Sunday, January 11, 2009

Borak Pak Nil: Antara sensitif, cengeng, serius


ASSALAMUALAIKUM semua! 11 Januari, hari pertama saya mula menulis dalam ruangan BORAK PAK NIL menggantikan Dunia Mawi yang sebelum ini diberi peluang bersama pembaca setia Metro Ahad.

Dalam kesibukan rakaman TV, bangun awal pagi untuk ke konti radio Era dan memenuhi undangan berceramah di sekolah, saya selitkan juga coretan ini.

Mulai minggu ini saya akan berkongsi pendapat, pengalaman dan cerita yang saya lalui untuk anda semua mengenali saya lebih dekat lagi.

Walaupun saya berkecimpung dalam bidang ini lebih 18 tahun, ada yang mengenali saya hanya sebagai Aznil Nawawi di kaca TV.

Tidak sama sebenarnya apa yang anda tonton berbanding saya di luar. Nampak saya di kaca TV, memang gila-gila dan suka bergurau, tetapi itu cuma 50 peratus daripada personaliti saya.

Yalah, takkan saya nak tunjukkan sisi saya yang serius, sensitif, pemarah, cengeng dan tension dalam rancangan hiburan yang memerlukan saya berperwatakan ceria, bukan? Jadi, saya mahu ambil peluang memperkenalkan sisi saya yang sebenar melalui penulisan.

Saya sama juga seperti orang lain yang kadangkala terbawa-bawa masalah peribadi dalam perwatakan seharian. Kalau ada masalah, saya jenis yang tak suka simpan lama-lama. Saya lebih gemar menyelesaikannya dengan segera kerana masalah itu akan mengganggu tidur malam saya.

Tidur malam memang penting buat saya. Jadi kalau terganggu, mood saya juga terganggu pada keesokan harinya. Lebih teruk jika ada rakaman. Susah nak dapat idea spontan bila otak tersekat.

Itu sebab orang tengok saya ‘happy’ saja, sedangkan mereka tak tahu saya tak suka simpan masalah. Bagi saya, kalau gatal, saya akan garu masa tu juga. Takkan nak tahan pula?

Peminat pun bukan kisah kalau saya ada masalah peribadi, kan? Bila mereka jumpa saya, takkan nak tanya sama ada saya mempunyai masalah peribadi ketika mereka ingin bergambar dengan saya!



Bila nampak saya, tentu ada yang ingin berfoto. Saya pun takkan nak beritahu mereka yang saya tak ada mood nak bergambar sebab ada masalah peribadi. Senyum tetap senyum! Autograf tetap kena juga.



Sebagai manusia yang lemah, kadangkala ada juga senyum kelat saya terpancar sehingga ada peminat perasan. Minta maaflah kalau macam tu.

Tidak ada niat langsung di hati saya untuk kecilkan hati peminat sehingga ada yang tanya “Pak Nil marah ke?” Tak marah, tapi faham-fahamlah, saya macam anda juga yang ada ketikanya tak dapat sorokkan gangguan emosi.

Ada juga peminat yang tanya kenapa Pak Nil di luar tak sama dengan yang di dalam rancangan tontonan mereka. Mereka sebenarnya menunggu saja lontaran lawak dari mulut saya, tapi hampa. Alahai, takkanlah saya nak buat lawak 24 jam kut?

Sebenarnya saya suka buat lawak di atas pentas dan depan orang yang mengenali saya secara peribadi saja. Bukan saya jual mahal, tapi agak-agaklah juga dengan tempat untuk bergurau, kan. Bila jadi macam ini, dah mula pula keluar cerita yang Aznil sebenarnya sombong.

Kalau macam ni, susahlah saya. Lebih sukar bila saya ada bersama anak atau famili. Saya tentu tak boleh luangkan masa lebih lama dengan mereka yang ingin berborak dengan saya.

Namun saya memang suka sangat orang menyapa saya! Serius! Datanglah pada saya untuk berjabat tangan atau bertukar senyuman. Saya seronok sangat disapa, tapi tegurlah dengan baik. Janganlah pula terjerit-jerit Hoi! Hoi! Kalau macam tu, bukan saya saja, anda sendiri pun mungkin angin, kan?

Namun kadangkala saya termalu sendiri bila ada juga orang ramai yang mulanya memandang seperti mengenali saya. Bila saya senyum, mereka memalingkan muka ke arah lain atau tidak membalas senyuman.

Apa pula yang membuat Aznil marah? Sebenarnya, saya cukup tak gemar dengan golongan kurang ajar. Baik orang dewasa, remaja atau kanak-kanak. Ada juga golongan dewasa yang mungkin ingin bergurau dengan saya, tetapi memilih cara yang kurang sopan.

Lebih sedih kalau ia dilakukan di depan kanak-kanak. Tak elok sangat jika kita dijadikan contoh dengan gaya bahasa dan aksi yang tak sesuai. Jangan marah kalau anak lakukan perkara sama kepada kita nanti kerana menyangka ia tidak salah! Barulah kena dengan muka kita masa itu.

Kalau saya marah, telinga saya akan merah! Terasa sangat telinga saya jadi panas, tapi saya akan cepat-cepat berhenti memberi layanan. Saya akan bingkas meninggalkan tempat.

Tipulah kalau saya cakap saya tak pernah merasa kecil hati dengan segelintir peminat yang bercakap dengan cara tak sopan. Mungkin mereka ingatkan saya jenis ‘happy go lucky’ jadi boleh memperbudak-budakkan saya.

Harus diingat, saya dah 47 tahun dan ada anak berusia 19 dan 14 tahun. Kadangkala ada yang seusia dengan ibu bapa mereka.

Tak manislah jika bercakap dengan saya seperti dengan rakan sebaya mereka. Kita kena ada fleksibiliti dalam cara kita bercakap mengikut usia orang di depan kita. Jangan main belasah saja.

Namun saya anggap ini asam garam kehidupan untuk pekerjaan saya. Cuma kasihan dengan anak saya yang terperanjat bila mereka bersama saya ketika itu dan melihat orang bercakap cara yang janggal dengan Papa mereka!

Oh ya, satu hal lagi, saya memang jenis cengeng. Cepat tersentuh dan mudah menangis. Dari dulu lagi saya memang begitu. Orang lain kemalangan, saya yang mula bergenang air mata. Kadangkala tengok cerita sedih pun saya boleh menangis!

Nak lebih hebat lagi? Kadangkala dengar lagu sedih pun saya boleh tersentuh. Itu sebabnya saya senang menitiskan air mata masa penyingkiran pelajar AF.

Pada hal saya yang kawal skrip, tetapi bila saya menggunakan nada yang sayu dan pemilihan perkataan yang menyentuh perasaan, rupa-rupanya perasaan saya dulu yang tersentuh! Saya dulu yang menangis! Kelakar kan?

Dah panjang lebar saya perkenalkan diri saya dan diharap bermula minggu ini, ruangan saya akan menjadi pilihan pembaca akhbar nombor satu ini. Banyak pengalaman, diari harian saya dan isu semasa yang saya ingin kongsi pendapat dengan anda.

Di samping itu, saya harap ruangan ini dapat merapatkan hubungan dengan penyokong saya dan yang tidak menggemari saya, insya-Allah.

Hari ini, Mawi akan menaiki pelamin untuk majlis resipi, oops… resepsi lah, perkahwinannya dengan Ekin buat kali ketiga! Wah, hebat betul anak jati Felda Taib Andak ni. Acara perkahwinan sampai dua tahun! Dari 2008 berlanjutan hingga 2009!

Saya akan jadi tuan rumah bagi majlis ini. Yalah, saya kan personaliti Astro, jadi kenalah jadi Bang Long dalam majlis yang akan disiarkan secara langsung di Astro Ria ini.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Pengantin Baru buat Mawi dan Ekin, semoga mereka menjadi pasangan serasi hingga hujung nyawa.

Buat Mawi dan Ekin, amati lagu 11 Januari dendangan kumpulan Gigi ini demi perkahwinan mereka!



11 JANUARI

Sebelas Januari bertemu

Menjalani kisah cinta ini

Naluri berkata engkaulah milikku

Bahagia selalu dimiliki



Bertahun menjalani bersamamu

Ku nyatakan bahwa engkaulah jiwaku

Akulah penjagamu

Akulah pelindungmu

Akulah pendampingmu



Di setiap langkah-langkahmu

Pernahku menyakiti hatimu

Pernah kau melupakan janji ini

Semua kerana kita ini manusia



Akulah penjagamu

Akulah pelindungmu

Akulah pendampingmu



Di setiap langkah-langkahmu

Kau bawa diriku

Ke dalam hidupmu

Kau basuh diriku

Dengan rasa sayang



Senyummu juga sedihmu adalah hidupku

Kau sentuh cintaku dengan lembut

Dengan sejuta warna

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: