Thursday, January 22, 2009

Nuremynadia Ramli Tak kompromi soal maruah




Bintang filem Maut tidak kisah digelar kolot asalkan imejnya sentiasa terpelihara

DUNIA glamor yang dinikmatinya sekarang tidak mengikis jati diri pelakon yang sedang membina nama, Nuremy Nadia Ramli. Bagaimanapun, pelakon filem Maut yang sedang diputarkan di pawagam ini mengakui terpaksa mengumpul segala kekuatan diri untuk menempuh cabaran di kota metropolitan.

Biar bunyi sedikit kolot tetapi bagi si gadis manis berasal dari Sungkai, Perak ini yang diundang Hip bagi menceritakan pengalamannya sepanjang menjalani penggambaran Maut terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd ini tidak kisah asal maruah diri sentiasa terjaga.

Menurut Nuremy atau manis disapa Emy, dirinya pernah disapa kolot oleh rakan kerana menolak ajakan ke kelab hiburan.

“Emy tidak berkecil hati apabila ada kawan yang menganggap Emy ini kolot apabila diajak keluar malam Emy menolak dengan baik.

“Bukannya apa, setiap manusia mempunyai minat yang berbeza-beza malah Emy tidak berkata menikmati hiburan di kelab malam itu tidak baik asalkan tahu mana yang baik dan buruk dan tahu halal haram.

Nuremy Nadia berlakon menjadi gadis naif dalam filem Maut.

“Lagipun Emy ini masih di bawah tanggungjawab keluarga dan penting bagi Emy menjaga nama baik keluarga di kampung. Emy juga sentiasa ingat pesanan mak dan ayah agar sentiasa menjaga nama baik keluarga apabila berada dalam bidang ini.

“Emy juga tidak suka dipaksa, minat Emy bukannya ke situ, malah dengan keadaan yang bising membuatkan Emy tidak selesa,” kata anak bongsu empat beradik ini.

Kata Emy, biarpun masanya banyak dihabiskan di rumah sekiranya tidak bekerja dan tidak mempunyai tawaran berlakon namun sesekali hobinya menonton wayang tetap ditunaikan.

Minat yang mendalam di dalam bidang lakonan ini cukup kuat sehingga dia nekad meninggalkan kampung halaman untuk mencari secebis pengalaman sebelum melangkah lebih jauh dalam bidang lakonan.

Aksi Nuremy yang bersahaja dalam Castello.

“Mak dan ayah tidak pernah menghalang Emy menceburi bidang ini asalkan apa yang Emy lakukan itu adalah lahir dari minat Emy sendiri. Baginya bermula dengan minatlah seseorang itu boleh berjaya sekiranya rezekinya sudah tertulis.

“Atas sebab Emy bukannya lahirnya dari keluarga yang berada, tujuan Emy adalah untuk menambah pendapatan dengan rezeki yang halal selain menghulurkan bantuan kewangan kepada mak dan ayah,” katanya yang buat pertama kali muncul menerusi filem Castello yang digandingkan dengan Zain (Ruffedge).

Setiap manusia mempunyai pengalaman pertama terbabit di dalam sesuatu bidang dan kenangan itu biasanya menjadi sejarah yang sukar untuk dilupuskan. Begitu jugalah bagi Emy.

“Semuanya bermula dari bawah, pada mulanya Emy tidak tahu bagaimana hendak Emy memulakannya. Emy pernah teman kawan untuk pergi sesi uji bakat bagi filem Castello dan masa itulah peluang Emy untuk mencuba sesuatu yang Emy impikan selama ini.

“Pertama kali hadir sesi uji bakat memang susah kerana tidak mempunyai pengalaman. Namun selepas melihat orang lain buat alhamdulillah Emy dapat buat apa yang disuruh mereka. Emy diminta menangis, ketawa, berguling-guling dan macam-macam lagi dan alhamdulillah Emy diterima, namun sebaliknya kawan Emy yang tidak berjaya.

“Emy juga bersyukur kerana buat pertama kalinya berlakon Emy mendapat tunjuk ajar pengarah yang cukup profesional, Abang Bade dan Abang Rosyam Nor yang banyak membantu Emy dalam bidang lakonan ini. Selain itu Que Haidar, Bront Palarae, Zain (Ruffedge) dan ramai lagi.

“Emy juga bersyukur kerana sebaik saja filem Castello ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada 2006, Emy mula dikenali. Emy sentiasa mempercayai apa yang kita buat dengan niat yang baik akan mendapat habuan yang setimpal.

“Sekiranya rezeki Emy sudah tertulis untuk menjadi pelakon, Emy reda dan akan buktikan kepada masyarakat menerusi mutu lakonan yang baik,” katanya yang kini bertugas sebagai Perunding Kewangan di salah sebuah bank di ibu negara.

Pengalaman aneh di jirat Cina

MENERUSI filem keduanya Maut yang ditayangkan mulai 15 Januari lalu, Emy turut menyimpan beberapa kenangan manis sepanjang penggambaran filem itu.

“Kenangan menarik sepanjang menjalani penggambaran filem Maut ini apabila Emy diminta berbaring diatas kubur Cina. Sebelum itu Emy sempat bergurau dengan kawan-kawan dengan sengaja menjatuhkan air ke atas kubur itu, lalu bila rasa tidak sedap hati Emy meminta maaf semula kepada empunya kubur.

“Semasa penggambaran itu, Emy diminta untuk berbaring diatas kubur dalam keadaan mati selepas dirogol. Masa itu hujan turut dengan lebat dan penggambaran dijalankan seperti biasa.

“Biarpun penggambaran dijalankan pada sebelah siang, namun semuanya selesai hampir waktu senja. Semasa bersiap hendak pulang angin bertiup sangat kuat membuatkan Emy berdebar.

“Semasa hendak menuju ke kereta tidak ada apa-apa yang berlaku dan apabila hendak menghidupkan enjin kereta tiba-tiba tidak boleh dihidupkan. Emy terus terfikir apa yang Emy buat di atas kubur tadi mungkin tidak menyenangkan tuan-tuan kubur itu.

“Apa yang Emy pelik, sebelum ini kereta Emy tidak pernah membuat ragam dan kebetulan di set lokasi itu masih ramai lagi kru yang masih berkemas. Mereka yang menolong dan rupanya bateri kereta Emy sudah lemah.

“Keesokannya Emy terus demam dan badan menggigil, mungkin disebabkan berhujan semasa penggambaran itu dan Emy tidak pula memikirkan yang bukan-bukan ,” kata gadis yang memiliki darah campuran Singh di sebelah mak dan Cina sebelah ayah.

Karakter Fadilah

FADILAH adalah seorang remaja berusia 19 tahun. Seperti remaja lain, Fadilah turut mempunyai perasaan ingin mencintai dan dicintai oleh seorang lelaki. Sememangnya Fadilah mempunyai seorang teman istimewa yang sangat dicintai dalam hidupnya, namun keluarga menjadi penghalang cinta antara mereka. Perasaan kecewa Fadilah apabila hubungan mereka mendapat tentangan keluarga sehingga membuatkan dia nekad untuk melarikan diri. Apa yang terlintas di dalam fikirannya adalah melarikan diri di rumah Makciknya bagi menenangkan fikiran yang terganggu. Dalam perjalanannya, Fadilah disamun dan diperkosa sehingga mati. Bermulalah perjalanan kisah Fadilah sebagai roh yang mahu menuntut bela diatas nasib yang menimpa dirinya. Siapakah yang sedang diburu oleh Fadilah sekali gus menemukan perogol dan pembunuh yang diburu oleh polis.

Profil

Nuremy Nadia


Nama Sebenar: Nuremynadia Ramli

Umur: 22 Tahun

Tarikh Lahir: 7 April 1986

Asal: Sungkai, Perak

Hobi: Menonton Wayang

Adik Beradik: Anak Bongsu dari empat beradik

Filem: Castello (2006) dan Maut (2009)

Drama: Gerak Khas, Delima Wanita dan Atas Nama Cinta

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: