![]() |
| LEONARDO DiCaprio (kanan) dan Kate Winslet masing-masing menerima pencalonan kali ini menerusi filem Revolutionary Road. |
JIKA ada yang masih ingat, tahun lalu boleh dianggap sebagai tahun yang penuh duka dan suram bagi industri hiburan di Hollywood. Masakan tidak, mogok yang dilakukan oleh Persatuan Penulis Amerika (WGA) telah melumpuhkan beberapa acara anugerah penting dan berprestij di Hollywood yang paling dinanti-nantikan saban tahun.
Golden Globe, Screen Actor Guild dan Academy Awards atau nama glamornya, Oscar semuanya menjadi mangsa dan disebabkan itu, acara yang diadakan penuh meriah setiap tahun bagaikan dipandang sepi oleh peminat dan pemerhati hiburan di kota hiburan terbesar dunia itu.
Namun, itu semua sejarah lama yang tidak perlu disingkap lagi kerana tahun ini, acara anugerah ini kembali dengan kemilau glamor dan dijangkakan saingannya akan menjadi lebih sengit.
Anugerah Golden Globe yang diadakan setiap bukan Januari setiap tahun boleh diibaratkan sebagai acara pembuka tirai bagi rangkaian acara anugerah di Hollywood.
Malah, dengan barisan pencalonan yang diterima dalam Golden Globe selalunya dilihat sebagai laluan dan isyarat kepada senarai pemenang yang mampu meraih kemenangan pada Oscar yang sering kali dilabelkan sebagai acara kemuncak anugerah perfileman di Hollywood.
Kalau ada yang masih ingat lagi, tahun lalu Golden Globe tidak diadakan secara gilang-gemilang kerana mogok oleh WGA dan disebabkan itu, acaranya hanya berlangsung dalam satu sidang media yang cukup ringkas yang memakan masa 32 minit sahaja.
Untuk itu, sejarah juga telah tercipta dan pastinya, ia akan menjadi kenangan yang cukup pahit untuk ditelan oleh Hollywood Foreign Press Association (HFPA) sepanjang 65 tahun Golden Globe diadakan.
Seperti mana janji mereka tahun lalu, mereka bangkit semula dan tahun ini, Golden Globe kembali untuk edisi yang ke-66.
Apa yang menariknya, kali ini, menyaksikan barisan bintang dan filem hebat serta siri televisyen yang bersaing hebat untuk merebut anugerah idaman ramai ini.
Tiga buah filem ini iaitu The Curious Case of Benjamin Button, Doubt dan Frost/Nixon antara yang menjadi perhatian kali ini apabila menerima lima pencalonan termasuk Filem Drama Terbaik.
Pemerhati dan pengkritik filem di Hollywood menyifatkan ketiga-tiga filem ini mempunyai kriteria serta intipati yang cukup menarik untuk dinobatkan sebagai Filem Drama Terbaik.
The Curious Case of Benjamin Button merupakan sebuah filem yang agak unik dari segi penceritaannya apabila mengambil kisah bagaimana seorang bayi mengalami proses terbalikkan usia dari seorang yang tua waktu kecilnya dan membesar menjadi seorang yang muda.
Filem ini membariskan bintang Gred A Hollywood iaitu Brad Pitt, Cate Blanchett, Tilda Swinton dan Elias Koteas.
Brad juga menerima pencalonan untuk Pelakon Lelaki Drama Terbaik di samping tiga pencalonan lain iaitu Pengarah Terbaik untuk David Fincher, Lakon Layar Terbaik serta Skor Muzik Asal Terbaik.
Namun begitu, laluan Brad bukan mudah kerana dia perlu berdepan dengan empat calon hebat yang lain iaitu Leonardo DiCaprio untuk Revolutionary Road, Frank Langella (Frost/Nixon), Sean Penn (Milk) dan Mickey Rourke (The Wrestler).
Saingan filem ini sudah tentu adalah filem Doubt yang dari awal lagi sudah mendapat perhatian yang cukup meluas daripada pengkritik dan pemerhati filem.
Ini kerana jalan ceritanya yang dikatakan menentang arus serta berani menampilkan kisah dalam institusi keagamaan yang melibatkan tentang salah laku, seksual serta penipuan yang berlaku walaupun perkara berkenaan ditegah dalam agama mereka.
Sememangnya jika diteliti secara mendalam, filem ini mempunyai tema yang cukup berat tetapi, itulah keistimewaan filem ini kerana mengutarakan kisah yang agak berbeza daripada kebanyakan filem drama sebelum ini.
Bukan itu sahaja, filem ini juga dibintangi oleh pelakon terkenal Hollywood yang bukan calang-calang kerana ada di antara mereka pernah menerima serta dicalonkan untuk Oscar sebelum ini.
Nama-nama seperti Meryl Streep, Philip Seymour Hoffman dan Amy Adams masing-masing menerima pencalonan untuk Pelakon Wanita Drama Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik serta Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di samping Viola Davis yang turut menerima pencalonan dalam kategori sama dengan Amy Adams.
Kategori Pelakon Wanita Drama Terbaik juga merupakan kategori yang cukup menarik kerana menampilkan muka baru dan lama yang ternyata memberikan saingan yang sengit kali ini.
Selain Meryl, empat pelakon lain yang tercalon kali ini adalah Anne Hathaway untuk Rachel Getting Married, Angelina Jolie (Changeling), Kristin Scott Thomas (I’ve Loved You So Long) dan Kate Winslet (Revolutionary Road).
Begitu juga dengan kategori Pelakon Lelaki Komedi atau Muzikal Terbaik dan kelima-lima calonnya semuanya bersaing hebat dan menjadikan Golden Globe kali ini cukup menarik.
Apatah lagi dengan adanya pelakon veteran Hollywood, Dustin Hoffman yang menerima pencalonan menerusi hasil kerjanya dalam filem Last Chance Harvey.
Calon lain adalah Javier Bardem untuk Vicky Cristina Barcelona, Colin Farrell (In Bruges), James Franco (Pineapple Express) dan Brendan Gleeson (In Bruges).
Golden Globe kali ini menjadi tumpuan apabila mendiang Heath Ledger menerima pencalonan dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk hasil kerjanya sebagai The Joker dalam filem The Dark Knight.
Pastinya, ramai yang ternantikan adakah aktor muda itu akan dijulang dengan anugerah ini kerana seandainya dia memenangi kategori ini kelak, ia bagaikan memberi isyarat bahawa dia mampu untuk dicalonkan untuk Oscar kelak.
Ini kerana, sebelum ini, sememangnya tiada pelakon yang membawakan watak komik pernah dicalonkan untuk Oscar.
Golden Globe edisi kali ini juga menyaksikan dua pelakon wanita hebat iaitu Meryl Streep dan Kate Winslet yang menerima dua pencalonan untuk kategori lakonan.
Selain Pelakon Drama Wanita Terbaik, Meryl dan Kate masing-masing menerima pencalonan menerusi Pelakon Wanita Komedi atau Muzikal Terbaik bagi filem Mamma Mia! serta Pelakon Pembantu Wanita Terbaik untuk filem The Reader.
Selain mengiktiraf hasil kerja menerusi filem, Golden Globe juga mengiktiraf mereka yang terlibat dalam gelanggang televisyen.
Kali ini, In Treatment dan Recount menerima lima pencalonan termasuk Siri Drama Televisyen Terbaik dan Siri Mini atau Filem Televisyen Terbaik.
Mengekori rapat kedua-duanya adalah John Adams dengan empat pencalonan manakala 30 Rock, Bernard and Doris, Cranford, Entourage dan Mad Men (tiga) selain Brothers & Sisters, Californication, Dexter, House, The Office, True Blood dan Weeds (dua).
Kesemua pemenang akan dan siaran langsung Golden Globe akan disiarkan menerusi saluran Star World (saluran 711, Astro) bermula pukul 8 pagi hari ini (waktu Malaysia) manakala siaran ulangannya pula pada pukul 8 malam hari yang sama.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: