Thursday, January 22, 2009

Daripada pegawai bank ke bidang drama


MELIHAT wajahnya, ingatan penonton mudah mengingati Shahrulzaman Kamaludin sebagai pelakon. Namun, tidak ramai yang ketahui, sejak lebih setahun lalu, dia berjinak-jinak dengan bidang pengarahan.

Meskipun kini memegang tanggungjawab penolong pengarah tetapi dia tidak pernah mengalah untuk belajar perkara baru. Katanya, dia berminat mendalami bidang pengarahan sejak berlakon lebih 10 tahun lalu. Selepas mencuba tugas baru ini menerusi drama Jodoh @ Siber, dia meraih peluang untuk drama Dewi Di Sebalik Cermin.

“Sejarah saya menjadi penolong pengarah sebenarnya berlaku secara tidak sengaja. Dalam satu drama yang pernah saya lakonkan dulu, tiba-tiba penolong pengarah drama itu lari dari lokasi penggambaran. Lalu, pengarah drama menawarkan peluang kepada saya untuk pikul tugas itu buat sementara.

“Sejak itu, saya mula minat mengarah. Tugas saya kali ini lebih mencabar kerana bertanggungjawab dalam menyusun jadual setiap adegan yang ingin dilakonkan dan turut bekerjasama dengan pengurus produksi.

“Persediaan awal sebelum penggambaran bermula penting agar masalah tidak timbul. Untuk drama ini, saya gembira kerana mendapat tenaga kerja yang komited. Kami mudah bekerjasama apabila wujud persefahaman,” katanya.

Berkongsi pengalaman kerja lalu, Shahrulzaman sebelum ini pernah bekerja sebagai pegawai akaun bank selama lapan tahun sebelum menyambung tugas menjadi penolong pegawai kewangan dengan syarikat perkapalan dan berhenti kerja itu pada 1996. Kini, dia mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap kerja lakonan dan pengarahan.

“Walaupun sibuk dengan tugas baru, saya masih aktif berlakon. Selalunya jika ada tawaran lakon yang tidak mengganggu tugas baru saya ini, ia tiada masalah untuk saya terima. Saya berlakon apabila ada watak sesuai.

“Saya kena terima hakikat kehadiran pelakon baru yang lebih muda mengatasi pelakon senior. Atas sebab itu, saya masih mempertimbangkan tawaran berlakon walaupun ia hanya membabitkan satu atau dua adegan saja.

“Mungkin ada yang berkata, pelakon berpengalaman perlu bersikap memilih watak tetapi saya memikirkan belum sampai ke tahap itu. Saya masih menganggap adegan sedikit tetap mencabar.

“Seperti drama Cinta Batu Belah, saya berlakon sebagai penagih dadah walaupun saya sebenarnya tidak merokok. Saya akui banyak perkara yang harus dipelajari sebelum yakin untuk memikul tugas pengarah.



“Pengalaman di lokasi penggambaran latihan terbaik saya untuk mendalami tugas pengarah. Mungkin dalam jangka masa setahun lagi, saya akan menyahut cabaran sebagai pengarah sebenar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: