Friday, January 9, 2009

Fahrin Tidak Disingkir


KETIADAAN pelakon dan pengacara kacak, Fahrin Ahmad pada majlis sidang media dan pengumuman lima finalis Gadis Melayu di Villa May, Seksyen 7, Shah Alam, Selasa lalu, mengundang tanda tanya.

Ketiadaan jejaka itu menguatkan lagi tanggapan dia disingkirkan dari mengacarakan program realiti terbitan TV9 itu apabila dua pengarah dan pelakon handal, Afdlin Shauki serta Adlin Aman Ramli, diumum sebagai pengacara peringkat akhir program Gadis Melayu yang diadakan pada 15 Januari 2009.

Bagaimanapun, Penerbit Eksekutif Gadis Melayu juga bekas pembaca berita TV3, Ezzah Aziz Fawzy, tampil menjelaskan kedudukan sebenar berhubung ketiadaan Fahrin yang tiada kaitan dengan sebarang isu disingkirkan sebaliknya tempatnya terpaksa diganti kerana jadual pelakon itu terlalu sibuk.

"Dia bukan disingkirkan atau menarik diri akan tetapi mengikut kontrak, Fahrin hanya terbabit dengan program Gadis Melayu untuk 13 episod saja.

"Pihak kami ada berbincang dengan Fahrin, bertanyakan kesediaannya untuk menyambung tiga lagi episod Gadis Melayu memandangkan program ini mengalami penambahan yang dilakukan atas permintaan dan sambutan menggalakkan dari penonton.

"Bagaimanapun, ketika lamaran dibuat Fahrin sudah terikat dengan beberapa program dan kami difahamkan jadualnya terlalu padat. Sewaktu mengendalikan 13 episod program ini pun, Fahrin jarang dapat menyertai aktiviti luar peserta kerana kesibukannya.

"Tidak timbul soal disingkir atau menarik diri sehingga mendesak TV9 mengambil tindakan menggantikan posisi Fahrin dengan pengacara lain," katanya.

Berhubung pemilihan Afdlin dan Adlin, Ezzah yakin gandingan dua pengacara itu akan menambahkan lagi keceriaan pada siaran langsung peringkat akhir Gadis Melayu yang akan ke udara 15 Januari ini, jam 8.30 malam, di TV9.

"Pertandingan peringkat akhir bukan saja mendebarkan peserta tetapi kepada pengacara. Justeru kami memerlukan pengacara yang boleh menjadikan suasana itu tampak santai dengan suntikan elemen komedi.

"Mereka juga mempunyai tarikan kuat untuk mengajak penonton menyaksikan peringkat akhir ini. Malah, sebagai orang berpengalaman Afdlin dan Adlin tahu apa yang perlu mereka lakukan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: