Tuesday, January 20, 2009

Dengarnya...: MUH mahu lebarkan sayap ke Indonesia


CIK Normah nak ucapkan tahniah lagi kepada pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23 Ahad lalu terutama komposer yang terus menghangatkan lagi ruang seni negara kita.

Buat kumpulan Meet Uncle Hussain, Faizal Tahir dan Farawahida yang dipertanggungjawabkan menyanyikan lagu, Cik Normah bagi lima bintang kepada mereka semua sebab Cik Normah puas tengok AJL walaupun hanya menonton secara langsung di rumah.

Setuju tak kalau Cik Normah katakan AJL kali ini antara yang terbaik pernah diterbitkan di TV3. Syabas kepada pihak TV3 terutama kepada Primeworks Sdn Bhd kerana terus memantapkan penerbitan AJL tahun ini.

Persembahan permulaan sudah buat Cik Normah teruja begitu juga persembahan akhir membabitkan bakat comel pertandingan Idola Kecil TV9. Hebat juga suara Wada yang menang pertandingan itu, baru-baru ini. Terkedu Cik Normah tengok. Syabas juga untuk M Nasir, Jaclyn Victor dan Jamal Abdillah yang memanaskan lagi pentas AJL.

Walaupun Cik Normah tak pergi tengok secara langsung, haa... jangan ingat Cik Normah tak tahu apa yang berlaku ya?

Kemenangan kumpulan Meet Uncle Hussain nampaknya memberi penanda baik kepada mereka kerana seorang komposer negara seberang yang turut menonton AJL23 pada malam itu turut berminat untuk membawa kumpulan itu meluaskan bakat mereka ke Indonesia.

Amboi, kelas you! Baru saja menang, sudah membuka mata pihak luar. Cik Normah dapat tahu, komposer itu adalah komposer yang sama sedang mengusahakan album sulung Diana Danielle. Nama komposer itu ialah Octav Panggabean.

Buat kumpulan itu, Cik Normah harapkan semoga akan terus melahirkan lagu yang segar dengan jalur muzik yang boleh dibanggakan. Cuma satu, Cik Normah tak nak dengar lepas ini apabila dah makin meletup dan popular, sudah mula demand itu ini hingga nanti akan dicop ‘kekwat’. Satu perbincangan lanjut sudah diadakan semalam di antara Octav dengan pihak Meet Uncle Hussain.

Oh ya, Cik Normah perasan di TV sewaktu pengacara, Cheryl Samad, Ally Iskandar dan Faizal Tahir ingin mengumumkan Juara Lagu, nampak sangat wajah Faizal Tahir dan komposer Audi Mok begitu beriya-iya mengharapkan anugerah itu disapu bersih mereka. Alih-alih nama kumpulan Meet Uncle Hussain yang disebut. Tak mengapa Faizal dan Audi Mok, biarpun tak menang kategori keseluruhan Juara Lagu, persembahan Faizal malam itu tetap mantap dan diakui hebat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: