Monday, January 5, 2009

Forum Agama Untuk Artis


USAHA Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) baru-baru ini menggalakkan artis mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi banyak kebaikan kepada artis demi masa depan. Walaupun perkara itu masih belum wajib dilaksanakan tetapi Seniman sentiasa merancang matlamat dalam membela nasib artis tempatan.

Untuk tahun ini, Seniman mempunyai beberapa agenda penting yang akan dijalankan. Menjelang pertengahan Mac depan, Seniman merancang mengadakan majlis Anugerah Perdana Bintang Seniman yang dianjurkan buat kali kelima. Selepas mengambil lokasi di Perlis dan Indonesia sebelum ini, kali ini majlis akan berlangsung di Kuching, Sarawak.

Presidennya, Datuk Mustapha Maarof yang ditemui pada majlis Tahlil Seniman di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang, Selangor, berkata kerajaan Sarawak memberi persetujuan awal untuk mengadakan majlis berkenaan. Malah, kerajaan Sarawak juga bekerjasama menaja penginapan dan makanan untuk majlis selama tiga hari dua malam.

"Kami merancang membawa hampir 100 orang ke sana dan Seniman sendiri berusaha mendapat tiket penerbangan pada harga murah agar ramai artis termasuk wakil media dapat ke sana. Seperti penganjuran tahun sebelumnya, majlis ini akan memberi pengiktirafan kepada artis menerusi penganugerahan darjah Seniman.

"Mungkin pada tahun ini, Seniman berbesar hati untuk menganugerahkan darjah pada Tan Sri P Ramlee atas sumbangan seninya terhadap hiburan tanah air. Tidak terkecuali, Seniman turut menghargai artis tempatan yang pernah meraih anugerah di luar negara seperti Khalid Salleh dan Yasmin Ahmad.

"Seharusnya mereka yang pernah mengharumkan nama negara menerusi pembabitan dalam majlis anugerah peringkat antarabangsa menerima perhatian sewajarnya di negara sendiri. Tidak lebih 15 anugerah akan diberikan manakala seorang tokoh dipilih pada malam itu nanti.

"Dalam pada itu, Seniman juga ingin memberikan anugerah kepada media cetak dan elektronik yang banyak menyokong aktiviti Seniman selama ini. Sebagai tanda penghargaan, anugerah yang sama diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

"Sebagai penganjur, kami tidak mahu majlis ini melebihi majlis anugerah terbesar seperti Festival Filem Malaysia. Ia bukan untuk bersaing tetapi sekadar memberikan penghargaan," katanya.

Merancakkan aktiviti Seniman tahun ini, satu forum berkonsepkan agama dan motivasi akan diadakan khusus untuk artis tempatan. Kata Mustapha, kandungan forum ini dibincangkan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha memberi bimbingan pada artis.

"Dua tahun lalu, acara ini pernah diadakan di Genting Highlands, Pahang dan ia meraih sambutan positif daripada artis kita. Forum ini bukan bermakna artis kita tiada asas agama tetapi ia lebih mengingati antara satu sama lain. Seniman bercadang untuk menanggung kos perbelanjaan forum ini dan kami percaya forum ini mendapat sokongan artis nanti.



"Bagi Hari Seniman yang diraikan pada 29 Mei, Seniman berharap artis kita terus berbangga dengan hari bersejarah buat anak seni tempatan. Buat masa ini, Seniman menunggu dulu apa perancangan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan untuk aktiviti hari berkenaan," katanya.



Mengenai majlis tahlil yang diadakan baru-baru ini, Seniman memperingati 11 artis tempatan yang meninggal dunia sepanjang tahun lalu. Antara mereka adalah Allahyarham Abd Yazid Sabrani, Aminah Abu Bakar, Nasir P Ramlee, Mohd Nasir Ali, Sudiro Sukiman, Rafie Hussin, Sabarudin P Ramlee, Abdullah Sani Hasim, Bakhtiar Abd Rahman, Yusni Jaafar Siddik dan Ahmad Mahmood.

Sungguhpun Seniman mempunyai lebih 2,000 anggota tetapi lazimnya ia hanya menarik perhatian artis veteran. Sambutan artis muda masih mengecewakan. Antara yang kelihatan cuma Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanah Air (Papita), Datuk M Daud Wahid, Presiden Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM), Syed Mohamed Hassan Benyahya, Datuk Aziz Sattar, Kuswadinata, Aimi Jarr, Wazata Zain, Ahmad Tarmimi Siregar dan Sahronizam Noor.

Kata Mustapha, majlis seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang sebagai satu tanggungjawab sosial. Malah, lebih bermakna majlis kali ini mengimbau kembali kenangan artis yang pernah bekerja di Merdeka Studio pada zaman 60-an yang pernah menunaikan solat di masjid itu.

"Mungkin artis muda sibuk dengan tugas. Bagaimanapun, sebagai manusia kita perlu ingat pada akhirat dan melakukan amal dalam majlis ini untuk kebaikan bersama. Seniman berharap pada masa akan datang, artis muda dapat meluangkan masa untuk menghadiri majlis seperti ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: