Thursday, January 15, 2009

Cari juara kelapan


PROGRAM realiti American Idol berjaya mengangkat tujuh juara yang kini melakar nama sebagai penyanyi popular. Bermula dengan Kelly Clarkson, Ruben Studdard, Fantasia Barrino, Carrie Underwood, Taylor Hicks, Jordin Sparks dan David Cook, kini musim kelapan kembali untuk mencari juara kelapan.

Penonton di Malaysia berpeluang menyaksikan program yang turut diminati kerana kehadiran tiga pengkritik tetapnya, Randy Jackson, Simon Cowell dan Paula Abdul mulai Khamis, jam 9.30 malam (15 Januari) menerusi 8TV.

Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi 8TV, Lam Swee Kim berkata, pihaknya bangga menampilkan musim baru American Idol kerana sambutan hebat penonton menerusi tujuh musim sebelum ini.

Katanya, apa yang membanggakan program ini bukan saja mendapat sambutan hangat penonton malah menang pelbagai anugerah berprestij seperti Anugerah Pilihan Remaja (Teen Choice Awards), Anugerah Pilihan Ramai (People Choice Awards), Image Awards dan Anugerah Pilihan Kanak-kanak (Kids' Choice Awards).

"Saya juga salah seorang peminat fanatik American Idol ini. Pastinya saya tidak akan melepaskan peluang menonton rancangan ini setiap minggu bermula 15 Januari ini.

"Penonton bukan hanya ingin melihat kehebatan pesertanya malah kehadiran tiga pengkritik tetap, Randy Jackson, Simon Cowell dan Paula Abdul. Begitu juga keletah pengacaranya, Ryan Seacrest yang terus diberi tanggungjawab sebagai hos untuk musim kelapan ini.

"Mereka akan membawa penonton mengembara ke seluruh Amerika bagi mencari bintang baru untuk musim ini," katanya.

Tambah Swee Kim, musim kelapan ini masih mengekalkan konsep sama yang mana pemenang dipilih menerusi undian tertinggi dari peminat sekaligus menang kontrak merakamkan album dengan syarikat rakaman gergasi.

"Untuk musim baru ini, American Idol menampilkan seorang lagi juri baru untuk bersama-sama Paula, Randy dan Simon. Kara DioGuardi, komposer dan penerbit terkenal di Amerika dipilih sebagai salah seorang pengkritik tetap untuk memberi sedikit kelainan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: