Thursday, January 15, 2009

Ada Terkencing Atas Lantai Studio antara cabaran kru


WALAUPUN baru dua tahun terbabit dalam bidang produksi, Idzmil Radzuan, 23, sudah menyimpan impian untuk menerbitkan program sendiri pada masa akan datang.

Bagi Pembantu Produksi Tom Tom Bak (TTB) itu, tiada yang mustahil dalam hidupnya. Pada pandangannya tanpa usaha sesuatu pekerjaan itu tidak akan berjaya. Idzmil atau lebih mesra disapa Bear, cukup seronok dapat bekerja bersama kumpulan kanak-kanak, pengacara terkenal disamping kru yang bertungkus lumus menjayakan program itu.

Berbagai pengalaman yang dilalui sepanjang terbabit menjayakan program bersama Astro. Walaupun masih cetek pengalaman namun dia mengakui mempunyai impian besar untuk menerbitkan program antarabangsa pada masa akan datang.

"Jika tiada aral saya mahu menjadi penerbit untuk membekalkan program antarabangsa bagi stesen televisyen tempatan atau luar negara. Saya memang meminati bidang ini. Walaupun berkerja tidak tentu masa berbanding pekerja pejabat namun saya tidak pernah merungut malah tidak kisah langsung mengenainya.

"Hanya saya saja dalam keluarga yang terbabit dalam bidang produksi ini. Keluarga pula sentiasa memberi dorongan dan galakan kepada saya untuk mencipta nama bidang ini," katanya.

Anak keempat daripada lima beradik ini yang juga penuntut Institut Media Integratif Malaysia (MIIM), pernah terbabit menjayakan program hiburan seperti AC Di Sini, Akademi Fantasia musim kelima dan program klik video, Hit TV.

Dia yang kali kedua bertindak sebagai kru di belakang tadbir mengakui berdepan pengalaman menarik sepanjang menjayakan program yang diminati ramai itu. Menurutnya, walaupun seronok melayan telatah kanak-kanak namun ia tidak semudah yang disangka.

"Memang gembira dapat berkerja dengan kanak-kanak berbakat dan cerdik. Pelbagai perkara yang saya sendiri tidak jangka berlaku. Saya terpaksa melatih diri untuk berdisiplin mengawal tingkah laku kanak-kanak. Pada masa sama, ada juga kanak-kanak yang menangis tidak henti-henti, berjalan ke hulu ke hilir ketika rakaman berlangsung. Malah, lebih memburukkan keadaan apabila ada antara mereka yang terkencing di lantai studio. Hendak atau tidak, kru terpaksa membersihkannya.

"Untuk musim ini, saya ditugaskan menjaga karakter badut iaitu Kicap yang menggunakan suara Din Beramboi. Sebagai pembantu produksi saya sentiasa membantu melaksanakan segala keperluan program berjalan lancar. Saya seronok dapat menjayakan program ini bersama kanak-kanak yang cukup berbakat," katanya.

Dia juga tidak menolak kemungkinan mahu kekal bersama menjayakan program berkenaan pada masa akan datang. Begitupun, demi memastikan program berkenaan sentiasa mendapat tempat di hati penonton, dia mengakui seluruh kru penerbitan termasuk pelakon dan pengacara sentiasa bekerja keras.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: