![]() Farahdhiya |
USAH persoalkan kenapa Farahdhiya harus memilih Maestro Talent & Management Sdn Bhd untuk menguruskan kerjaya seninya.
Memang benar, dia pernah mendengar cerita kurang enak mengenai Maestro, terutama sejak desas desus mengenai penyertaannya sebagai sebahagian anggota keluarga syarikat ini heboh diperkatakan, semakin bertambah cerita yang tidak sedap didengarnya.
Namun bukan prinsipnya menelan bulat-bulat kenyataan yang hanya akan mematahkan semangat mereka yang lemah. Wanita berusia 25 tahun ini pula lebih percaya kepada kata hatinya.
“Naluri saya mengatakan apa yang dibuat ini adalah tepat,” kata ujar Farahdhiya ketika ditemui di majlis menandatangani perjanjian dengan Maestro Talent & Management, baru-baru ini.
Menurutnya, keputusan yang dibuat bukanlah terburu-buru sebaliknya perkara itu sudah difikirkan semasak-masaknya.
Lagipun katanya, hubungan baik dengan Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez serta reputasi Maestro dalam industri hiburan menambahkan keyakinannya untuk mengikat perjanjian selama tiga tahun.
![]() |
| FREDDIE dan Farahdhiya pada majlis menandatangani perjanjian membuat album di pejabat Maestro, Bukit Damansara. |
“Perjanjian ini bukan kerana hubungan baik antara saya dan Freddie semata-mata tetapi disebabkan hati saya kuat mengatakan ini pilihan yang tepat. Selama empat tahun, bukan tiada syarikat rakaman lain yang membuat tawaran tetapi saya perlu memilih syarikat yang dapat memberi jaminan kepada kerjaya saya seperti Maestro kerana pengalamannya menguruskan ramai artis.
“Dengan termeterainya perjanjian ini, tentulah saya mengharapkan perubahan positif bakal berlaku kepada kerjaya nyanyian saya setelah empat tahun ia bergerak perlahan. Dalam jangka waktu itu, saya melalui saat yang paling kelam kabut dalam hidup kerana semuanya terpaksa diuruskan sendiri tanpa bantuan pengurus.
“Saya harap apabila Maestro menguruskan kerjaya saya, hidup saya menjadi teratur. Saya berasakan perjanjian ini tidak mengongkong kerana semuanya sudah dipersetujui bersama,” kata Farahdhiya yang ditemani bapanya Mohd Amin Zubir, 57.
Oleh kerana sudah terlalu lama dia mengetepikan seketika minatnya sebagai penyanyi, dia mengakui dia terlalu rindukan proses penghasilan album seperti rakaman, menyiapkan pembikinan kulit album, penghasilan video klip sehinggalah kepada mempromosikan album.
Namun begitu, komitmen dengan penggambaran drama bersiri Spa Q 2 menyebabkan dia perlu menangguhkan seketika hasrat untuk merakamkan suara bagi album barunya.
Mengikut perancangan, album terbarunya dijangka berada di pasaran sekitar Mac atau April nanti. Lagu yang bakal dimuatkan dalam albumnya itu diambil daripada album keduanya ketika bersama NAR Record berjudul Yang Ku Puja.
Tetapi disebabkan syarikat yang dinaungi sebelum ini gulung tikar, tidak banyak yang tahu mengenai kewujudan album itu.
“Jika saya beritahu orang yang saya pernah memiliki album kedua sebelum ini, tentu sekali ramai yang akan terkejut. Disebabkan album kedua tidak sempat dipromosikan, kami akan mengambil enam lagu daripada album itu untuk dimuatkan semula dalam album baru saya nanti,” katanya yang akan memperlahankan aktiviti lakonan untuk memberikan fokus pada albumnya.
Sementara itu, Freddie Fernandez pula berkata, Maestro sudah pun mendapatkan kebenaran dan berbincang dengan NAR Record mengenai pengambilan enam lagu daripada album kedua Farahdhiya bersama syarikat berkenaan.
Katanya, Maestro sudah pun mendapat lampu hijau dan keuntungan akan dibahagikan secara sama rata dengan NAR Record.
Menurut Freddie, dia merasakan ia satu pembaziran sekiranya Maestro tidak mengambil lagu daripada album berkenaan kerana ia memuatkan banyak lagu menarik yang masih belum diperdengarkan kepada peminat.
“Kita sudah mencapai persetujuan bahawa keuntungan untuk keenam-enam lagu itu akan dibahagikan secara sama rata. Dua buah lagu baru pula akan dimuatkan dalam album terbaru Farahdhiya.
“Kita berasa rugi jika bakat Farahdhiya dipersia-siakan begitu saja. Disebabkan itu sejak mendengar suaranya pertama kali di Ipoh pada 2007, saya berasa tertarik untuk melamarnya bernaung di bawah Maestro,” katanya.
INFO
Farahdhiya
Tempat Lahir: Sarzana, Itali
Tarikh Lahir: 28 April 1984
Drama:


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: