Friday, January 9, 2009

'Ramai Belum Kenal Saya'


BANYAK pihak mula meluahkan rasa kurang senang apabila majlis perkahwinan dan persandingan pemenang anugerah paling popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Asmawi Ani atau Mawi dan isterinya, Nora'Asikin Rahmat (Ekin) diberikan perhatian keterlaluan.

Bukan itu saja, kemunculan Ekin dalam rancangan Trek Selebriti terbitan Astro Ria baru-baru ini turut menjadi bahan cemuhan. Mereka mempersoalkan siapa Ekin sehingga diberikan peluang muncul dalam rancangan khas itu?

Apa sumbangan Ekin dalam industri seni tempatan? Adakah Astro sendiri cuba mengeksploitasi pelakon drama bersiri Kawan itu hanya kerana mengahwini penyanyi paling popular?

Pasangan yang akan bersanding sekali lagi di Hotel Palace Of Golden Horses (POGH), Seri Kembangan, 11 Januari ini turut mengakui mengenai perkara itu tetapi menganggap apa yang dilakukan atas permintaan pihak penyiar terbabit dan peminat.

Pasangan ini ketika ditemui menjayakan rancangan baru terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM1), Sehati Sejiwa di Studio IBC, Angkasapuri, kelmarin turut mengakui apabila hubungan cinta dan perkahwinan mereka sering diuar-uarkan sehingga tiada lagi perkara baru dapat dikongsi bersama.

"Seperti rancangan hari ini (kelmarin) kalau hendak diikutkan semua soalan sudah dijawab sebelum ini. Tiada benda baru. Begitupun kami berasa dihargai apabila RTM1 sudi menjemput kami menjadi tetamu pertama dalam program ini.

"Saya difahamkan selepas ini pasangan penyanyi Nora dan komposer, Johan Nawawi akan dijemput menjadi tetamu. Rasanya hubungan suami isteri pasangan ini lebih menarik untuk dikupas kerana mereka sudah lama mendirikan rumah tangga.

"Berbeza dengan kami yang baru masuk dua minggu. Banyak perkara yang belum kami lalui dan rasai. Apapun saya gembira dapat muncul dalam program ini," katanya.

Menyentuh mengenai majlis persandingan di POGH, kata Mawi tidak banyak perkara dapat dikongsi atas permintaan Astro yang akan menyiarkannya secara langsung.

"Sebenarnya saya perlu pulang cepat sebab kami akan mengikuti latihan menunggang kuda untuk majlis persandingan itu nanti. Sebenarnya saya juga tidak boleh bercerita mengenai perkara ini kerana ia sepatutnya menjadi kejutan.



"Tetapi tidak mengapalah sebab majlis akan berlangsung lusa. Selain itu kami akan diarak dengan menaiki bot persiaran," katanya.



Sementara itu Ekin menjelaskan dia bersetuju menjayakan rancangan Trek Selebriti atas kapasiti peminat ingin mengenali dirinya dengan lebih dekat.

"Sebelum ini orang tidak kenal siapa saya yang tiba-tiba saja muncul dalam hidup Mawi. Suami saya orang popular tetapi tidak ramai yang tahu siapa saya.

"Pihak penerbitan Trek Selebriti turut memberikan penjelasan sama kepada saya sebelum penggambaran dilakukan. Pada saya kalau tujuannya baik saya cuba membantu mereka," katanya.

Menyentuh mengenai majlis perkahwinan mereka digelar 'perkahwinan paling meriah tahun ini' jelas Ekin mahupun Mawi sendiri, berasa perkara itu terlalu diperbesarkan sedang mereka sendiri tidak pernah menganggap sedemikian.

Pasangan ini akan bercuti sebaik majlis persandingan di POGH selesai. Mereka akan terbang ke Seoul, Korea, untuk berbulan madu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: