| MENILAI raut wajah dan tingkah laku yang lembut, tidak dinafikan penyanyi yang bakatnya dicungkil daripada rancangan realiti TV ini memang mampu menggetarkan hati mana-mana lelaki. |
Begitupun sepanjang pembabitannya dalam bidang seni, SS belum pernah lagi mendengar cerita kurang sedap mengenai penyanyi ini.
Jika adapun hanyalah sekali, apabila dia dikatakan hangat menjalin hubungan cinta dengan seorang lagi bintang realiti yang sama-sama menyertai rancangan itu dengannya. Bagaimanapun ia hanyalah cerita yang dibuat-buat oleh produksi rancangan itu bagi menarik perhatian penonton.
Namun dalam diam rupa-rupanya penyanyi wanita ini ligat menjual cintanya pada lelaki berduit. Sumber terdekat dengan seorang lelaki yang pernah menjadi mangsanya sendiri menghubungi SS memberitahu mengenainya.
Susah SS hendak percaya dengan berita disampaikan kerana apabila melihat wajah penyanyi wanita ini dan keperibadian ahli keluarganya, rasanya cerita itu seperti jauh panggang dari api.
Bagi membuktikan dakwaan, sumber itu menyenaraikan apa yang diperoleh penyanyi itu hasil cinta yang didagangkan. Antara bukti dikemukakan adalah kereta berjenama yang dipandu penyanyi itu sekarang ini.
Tegas sumber itu sekiranya dihitung pembabitannya dalam bidang nyanyian mana mampu seorang penyanyi yang baru saja menamatkan pengajian di universiti membayar ansuran bulanan kereta digunakan.
Selain itu penyanyi itu dan keluarganya baru saja berpindah rumah yang harganya mencecah hampir setengah juta. Sebagai orang yang baru hendak menapak dalam industri muzik tempatan, bagaimana dia membayar ansuran rumah.
Apabila difikirkan kembali memang benar apa yang dinyatakan sumber ini, dan katanya lagi, sekarang ini penyanyi wanita itu sedang hidup mewah kerana dapat memikat hati seorang pembesar negara yang hartanya tidak habis makan untuk tujuh keturunan.
Namun SS tidak mahu percaya 100 peratus apa yang disampaikan sumber ini kerana takut nanti jatuh hukum menjadi fitnah. Mungkin wang dan rumah itu dibeli dengan menggunakan wang hasil menyanyi selama hampir tiga tahun aktif menyanyi. Ataupun dia hanya membayar wang mukanya dan selebihnya keluarganya yang menanggung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: