Monday, January 5, 2009

Depan Mata: Berita Buruk Pertama


HANYA berselang tiga hari, kita meraikan dua sambutan tahun baru. Tentunya, kedatangan tahun baru kali ini cukup istimewa. Jika Isnin minggu lalu kita menyambut 1 Muharam 1430, Khamisnya pula, 1 Januari muncul lagi meninggalkan 2008 dengan segala kisah suka dan duka.

Memang tiada bezanya ketibaan 2009 kerana matahari masih terbit dari timur dan terbenam arah barat. Cuma, apa yang diharapkan ialah perubahan positif dalam meniti kehidupan seharian.

Jika 2008 agak membimbangkan dengan berita perceraian artis, diharapkan mereka yang melayari bahtera rumah tangga sepanjang 2008 dan 'pengantin lama', mengambil iktibar supaya perkara dihalalkan tetapi paling dibenci Tuhan itu dihindari. Perkahwinan itu satu ikatan suci yang wajibdipertahankan dan bukan dianggap mudah bagaikan menukar baju.

Saya tumpang bangga dengan kebahagiaan yang dikecapi pelakon dan penyanyi popular, Erra Fazira apabila bertemu jodoh dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin. Selepas menempuh pelbagai dugaan daripada perhubungannya sebelum ini, saya lihat Erra menemui cinta sejatinya.

Pasangan ini tambah bahagia apabila bakal menyambut kelahiran cahaya mata pertama kira-kira dua bulan lagi. Sememangnya manusia itu sentiasa diuji Yang Maha Esa untuk melihat ketabahan hamba-Nya dalam menerima ujian itu.

Perjalanan hidup Erra dan Emran juga saya lihat seperti manusia biasa dan Emran bukanlah melayan Erra bagaikan diva sebagaimana kehidupan glamor dunia artis.

Erra sering menyertai majlis tahlil yang dianjurkan Habsah Hassan atau Kak Chah dan Rubiah Suparman di restoran mereka di Taman Tun Dr Ismail. Malah saya pernah lihat Erra sanggup bersengkang mata membantu rakan membuat hamper menjelang Syawal lalu.

Saya turut kagum dengan produser terkenal bergelar jutawan, Datuk Yusof Haslam. Kalau suatu masa dulu berita pergolakan rumah tangganya menjadi tumpuan ramai, kini perkahwinan beliau dengan Datin Fatimah Ismail makin utuh.

Pada usia 53, Yusof kini berhadapan dengan ujian membesarkan anak. Sebelum 2008 melabuhkan tirai, anak bujang kesayangan pasangan ini menjadi perhatian gara-gara berita kekasih hati, Diana Danielle membuat laporan polis mendakwa dipukul Shamsul.

Ini bukan kali pertama Yusof berhadapan kes anaknya membabitkan polis tetapi dia tidak pernah melarikan diri atau memperlekehkan kerja media yang sentiasa mengejar cerita sensasi. Sebaliknya, Yusof akur dengan kerja masing-masing.



Apa yang boleh dilakukannya ialah tangani semua itu dengan rasional bukannya emosional. Bukan apa, ada juga keluarga yang marah-marah apabila cerita sensasi anak mereka dipaparkan media hingga dilihat mereka pula yang lebih sudu daripada kuah berbanding empunya diri.



Kalau bukan berita anaknya, kontroversi anak didiknya dalam dunia lakonan juga tidak kurang hebatnya. Kalau dulu cerita Erra, Awie dan AC Mizal, terbaru pergolakan rumah tangga Norman Hakim dan Abby Abadi turut dikaitkan dengan Yusof kerana kedua-duanya pelakon Gerak Khas terbitan Skop Productions Sdn Bhd.

Kemuncaknya apabila Norman ditangkap khalwat dengan Suhaiza Suhaimi atau Memey. Ia turut menjerat Yusof hingga membuat kenyataan merehatkan Norman daripada siri Gerak Khas kerana berita itu turut mencalarkan maruah siri kepolisan yang mendapat perhatian ramai.

Begitu juga berita Abby menyerang Norman di lokasi Gerak Khas di Taman Melawati, Hulu Klang, membuatkan Yusof tidak boleh duduk diam, sebaliknya tampil sebagai bapa untuk menasihatkan Abby dan Norman.

Itulah harga yang perlu dibayar Yusof apabila dikurniakan rezeki lumayan dalam dunia seni. Jutawan lain juga banyak cabaran yang perlu ditangani tetapi mungkin apa yang mereka lalui tidak diketahui umum kerana mereka bukan insan seni yang sentiasa mendapat perhatian media dan masyarakat.

Pastinya, muka depan akhbar pada Jumaat lalu iaitu sehari selepas kita menjengah tahun baru mendapat perhatian. Harian Metro menggunakan tajuk 'Parti dadah selebriti' membabitkan personaliti televisyen dan pelakon drama antara 24 ditahan polis ketika menyertai parti liar meraikan pasangan pengantin baru.

Ramailah yang bertanya siapa gerangan pelakon dan personaliti itu. Tentu ramai yang tahu personaliti yang dimaksudkan kerana nama dan gambarnya dipaparkan dalam Malay Mail manakala Harian Metro Sabtu lalu turut paparkan gambar dan namanya, malah dilaporkan bakal berkahwin minggu depan.

Ujian air kencingnya juga menunjukkan personaliti itu disahkan positif mengambil dua jenis dadah serentak iaitu syabu dan ketamin.

Pelakon yang ditangkap bersamanya kurang jelas. Ada yang kata, kalau sebut namanya pun orang tidak kenal kerana kurang popular dan hanya berlakon sekadar watak pembantu. Tapi ada pula rakan berkata, pelakon itu sudah biasa dengan kes memalukan seperti itu.

Lebih menguatkan dakwaan rakan itu, katanya, pelakon itu adalah kawan baik personaliti berkenaan. Tapi tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Kalau benarlah pelakon yang ditangkap itu orang sama yang pernah dilanda kontroversi sebelum ini, memang kita tidak boleh buat apa lagi dengannya.

Segala kata-kata keinsafan yang diucapkan sebelum ini hanyalah mainan di bibir kerana masih tidak beringat selepas beberapa kali diberi peringatan Maha Pencipta.

Tapi kalau pelakon yang ditangkap pada malam itu bukan pelakon berkenaan, memang orang sengaja memburukkan namanya. Maklumlah, sekali sudah terkena selamanya orang kaitkan dengan kes memalukan seperti itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: