Sunday, January 18, 2009

Ashraff jadi ‘pawang’


WATAK Ustaz Amirul dalam drama seram, Puaka Niang Rapik (PNR) disiarkan di TV3 setiap Khamis jam 9.30 malam menyerlahkan bakat pelakon muda, Ashraff Muslim.

Lakonan sebagai ustaz dengan tata susila yang tertib dan sering beramal ibadat membuatkan penonton selesa melihat lakonan Ashraff yang pernah membintangi drama aksi permotoran, Impak Maksima.

Terbaru Ashraff disunting produksi MIG Production Sdn Bhd membintangi drama bersiri seram, Jangan Pandang Belakang (JPB). Drama seram arahan Abdul Azizi Awang Ghazali turut menampilkan lakonan Sharifah Shahora, Aznah Hamid, Mas Muharni, Wan Hanafi Su, Almy Nadia dan Ezany Nazariff.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran drama itu, Ashraff berpendapat watak sebagai Syakir Alang dalam JPB ternyata lebih berat berbanding watak Ustaz Amirul dalam PNR. Menurutnya jika dalam PNR perwatakannya lebih tenang namun untuk JPB pula sebaliknya.

“Sebagai Ustaz Amirul dalam PNR saya melakonkan watak dengan tenang. Begitupun untuk drama terbaru ini saya membawakan watak Syakir yang tidak mempercayai benda tahyul walaupun mengetahui mewarisi saka. Bagaimanapu, disebabkan keturunan, Syakir terpaksa menerimanya.

“Agak takut untuk melakonkan watak seperti itu dan saya sentiasa merujuk mereka yang lebih berpengalaman seperti ustaz di Darul Syifa mengenai tahyul, perbuatan sihir dan saka itu sendiri. Di samping membuat kajian ia juga sebagai panduan untuk menjiwai watak,” katanya.

Pada hakikatnya dia mengakui cukup takut untuk melakonkan watak seram. Begitupun, teguh bersandarkan kepada kesungguhan dan komitmen terhadap kerja membuatkan dia mengatasi segala ketakutan itu.

Malah apa yang membuat dia tertarik menerima tawaran Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo ialah kelainan pada wataknya.

“Sebenarnya setiap watak yang saya bawa dalam drama berbeza-beza. Selain dua drama terbabit, saya juga membawakan watak lelaki korporat ‘kaki perempuan’ dalam drama Dari Mata Arisa yang disiarkan di RTM. Saya sendiri meletakkan sasaran membawa watak yang versatil.

“Saya menerima watak ini kerana tertarik dengan jalan cerita dan peranan Syakir itu sendiri. Malah bukan senang hendak bekerja dengan David (Teo). Kebetulan ini drama pertama lakonan saya bersama MIG,” katanya.



Drama bersiri 13 episod itu mengisahkan Syakir Alang anak bongsu Tok Lang yang juga graduan universiti memilih kerjaya petani moden seterusnya membuktikan kemampuan bekerja di kampung juga mampu melakar kejayaan dengan komitmen dan usaha bersungguh-sungguh.



Syakir disegani di kampung walaupun dia masih muda kerana ayahnya orang berada dan pawang terkenal. Dia banyak mendalami ilmu agama dan tidak percaya pada tahyul. Dia juga dianugerahkan keistimewaan dapat mengubati penyakit tanpa diketahuinya sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: