Sunday, January 18, 2009

Gadis Melayu: Persembahan dramatik bawa tuah buat Aida

SETELAH lebih tiga bulan melalui pelbagai tugasan mencabar, gelaran ikon Gadis Melayu nampaknya berpihak kepada Khairul Noormaidah Zali atau mesra dengan panggilan Aida ini, yang telah berjaya memukau juri profesional dan penonton menerusi persembahan 'dramatik' yang dipamerkannya pada peringkat akhir program realiti terbitan TV9 itu di Auditorium MBSA, di sini, semalam.

Peserta berusia 23 tahun itu berjaya menewaskan empat lagi finalis iaitu Noor Afzan Mohd. Afzul Khan, 27, Siti Nurashikin Mohd. Noor, 22, Nurul Khusna Uma, 20, dan Nur Aishah Zainal, 23 apabila menerima markah keseluruhan tertinggi daripada juri profesional dan juga berdasarkan undian SMS penonton.

Aida dinobatkan sebagai ikon Gadis Melayu

Apa yang pasti, kemenangannya pada malam itu menepati ramalan ramai setelah Aida mempamerkan persembahan yang menarik dengan bacaan puisi bertemakan kasih sayang kepada ibubapa serta turut diselitkan elemen drama memaparkan balasan Tuhan terhadap anak yang derhaka.

Peserta berasal dari Kuantan, Pahang ini juga memukau penonton yang hadir apabila turut menyanyi 'rap' dalam bahasa Arab di dalam persembahannya itu bersama artis jemputan, Akhbar.

Aida juga cukup berkeyakinan ketika menjawab soalan oleh salah seorang juri profesional malam itu, Pakar Bahasa dan Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim tentang tiga ciri utama yang diperlukan bagi menjadi ikon Gadis Melayu.

Peserta berusia 23 tahun ini berjaya menewaskan empat lagi finalis

Dengan kemenangan tersebut, Aida membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 serta produk-produk kecantikan dan kesihatan, sementara empat finalis lagi menerima hadiah saguhati berjumlah RM1,000 tunai setiap seorang.

Program yang bertujuan untuk mencari Gadis Melayu ideal yang masih mengamalkan adat Melayu walaupun berpewatakan moden dan berkarier tinggi ini menilai kriteria calon-calon berdasarkan kecantikan, kemahiran, personaliti dan keagamaan.

Malah, sepanjang 13 episod program itu, semua peserta telah mempelajari pelbagai aspek pengetahuan termasuklah pengurusan diri, masakan, mengikuti kelas agama serta turut terlibat dengan kerja-kerja amal.

Pada peringkat akhir yang dihoskan oleh dua pelakon terkenal, Afdlin Shauki dan Adlin Aman Ramlie, kesemua finalis telah membuat persembahan di bawah bimbingan Normah Nordin dan Habsah Hassan.

Gadis Melayu peringkat akhir telah diadili oleh lima juri profesional iaitu, Toh Puan Seri Diraja Noor Aini Datuk Abdullah, Pakar Bahasa dan Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Datuk Dr. Nik Safiah Karim, penceramah agama, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood, perunding motivasi dan penyanyi, Dr. Fazley Yaacob serta pelakon teater berpengalaman, Stephen Rahman Hughes.

Persembahan dramatik Aida berjaya memukau perhatian penonton dan juri

Pemarkahan dibuat berdasarkan 60 peratus juri profesional, manakala 40 peratus menerusi SMS dengan setiap undian SMS sebanyak 10 sen akan didermakan kepada tabung mangsa kekejaman Zionis di Gaza.

Turut hadir pada acara itu ialah Sultanah Kedah, Tuanku Sultanah Hajjah Haminah Haji Hamidun, Pengerusi Media Prima Berhad Datuk Abdul Mutalib dan isteri Datin Radziah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan dan Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda.

Mengulas mengenai kemenangan bergelar ikon Gadis Melayu, kata Aida, dia sama sekali tidak menyangka akan dinobatkan sebagai pemenang apatah lagi bila melihat saingan daripada empat lagi finalis yang juga menunjukkan persembahan yang hebat.

"Saya hanya fikir untuk memberikan persembahan yang sehabis baik memandangkan keluarga telah meletakkan harapan yang tinggi. Tetapi, kemenangan ini memang sesuatu yang tidak dijangka kerana jika dilihat pada setiap episod, saya akui kurang menyerlah.

Aida bersama kedua ibubapanya

"Apapun, saya sedar selepas ini saya perlu pikul tanggungjawab yang berat dengan gelaran seperti ini. Dengan kepercayaan yang telah diberikan, Insya-Allah, saya harap saya akan dapat menjadi insan yang lebih baik," kata Aida yang ditemui pada sidang media sejurus berakhirnya program itu.

Bercerita tentang persiapan menjelang pertandingan akhir itu, kata penuntut tahun akhir jurusan komunikasi di Universiti Utara Malaysia ini, dia mengambil masa lebih kurang tiga minggu untuk membuat persediaan bagi persembahannya itu.

"Idea untuk fokus kepada subjek anak derhaka yang tidak menghormati ibubapa ini memang merupakan idea asal saya. Tetapi konsepnya dimantapkan lagi atas tunjuk ajar Normah Nordin.

"Jika diikutkan, saya memang ingin lebih mendalami karektor anak derhaka itu. Saya cuba untuk menangis di pentas, tetapi saya terpaksa kawal emosi agar dapat fokus kepada nyanyian rap kemudiannya," katanya.

Jamal Abdillah turut hadir menyerikan peringkat akhir Gadis Melayu

Pada sidang media itu juga, Aida turut diumumkan bakal ditawarkan menjadi wartawan penyiaran di TV9, sebaik dia tamat menjalani latihan praktikal pengajiannya bulan April nanti.

"Saya memang meminati bidang penyiaran terutamanya dalam pengacaraan. Jika berpeluang, saya ingin cuba mengacara program berbentuk keagamaan. Tetapi tidak salah jika saya mencuba mana-mana program lain jika dirasakan sesuai," kata Aida.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, tutur Aida, dia akan mengikuti latihan praktikal yang bakal bermula pada 20 Januari ini berkemungkinan di TV9 sendiri selama empat bulan.

"Pada awalnya, saya telah diletakkan oleh fakulti saya untuk membuat praktikal di Majlis Perbandaran Selayang. Tetapi, pihak TV9 ada juga menawarkan pada saya untuk jalani praktikal di stesen tersebut.

"Jadi, saya sendiri belum pasti di mana saya akan buat latihan tersebut kerana perbincangan lanjut belum lagi dibuat," jelasnya yang akui memperoleh banyak pengalaman baru sepanjang menyertai program Gadis Melayu ini.

Tambah Aida lagi, dengan wang kemenangan yang diperolehnya itu, dia berhasrat untuk menyumbang separuh daripadanya kepada tabung Gaza.

"Saya memang nekad untuk salurkan separuh daripada wang tersebut kepada tabung berkenaan. Melihat kepada kekejaman yang berlaku di sana, memang cukup menyedihkan.

"Ini saja bantuan yang saya boleh berikan kepada mereka selain iringan doa agar penderitaan rakyat di sana akan berakhir," kata Aida.

Dalam pada itu, Datuk Dr. Nik Safiah Karim yang diminta mengulas tentang kemenangan Aida pada malam itu berkata, keputusan juri profesional juga menampakkan kesepakatan untuk memilih gadis itu sebagai juara.

"Sejujurnya, kelima-lima finalis telah memberikan persembahan yang memuaskan. Tetapi penampilan Aida dengan pakaian dan persembahannya itu memang dilihat sesuai dengan konsep yang dipamerkan," kata Nik Safiah.

Aida bukan saja menerima markah tertinggi daripada pihak juri, tetapi turut mendapat undian SMS yang paling tinggi iaitu sebanyak 14 peratus atau 18,000 undian.

Peringkat akhir Gadis Melayu turut diserikan dengan persembahan oleh Hazami yang menyampaikan lagu Katakanlah dan Jamal Abdillah yang menggamatkan suasana apabila mendendangkan lagu popularnya, Gadis Melayu.

Keletah Afdlin dan Adlin sebagai hos program akhir itu juga cukup menghiburkan apabila kedua-duanya dilihat sering mengusik lima finalis tersebut tatkala selesai membuat persembahan.

Empat finalis lain juga turut membuat persembahan tersendiri yang mana mereka turut diiringi oleh kumpulan Mohram dan Cicik Akademi Nasyid dan pelakon, Razali.

Afzan mempamerkan tarian tradisional Sabah iaitu Daling-Daling serta deklamasi puisi, tetapi dilihat agak gementar ketika menjawab soalan daripada juri manakala persembahan Aishah dengan nyanyian Tari Tualang Tiga serta turut berlakon mempunyai keunikan tersendiri apabila dia memperlihatkan kemahirannya berbahasa Mandarin.

Malah, soalan yang diajukan oleh Stephen juga dijawab oleh Aishah dengan cukup berkeyakinan. Begitu juga dengan persembahan Khusna yang bermain gamelan dan bergurindam yang dilihat menarik apabila peserta itu turut bersilat.

Persembahan Shikin yang mendeklamasikan puisi berjudul Palestin juga disampaikan cukup mendalam olehnya sambil diiringi visual kekejaman oleh Zionis itu. Cuma diakui, 'aura' yang dimiliki oleh peserta ini kurang menyerlah meskipun wajahnya dikatakan mirip penyanyi popular tanahair, Datuk Siti Nurhaliza.

Biarpun gagal bergelar juara, empat finalis ini juga bagaimanapun berkemungkinan akan turut ditawarkan sebagai ahli keluarga TV9, namun perkara itu masih lagi di dalam perbincangan.

1 comment:

  1. Gadis melayu....

    Memang hebat, tapi dptkah meraka membawa perubahan?

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: