Lisa Surihani |
BUKAN main berat mulut lagi teman Cik Normah untuk mengakui perkara ini biarpun sudah berbuih Cik Normah berulang kali bertanyakan hal yang sama kepadanya. Hebat betul dia menyimpan rahsianya sedangkan apa yang disembunyikan itu bukan lagi rahsia di kalangan teman wartawan.
Daripada apa yang Cik Normah tahu, Astro sudah lama mengintai pasangan pelakon Farid Kamil dan Lisa Surihani untuk bersama mereka sebagai artis eksklusif. Mungkin Astro melihat potensi besar pada mereka berdua membuatkan stesen penyiaran terkenal itu tidak mahu menanti lama untuk mengikat mereka berdua.
Cik Normah sendiri secara jujur memang menyukai perwatakan mereka. Baik Farid mahu pun Lisa, kedua-duanya cukup disenangi, malahan mudah memberikan kerjasama biarpun ada ketika terpaksa berulang kali melayan pertanyaan yang sama terutama apabila menyentuh keakraban hubungan mereka.
Dari segi bakat, tiada apa yang perlu dipersoalkan lagi. Puluhan filem lakonan Farid sudah jelas untuk menceritakan segala-galanya.
Lisa sendiri walaupun masih baru dan ada ketika agak kekok di layar perak, namun dia mempunyai ciri-ciri yang dicari untuk menjadi pelapis dalam dunia lakonan.
Cik Normah dengar pasangan itu sudah pun menandatangani perjanjian untuk bersama Astro, mengikut jejak Aaron Aziz dan Erra Fazira yang terlebih dulu menyertainya.
Cik Normah harap usaha itu akan membantu untuk melancarkan lagi karier lakonan Lisa. Apatah lagi ketika ini kariernya sedang mula rancak.
Bukan apa Cik Normah risau juga, perjanjian sudah ditandatangani tetapi produk tidak juga muncul-muncul nanti apabila peminat bertanya, siapa yang nak jawab?
Jangan sampai kontrak sudah nak reput, baru drama pertama disiarkan sudahlah...!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: