|
| SEMINGGU bercuti, sempat juga saya memenuhi beberapa undangan sepanjang minggu lalu. Pada Selasa, menyaksikan tayangan filem Maut arahan Bade Azmi kemudian Khamis pula memenuhi undangan penerbit Ziela Jalil yang mengadakan tahlil untuk arwah suaminya, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub. |
Ternyata sudah setahun pemergian arwah yang meninggal dunia 24 Januari tahun lalu akibat kanser prostat. Antara pengisian lain, ceramah agama oleh Datuk Ismail Kamus mengenai nikmat hidup yang diberikan Tuhan kepada hamba-Nya dan seharusnya kita mensyukuri segala kelebihan yang diberikan kepada kita.
Dua anak kesayangan Ziela, Puteri Julia Nabilah, 16, dan Megat Jufri Nasrullah, 14, hasil perkongsian hidup selama 18 tahun bersama arwah, tidak kekok dengan majlis seumpama itu. Sebagai ibu tiga anak, saya tumpang bangga melihat Ziela membesarkan anak-anaknya dengan membekalkan dan mendekatkan mereka dengan ilmu akhirat.
Bukan apa, dalam dunia moden dan penuh cabaran ini, macam-macam boleh berlaku sebagaimana dipaparkan dalam filem Maut yang bakal ditayangkan kepada umum pada 15 Januari ini.
Tajuknya saja memang menakutkan kerana filem keenam Bade bersama Tayangan Unggul Sdn Bhd (selepas KL Menjerit, Berlari ke Langit, Gangster, Syaitan dan KL Menjerit Epsiod 1) ini paparkan bagaimana tiga watak dalam filem ini menerima kematian mereka.
Paling membimbangkan watak Farah yang hidup bebas dan hanya Islam pada nama. Farah juga lebih suka memilih lelaki bukan Islam sebagai teman hidup kerana melihat lelaki Melayu suka mengongkong isteri.
Hiduplah Farah dalam nikmat dunia tapi diberi kesempatan untuk kembali kepada landasan yang benar apabila koma selama tiga hari. Selama tempoh itu, Farah menerima azab siksa atas segala kesalahan yang pernah dilakukannya.
Nasib yang menimpa watak ketiga, Jamil atau Jay lakonan Que Haidar lebih tragis kerana hidup dalam kesesatan dengan mengambil dadah dan ajaran Black Metal hingga mati dalam kesesatan.
Jay sanggup meludah dan menghina lelaki tua yang menjual ayat suci al-Quran kerana baginya dia hanya bertopengkan kebaikan. Malah Jay menghina al-Quran mengatakan dia sedikit pun tidak percaya dengan segala yang terkandung di dalamnya.
Apabila Jay koma kerana terbabit dengan kemalangan, betapa payahnya untuk Jay meninggal dunia. Apabila sudah meninggal, pelbagai cabaran pula ditempuh keluarganya untuk menyempurnakan jenazahnya.
Keempat-empat tayar van yang membawa jenazahnya pancit manakala kuburnya dipenuhi air. Makin ditimba makin banyak air malah dikebumikan dalam hujan ribut. Tidak cukup dengan itu, tanah kubur Jay mendap walaupun sudah beberapa kali ditambak tanah.
Sebagai anak yang tinggal dengan ibu dan kakaknya yang ditampilkan dengan budi pekerti yang baik lakonan Hamidah Wahab dan Eja, Jay tetap hanyut bersama kawan-kawannya. Teguran ibunya ditengking Jay hingga segala kesesatannya hanya mampu dilihat ibunya.
Di mana silapnya hingga anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh keluarganya dari keturunan baik-baik, boleh sesat seperti itu? Apatah lagi remaja yang tidak mendapat kasih sayang dan hidup jauh dari perhatian ibu bapa, memang mudah hanyut.
Bukan silap ibu mengandung, tapi apa yang berlaku kepada Jay mungkin berpunca daripada ibu bapanya secara tidak disedari. Dalam satu babak, dipaparkan Jay masih kecil dan mendapat kesedaran mengenai kebesaran Allah melalui neneknya.
Apabila Jay hendak solat, ibu bapanya bukan bangga dengan apa yang dilakukan Jay sebaliknya menegah anaknya meneruskan solatnya dengan alasan dia masih kecil. Mungkin ketika itu ibu bapa Jay jahil mengenai agama hingga Jay tersesat memilih jalan hidup.
Melihat paparan berita di akhbar akhir-akhir ini, memang menakutkan melihat kehidupan remaja kita, bangsa Melayu beragama Islam yang jauh tersesat. Mat Rempit, dadah dan seks bebas seperti satu kebanggaan.
Tentunya dengan ajaran agama yang dibekalkan sejak kecil, mampu dijadikan pelindung dan pedoman untuk menghadapi pelbagai godaan yang datang di depan mata.
Semoga filem Maut mampu menggamit remaja kita ke panggung kerana ia sarat dengan mesej. Besar juga harapan saya untuk melihat filem yang membuka tirai tayangan filem Melayu untuk 2009, membuka mata kita semua betapa hidup ini begitu singkat kerana maut pasti memanggil.
Tapi apa yang selalu berlaku, filem memberi kesedaran seperti Maut agak sukar mendapat perhatian ramai orang kerana lumrah manusia, sukakan sesuatu yang indah-indah dan keseronokan, bukannya sesuatu yang menakutkan seperti ketibaan maut.
Teringat pula kata-kata ustaz Ismail Kamus. Katanya, keseronokan dunia yang diberikan Allah itu hanyalah satu daripada 99 keseronokan yang dijanjikan untuk kehidupan selapas mati. Tapi, ramai yang memilih nikmat yang satu ini dan tidak ramai berminat untuk mengejar nikmat yang banyak itu.
Malah sudah menjadi kebiasaan manusia mahukan semuanya cepat dan pantas. Anak kecil mahu cepat besar, orang muda mahu cepat kahwin, yang berkahwin mahu cepat dapat anak, yang bekerja mahu cepat naik pangkat. Tetapi apabila tiba soal mati, kita tidak mahu cepat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: