| TIDAK dinafikan artis sekarang dilambakkan dengan kemewahan. Tidak cukup dengan bayaran mencecah ribuan ringgit untuk sekali babak malah artis yang dapat menyelesaikan sesuatu tugasan membabitkan nyanyian atau drama bersiri sudah boleh dikategori kaya raya. |
SS pasti ada dalam kalangan pelakon mahupun penyanyi terkenal tanah air meletakkan bayaran tertentu untuk khidmat mereka. Disebabkan kerap tampil di televisyen dan layar perak, artis berkenaan semakin laris di mata pengarah serta produksi yang mahu mendapatkan khidmatnya.
Ikutkan senarai, beberapa artis tempatan saja yang kerap mendapat perhatian pengarah dan produksi tempatan walhal banyak lagi bakat baru serta remaja yang boleh diketengahkan. Setidak-tidaknya beri peluang kepada generasi baru untuk bertapak dalam dunia hiburan tanah air.
Secara tidak langsung menyebabkan artis berkenaan hidup mewah dan mula 'demand' soal bayaran untuk memenuhi sebarang persembahan.
Corak hidup dan trend artis berkenaan seperti terbawa-bawa oleh seorang pelakon wanita yang SS maksudkan ini. Sebut saja nama pelakon wanita ini memang ramai yang kenal apatah lagi dia kerap menghiasi televisyen menerusi drama dan filem menarik tempatan.
Disebabkan itu juga gaya hidupnya cukup mewah. Tidak cukup dengan memandu beberapa kenderaan mewah pelakon berkenaan juga sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk menghiasi kediaman mewahnya.
Malah cerita terbaru yang SS dengar mengenai pelakon terkenal ini apabila dia mengidam memiliki rumah mewah bernilai RM2.5 juta di sekitar Ampang. Setakat ini, pelakon itu pernah dilihat meninjau ke rumah contoh berkenaan. Malah dia menyatakan persetujuan kepada pemaju kawasan perumahan berkenaan untuk memiliki kediaman empat tingkat dengan konsep moden itu.
SS difahamkan kawasan kediaman itu juga dijangka menjadi tarikan golongan selebriti apabila bakal diwujudkan perkampungan selebriti. Menurut sumber SS lagi, kediaman mewah berkenaan sudah dibeli seorang tukang masak terkenal tanah air.
Dalam hal ini SS pasti pelakon berkenaan mampu memiliki kediaman mewah berkenaan sesuai dengan sumbangan dan keringat yang dicurahkan dalam bidang seni. Begitupun, SS harap pelakon mahupun golongan selebriti tempatan dapat berjimat dengan sumber rezeki yang diperoleh. Selain menabung untuk keperluan pada masa kecemasan dan akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: