Sunday, January 25, 2009

CInta Adam Dan Misha


CINTA Adam dan Hawa meneruskan kesinambungan populariti gadis Kelantan ini untuk 2009. Sejak 2006, Misha Omar hanya tampil dengan single demi single tanpa album penuh. Bermula dengan Nafas Cahaya, muncul pula Sembunyi iaitu duetnya dengan Andy Flop Poppy (2007) dan Jawapanmu (2008).

Semuanya berkisar ceritera cinta tetapi ironinya, Misha belum menemui cinta yang diimpikan. Dua kali menyulam kasih sebelum ini belum mampu membawanya ke tangga pelamin. Tiada jodoh! Namun dia tidak menyesal kerana percaya dengan aturan Tuhan.

Malah, pengalaman itu menambah rencah di dalam hidupnya yang kini memasuki tahun ke-27. Pun begitu, ketika ini dia tidak merancang mencari cinta baru. Misha pasrah dengan ketentuan Ilahi.

“Dia lebih Mengetahui apa yang terbaik untuk makhluk-Nya. Kegagalan cinta saya sebelum ini membuatkan saya semakin matang dalam meniti kehidupan ini.

“Saya tidak merancang tetapi kalau ada didatangkan seorang lelaki yang dinamakan jodoh saya, saya terima. Jika Tuhan berikan saya seorang lelaki yang baik, masa yang baik dan dengan tujuan yang baik, itulah yang saya terima,” kata Misha yang masih memakai pendakap gigi.

Buat masa ini cinta hatinya hanya kepada Muhammad Adam Emir yang bakal mendaki usia tiga tahun pada Jun 2009. Cepat masa berlalu, akui penyanyi Bunga-bunga Cinta ini, kerana dalam kesibukan kariernya, selama lebih dua tahun ini dia bergelar ibu.

Ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Jula Juli Bintang Tiga di Bukit Jelutong, Shah Alam, baru-baru ini, bual bicara Misha lebih banyak kepada Adam. Galak dia bercerita gelagat Adam setiap pagi ketika bersiap untuk ke tadika.

Ada kala bersemangat, tidak kurang juga liat untuk bangun. Melihat telatah Adam membuatkan empunya nama sebenar Samihah @ Aisah Omar ini tersenyum. Melihat Adam yang semakin membesar, kadangkala terlintas di hati untuk ‘mengangkat’ seorang lagi anak.

Namun tidak semudah itu untuk Misha membuat keputusan. Nasihat ibunya supaya mendirikan rumah tangga dan memiliki anak daripada darah daging sendiri ada benarnya. Misha sedar hal itu, cuma sesekali hatinya tercuit untuk mencari ‘adik’ kepada Adam.

“Betul juga kata Mama. Tunggu sajalah, kita hanya merancang kerana yang terbaik datangnya daripada Tuhan.



“Seperti saya katakan tadi, saya tidak merancang. Cuma yang cantiknya kalau ia memenuhi impian saya. Semua orang ada angan-angan dan angan-angan saya untuk berkahwin sebelum usia 30 tahun. Tinggal lagi tiga tahun untuk ke situ.



“Seboleh-bolehnya ketika usia itu saya sudah ada di alam berbeza, dengan status serta kematangan lain dalam menempuhi arus hidup berbeza. Kalau tidak tercapai sekali pun, saya lalui saja kerana saya percaya hidup ini penuh dengan kejutan.

“Tidak salah kita pasang angan-angan,” katanya yang terpaksa menghentikan temubual seketika untuk menyambung babak dalam Jula Juli Bintang Tiga.

Selesai satu babak yang turut dijayakan Dynas, Nik Norshayidah (Mek), Imuda dan Abby Abadi, Misha kembali bercerita mengenai pembabitannya di dalam drama itu.

Lakonannya bermula di layar perak melalui Gerak Khas The Movie dan Main-main Cinta. Namun dirasakan dia perlu mendedahkan diri ke dunia drama TV bagi mendalami pengalaman untuk menjadi pelakon yang baik.

“Elok juga saya belajar dari bawah. Dulu terus melompat ke filem, tetapi sepanjang pembikinan 20 episod drama ini saya bukan saja mengenali karakter watak saya sebagai Julu, malah semakin rapat dengan rakan pelakon lain. Boleh dikatakan setiap hari kami bersama, sudah macam satu keluarga.

“Sambil itu saya perhatikan rakan kru, baik yang buat mekap, pencahayaan, set dan sebagainya, mereka sungguh komited. Pengalaman ini pernah saya lihat ketika berlakon filem dulu, tetapi kali ini ia lebih berbeza.

“Yang boleh saya simpulkan, drama adalah medan terbaik untuk mencuba pelbagai karakter,” katanya yang meluangkan masa kira-kira enam minggu untuk drama Jet Li itu.

Bagaimanapun, katanya, lakonan menuntut masa yang lebih. Sedikit terkilan di hati apabila masa bersama Adam terbatas. Tidak pula mahu dia membawa anaknya ke lokasi ketika hujung minggu kerana kata Misha, nanti tidak boleh buat kerja sebab Adam akan manja sangat kalau ada Mamanya.

“Saya tidak mahu dia biasa dengan set penggambaran. Bukan halangan, tetapi biar dia cuba sesuatu yang lain daripada bidang ibunya apabila dewasa kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Misha dan kakaknya, Mimi merancang menjalankan perniagaan makanan berdasarkan resipi ibunya. Di kalangan teman rapat, air tangan ibunya memang dipuji.

“Tidak terlalu besar, kami mahu restoran yang sederhana saja yang mudah untuk orang menjamu selera,” katanya.

Profil

NAMA: Samihah @ Aisah Omar

LAHIR: 6 Januari 1982 di Kota Bharu, Kelantan

PENDIDIKAN: Jurusan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Tun Abdul Razak (Unitar)

ALBUM: Misha Omar, Aksara dan Misha Omar

FILEM: Gerak Khas 3 (GK3) dan Main-Main Cinta

PENCAPAIAN: Artis Harapan Pilihan Anugerah Era 2003; Anugerah Juara Lagu Ke-18 (Bunga-Bunga Cinta); Juara Balada & Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu Ke-19 (Pulangkan); Artis Baru Wanita Popular ABPBH 2003 dan Anugerah Emas Festival Muzik Asia Ke-6 di Shanghai, China

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: