|
SUASANA sebuah rumah di Kemensah Height, Hulu Klang, Selangor, kelihatan sunyi. Sesekali kedengaran unggas dan serangga hutan yang berbunyi memecah kesunyian. Memasuki rumah itu, kelihatan seorang wanita iaitu Dewi yang mempunyai wajah serius berjalan mundar-mandir. |
Dewi seperti mempunyai konflik dalam diri. Apabila dia berhadapan dengan cermin antik dalam rumah itu, personalitinya berubah menjadi pasif. Itu antara karakter menarik yang ingin dipaparkan menerusi drama terbaru, Dewi Di Sebalik Cermin terbitan Gama Taktik Sdn Bhd yang selesai menjalani penggambaran penghujung bulan lalu.
Drama arahan Mohd Azhar Mohd Khalid atau Apache ini menampilkan pelakon jelita, Rozita Che Wan sebagai pendukung watak utama. Memberi kelainan, Rozita digandingkan bersama adiknya, Ayu Raudhah. Namun, mereka bukanlah pasangan adik-beradik dalam drama ini sebaliknya Ayu memainkan watak orang gaji Dewi.
Kata Apache, hampir 90 peratus penggambaran drama ini dilakukan dalam rumah itu kerana berdasarkan plot penceritaan, Dewi sering berada di rumah dan suka melihat wajahnya di cermin. Drama berkonsepkan telefilenm ini hanya mengambil masa lapan hari penggambaran.
“Mengikut plot, Dewi menyewa rumah ini dan menjumpai cermin yang mampu mengubah hidup menjadi sebaliknya. Jika sebelum itu, dia asyik bekerja tetapi apabila sering menatap wajahnya dalam cermin itu, dia merasai sesuatu dalam diri yang merubah pada satu kehidupan baru.
“Cermin itu sebenarnya membuatkan Dewi menjadi psiko apatah lagi dia kesunyian selepas bercerai dengan suami mudanya (lakonan Shahrulzaman Kamaludin). Dalam kehidupan baru, Dewi mempunyai orang gaji (Ayu Raudhah) dan pengawal keselamatan yang menjaga keselamatan rumahnya (Fahrin Ahmad).
“Apa yang menjadi persoalan kepada penonton adalah pertembungan antara watak Dewi dengan orang gaji. Dewi ada ketika menjadi pemarah tetapi kemudian melihat diri seperti orang gaji yang naif sehingga didera majikan.
“Cabaran pada kedua-dua watak ini ialah mereka sering bergaduh dan pada waktu sama, Dewi menyimpan perasaan terhadap pengawal keselamatan rumahnya.
“Saya berpendapat drama ini menarik kerana ia mengajak penonton berfikir. Sebagai pengarah, saya berasakan drama ini turut memberi cabaran kepada saya kerana ia memerlukan kreativiti dari aspek penyampaian kepada penonton.
“Saya suka drama ini kerana ia menampilkan genre psiko thriller yang membuatkan penonton tertanya-tanya kesudahan drama ini. Saya sendiri memilih Rozita untuk memainkan watak utama kerana dia mempunyai wajah yang sesuai dengan karakter dikehendaki,” katanya.
Bagi Apache, walaupun dia minat dengan plot drama sebegini tetapi kekurangan penulis skrip berbakat membataskan drama Melayu bermutu. Katanya, kebanyakan drama Melayu sering menampilkan cerita sedih sehingga membuatkan penonton mudah bosan.
“Kejayaan sesebuah drama bergantung pada plot penceritaan menarik dan pelakon bersesuaian. Ada pelakon yang banyak berlakon tetapi tidak mempunyai wajah komersial untuk dijual.
“Berbanding Rozita, dia memiliki pakej lengkap. Bukan saja mempunyai rupa menawan tetapi berbakat dalam lakonan. Sebenarnya kami pernah bekerjasama tiga tahun lalu dalam sebuah drama dan saya yakin dia mampu pergi jauh sebagai pelakon yang berjaya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: