan Hari Terbuka Finas yang akan berlangsung selama dua hari bermula 31 Januari ini bertempat di Kompleks Studio Merdeka, Finas, Kuala Lumpur.
Acara yang julung kali diadakan ini bertujuan merapatkan hubungan antara Finas dengan karyawan seni dan masyarakat di samping meningkatkan kefahaman umum mengenai fungsi Finas dalam usaha memajukan persada perfileman negara.
Pelbagai acara disediakan dari jam 9 pagi hingga 5 petang antaranya pameran filem, jualan produk filem, persembahan hiburan, tayangan dan diskusi filem, uji bakat berlakon dan ramah mesra bersama artis.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka hadir pada 1 Februari untuk merasmikan Studio Digital Mixstage yang bernilai RM53 juta.
Studio empat tingkat itu mengambil masa pembinaan selama dua tahun dan siap pada September tahun lalu. Ia menempatkan kemudahan pasca produksi setanding Hollywood seperti ‘foley’ dan ‘sound optical camera.’ Sehari sebelum itu, satu perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara Finas dengan saluran TV antarabangsa, History Channel turut diadakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: