KELAM kabut Cik Normah betul pada Ahad lalu, maklumlah banyak urusan yang perlu diselesaikan sebaik saja pulang dari minum petang bersama teman di kafe berhampiran kediaman.
Jangan tak tahu walaupun dalam kelam kabut, Cik Normah tetap sempat meluangkan masa ke salun mencantikkan diri. Dengan rambut yang baru didandan, Cik Normah pun duduk di depan TV menonton siaran langsung Anugerah Juara Lagu Ke-23 (AJL23).
Memang begitu perangai Cik Normah setiap kali ada acara besar hinggakan suami merungut kenapa Cik Normah tidak pergi saja ke stadium mengikuti perjalanan program itu secara langsung.
Bukan tak nak pergi. Sebenarnya Cik Normah tidak menemui baju yang bersesuaian untuk digayakan pada malam itu. Takkan Cik Normah nak ambil kain ela balut tubuh pula semata-mata mahu ke sana.
Tapi tak ada bersama, jangan bermakna Cik Normah tak tahu apa yang berlaku di stadium. Teman baik Cik Normah sempat membisikkan satu cerita menarik mengenai seorang personaliti ini.
Katanya, sedang dia mencari tempat duduk di stadium matanya tertumpu kepada personaliti yang cukup berkaliber di Astro Awani, siapa lagi kalau bukan Dang Suria.
Mulanya dia tidak menaruh prasangka apa-apa. Mungkin Dang Suria ke sana untuk memenuhi jemputan yang dilayangkan. Lagi pun TV3 bukanlah asing baginya kerana di stesen TV itu jugalah dia membina nama sebelum beralih ke stesen penyiaran lain.
Sedang teman Cik Normah membelek-belek buku cenderamata yang disediakan, matanya terpaku apabila melihat Dang Suria duduk di kerusi bahagian depan pentas. Setahu teman Cik Normah bahagian itu dikhususkan untuk finalis AJL23.
Rupa-rupanya dia tidak berseorangan kerana di sisinya ada seorang lelaki yang cukup Cik Normah kenal. Bukan orang lain, dalam industri juga itu yang buat teman Cik Normah berkobar-kobar nak tahu. Siapa lagi kalau bukan penulis lirik Kalis Rindu, Ad Samad.
Dari jauh kata teman Cik Normah, mereka kelihatan agak mesra. Lalu dia pun merisik berita dengan seorang teman lain yang kebetulan ditempatkan di kerusi berdekatan. Ad mengaku dia memang datang bersama Dang Suria malam itu. Jadi ada apa antara mereka?
Kalau benar ada sesuatu antara mereka berdua, Cik Normah tumpang gembira. Iyalah, Dang Suria pun sudah lama bersendirian. Cuma satu yang Cik Normah harap, Dang Suria tidak melatah dengan usikan Cik Normah ni.
Memang sudah lama Cik Normah tak usik Dang Suria yang semakin jelita dan muda akhir-akhir ni. Apa rahsianya? Tak nak kongsi dengan Cik Normah ke?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: