Tuesday, January 20, 2009

Biografi Amy Search tergendala


AMY dan isteri melayan sebahagian wakil media yang hadir.

Bintang legenda rock harap dapat muncul dengan album baru tahun ini

MENGIKUT perancangan asal, buku biografi Amy Search sepatutnya sudah berada di pasaran sempena ulang tahun hari lahir ke-50 dirinya pada Julai tahun lalu. Begitupun, dek ketidakcukupan waktu, hasrat membukukan kisah hidup serta suka-duka sebagai penyanyi terpaksa ditunda sehingga dia meraikan pula hari jadi ke-51, tahun ini.

Kini, dia harus bergegas memastikan biografi berkenaan dapat juga disiapkan, apatah lagi hanya tinggal kira-kira enam bulan sebelum tarikh akhir untuknya berbuat demikian tiba.

Begitupun Amy tidak bimbang dan berkeyakinan buku terbabit dapat juga dilunaskan berikutan perancangannya sudah pun dimulakan sejak tahun lalu. Sekarang, dia hanya perlu bergerak melaksanakan perancangan itu.

"Saya sudah pun mempunyai seorang penulis yang akan menyelenggara buku berkenaan. Selain dirinya, mungkin ada beberapa penulis lain yang akan menghulurkan khidmat mereka menjayakan biografi ini," kata Amy tatkala ditemui sewaktu memperkenalkan menu baru restorannya, Cheng Ho Chinese-Islamic Food, di Wangsa Maju.

Kata Amy, buku itu bukan saja memuatkan kisah hidupnya sejak kecil, tetapi turut memasukkan sekali cerita mengenai kerjaya sebagai penyanyi rock, sebagai bintang dan bagaimana dia memasang impian untuk berjaya pada suatu masa.

AMY dan Norish terus mengembangkan perniagaan restoran makanan Cina Islam mereka.

"Dengan adanya buku ini nanti, dapatlah saya berkongsi segala cerita bersama peminat, di samping memaparkan kepada mereka bagaimana untuk ‘memainkan permainan’ ini. Di dalamnya juga kami akan paparkan petua bagaimana untuk kekal dalam industri seni buat jangka waktu yang panjang," katanya merujuk kepada kehidupan sebagai artis.

Selain Malaysia, kata Amy, buku terbabit turut dirancang memasuki pasaran Indonesia.

Kata penyanyi itu, dia turut berasakan inilah masanya paling sesuai untuk tampil dengan biografi sendiri berikutan pembabitannya dalam dunia seni sudah pun menjangka tempoh 27 tahun.

"Saya berani muncul dengan biografi setelah berasakan mempunyai isi kandungan yang cukup. Mana-mana artis pun boleh mempunyai buku biografi mereka seandainya bahan sudah ada. Yang penting ialah kita mempersembahkan kandungan yang baik untuk pembaca. Jika usia karier kita hanyalah baru beberapa tahun, mungkin kandungannya tidak seberapa," kata Amy.

Amy sendiri gemar menjadikan buku berbentuk biografi sebagai bahan bacaan. Antara buku kehidupan artis yang sudah dibacanya ialah Freddie Mercury, Doors, Jim Morrison dan Rolling Stones. Malahan dia turut membaca buku mengenai kehidupan Donald Trump, sebagai bahan inspirasi diri.

Selain kelahiran buku biografinya, Amy juga berharap dapat muncul dengan album baru pada 2009. Kali akhir dia tampil dengan album Gothik Malam Edan kira-kira dua tahun lalu, bersama kumpulan Search.

Menyentuh menu baru yang diperkenalkan di restoran miliknya dan isteri, Norish Hassan, Amy berkata, sepanjang kira-kira sembilan bulan restoran itu beroperasi, sambutan diterima cukup baik. Justeru, mereka memutuskan untuk memperkenalkan beberapa lagi hidangan baru untuk pilihan pengunjung.

Hidangan baru itu ialah Ikan Goreng gaya Zheng He, Ikan Kukus Phet Sat, Udang Susu Segar, Kerabu Sotong gaya Cheng Ho, Cendawan Hitam bersama Perut Ikan, Sup Tofu Daging Ketam dan Ikan Kukus dengan Herba.

"Sempena Tahun Baru Cina, kami akan memperkenalkan pakej tahun baru iaitu Yee Sang. Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat hidangan itu seperti minyak zaitun kami dapatkan dari Palestin yang secara tidak langsung dapat membantu meringankan kesengsaraan dihadapi penduduk negara itu, manakala madu pula diperoleh dari Yaman," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: