Friday, January 9, 2009

Lima Gadis Melayu Rebut RM10,000


HAMPIR tiga bulan mengharungi pelbagai cabaran serta tugasan, program Gadis Melayu akhirnya menemui lima finalis yang berjaya ke peringkat akhir program itu.

Mereka ialah Khairul Noormaidah Zali, 23, berasal dari Rawang, Selangor, Noor Afzan Mohd Khan, 27 (Kota Kinabalu, Sabah), Siti Nurashikin Mohd Noor, 22, (Sungai Petani, Kedah), Nurul Khusna Uma, 20, (Kuantan, Pahang) dan Nur Aishah Zainal (Melaka), 27.

Peserta yang menjadi juara akan membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta hadiah iringan. Manakala empat finalis lain turut berpeluang membawa pulang wang tunai, RM1,000 setiap seorang termasuk hadiah iringan.

Penerbit Eksekutif Gadis Melayu juga bekas pembaca berita TV3, Ezzah Aziz Fawzy, berkata, peserta akan diberikan cabaran akhir kemudiannya dinilai sekali gus menjadi pengukur kejayaan mereka.

"Kemenangan akan dinilai berdasarkan pelbagai aspek antaranya kebijaksanaan, ciri dalaman dan luaran penampilan gadis Melayu serta kemampuan melaksanakan cabaran yang diberi.

"Pada peringkat akhir juga peserta akan bergabung membuat persembahan teater di bawah bimbingan Normah Nordin dan Habsah Hassan yang bertindak sebagai pengarah persembahan teater Gadis Melayu.

" Bukan itu saja, setiap finalis diwajibkan membuat persembahan secara solo berdasarkan kreativiti masing-masing," katanya.

Empat juri profesional yang bertanggungjawab menilai tugasan terakhir peserta Gadis Melayu, Yang Mulia Toh Puan Seri Diraja Aini Datuk Abdullah, Pakar Bahasa dan Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Datuk Paduka Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, penceramah agama, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood dan Dr Fazley Yaakob.

Menyentuh peranan TV9 dalam memacu hala tuju peserta sebaik tamatnya pertandingan ini, Ezzah berkata, sebahagian mereka menunjukkan minat mendalami dalam bidang kewartawanan dan pengacaraan.

"Sepanjang program berlangsung, kami melihat ada peserta yang berpotensi serta mempunyai minat menjadi wartawan penyiaran dan pengacara. Bagaimanapun, buat masa ini kami belum pasti apakah keputusan pihak pengurusan adakah mereka akan diserapkan sebagai personaliti TV9 atau sebaliknya.



"Yang pasti, TV9 sentiasa memberi peluang kepada peserta dan seperkara yang nyata kami tidak menolak untuk memberikan latihan kepada mereka yang dirasakan berbakat. Mungkin mereka ini akan diketengahkan dalam program baru terbitan TV9 atau rancangan sedia ada," katanya.



Majlis petang itu turut diserikan dengan pengumuman serta penyerahan hadiah sumbangan Jakel kepada pemenang lima kategori yang dipertandingkan dalam laman web Gadis Melayu di mana ia membabitkan semua peserta Gadis Melayu.

Antara lima kategori yang dipertandingkan ialah Anugerah Bijaksana yang dimenangi penyanyi muda, Zehra Zamri, 21, Anugerah Dekat Di Hati berpihak kepada Nurul Husna, 20, Anugerah Gadis Idaman pula disandang Nuraishah Zainal, 23, manakala Anugerah Gadis Ayu dan Anggun menyaksikan kemenangan berganda peserta berwajah comel, Efi Norfiani Aris Setiawan, 20.

Tujuan program ini diterbitkan untuk mengetengahkan ikon gadis Melayu idaman dalam membentuk jati diri serta mewarisi budaya serta tradisi Melayu. Ia bagi membuktikan arus kemodenan tidak akan menghakis nilai indah warisan Melayu dalam diri generasi muda masa kini.

Program itu turut mendapat tajaan Safi Balqis, D'N Hans, Jakel, Keep Slim, Nestle, Janome, Habib Jewels, Aster Spring, Trust Lighting dan Triumph.

Sementara itu, peserta tinggi lampai, Afzan, mengakui dia tidak menduga mampu bertahan dalam program Gadis Melayu sekali gus mara ke peringkat akhir.

"Saya bersyukur sekali kerana berada dalam lingkungan lima terbaik. Diharapkan program ini menjadi batu loncatan buat saya mencapai impian dalam bidang seni kerana saya begitu meminati bidang lakonan.

"Secara peribadi semua finalis mempunyai keistimewaan masing-masing dan berpeluang menjadi juara," katanya.

Manakala peserta pilihan, Khusna, enggan memikirkan soal kemenangan kerana baginya apa yang lebih penting dapat melakukan persembahan yang membanggakan di malam final.

"Saya mahu membuat persembahan yang terbaik untuk TV9, keluarga dan penonton. Menang atau kalah itu ketetapan yang di tentukan Allah, yang penting saya mahu semua berbangga dengan usaha saya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: