Thursday, January 15, 2009

Faris bermula daripada 'kosong' dalam bidang produksi


WALAUPUN berkelulusan ijazah dalam bidang Statistik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Fairus Talib tetap memilih membabitkan diri dalam bidang produksi. Pada peringkat awal penyertaan secara suka-suka langsung tidak menyangka mendatangkan minat mendalam baginya.

Kini hampir tiga tahun, Mohd Fairus atau lebih dikenali dengan gelaran Wak sudah membuktikan tanpa asas dalam bidang itu sekalipun seseorang akan berjaya jika mempunyai minat yang mendalam selain kesabaran yang tinggi.

"Boleh dikatakan saya 'kosong' ketika awal-awal menyertai dalam bidang ini. Selepas tamat belajar sekitar 2004, saya menyertai seorang rakan yang terbabit dengan sebuah produksi ketika itu ditugaskan menjayakan rakaman program Monsoon Cup di Terengganu 2005. Pada mulanya memang berasa penat dan cukup mencabar. Lama kelamaan minat bidang produksi datang secara tidak langsung.

"Saya banyak bertanya dan menerima tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman. Saya tidak pernah mengikuti kursus begitupun sentiasa mengamalkan sikap berani mencuba dan bertanya," katanya.

Mohd Fairus sebenarnya bukan asing di kalangan kru penerbitan yang menjayakan program Tom Tom Bak (TTB) memandangkan dia terbabit sebagai kru di belakang tadbir sejak musim pertama program berkenaan.

Bertugas sebagai Pengurus Produksi untuk program TTB musim keempat itu, Fairuz perlu memastikan segala kelengkapan dan kru yang terbabit menjayakan program berkenaan bersedia sepenuhnya sebelum rakaman dilangsungkan.

"Tugas saya mungkin nampak mudah. Namun cabarannya cukup besar. Saya perlu memastikan semua tugas yang diamanahkan berjaya lancar agar rakaman dapat dilangsungkan. Sejak menyertai program TTB, saya memulakan tugas sebagai Pembantu Produksi dan pada masa sama bertindak sebagai Pembantu Pengarah untuk musim pertama, diikuti Pembantu Penerbit (TTB musim kedua) dan Pengurus Produksi (TTB musim ketiga).

"Saya tidak berdepan banyak masalah dalam mengendalikan kerenah kanak-kanak memandangkan bersama program ini sejak musim pertama lagi. Pengalaman banyak membantu saya mengendalikan program. Apa yang menarik minat saya apabila dapat melihat sendiri bakat kanak-kanak ketika menyanyi, menjayakan persembahan seperti tarian, melakukan silap mata dan bermain alat muzik," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: