![]() |
| MAMPUKAH gandingan Ziana Zain (kanan) bersama Azlan Abu Hassan memberikan kemenangan buat lagu Dingin? |
NAMA penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain sememangnya cukup sinonim dengan pertandingan berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL).
Bermula dengan penyertaan pertamanya pada tahun 1992 menerusi lagu Madah Berhelah, persembahan Ziana sememangnya cukup dinantikan setiap kali namanya tersenarai ke peringkat akhir AJL.
Malah, sehingga kini namanya sudah enam kali berjaya ke peringkat akhir pertandingan yang mengiktiraf hasil karya lagu tempatan terbaik itu.
Kini, setelah hampir tujuh tahun namanya sepi dalam pertandingan yang seringkali menjadi perhatian saban tahun itu, nama Ziana kembali menjadi sebutan tatkala lagu dendangannya, Dingin berjaya mara ke peringkat akhir yang akan berlangsung pada 18 Januari ini.
Dingin yang tersenarai dalam kategori Balada itu merupakan ciptaan Azlan Abu Hassan manakala liriknya pula oleh Azalea.
Bukan itu sahaja, Dingin juga merupakan gandingan pertama Ziana dan Azlan yang berjaya ke gelanggang akhir AJL.
Kali terakhir anak kelahiran Merlimau, Melaka ini menyertai AJL adalah pada tahun 2002 menerusi lagu Menadah Gerimis yang juga berjaya mengungguli kategori Balada tahun itu.
Setiap kali jika nama Ziana tersenarai, persembahannya memang ditunggu-tunggu kerana peminat mahupun pemerhati industri hiburan tanah air mahu menyaksikan lontaran vokal lantang Ziana dalam melagukan lagu yang dibawakannya.
Jika masih ada yang ingat lagi, persembahan Ziana pada tahun 1992 dalam AJL dikritik hebat kerana ketidakmampuan Ziana untuk menyampaikannya secara langsung dengan baik terutama apabila tiba ke bahagian lagu yang memerlukan Ziana menarik tinggi suaranya.
Begitu juga dengan tahun ini, ramai yang agak skeptikal dengan kemampuan Ziana dalam melagukan lagu seindah Dingin sementelah usianya juga kini sudah mencecah 40 tahun.
Persoalannya kini, mampukah dia menyampaikan lagu Dingin dengan sempurna serta lancar tanpa sebarang cacat-cela sekali gus tidak menghampakan peminat setianya?
Bertemu dengan ibu kepada dua orang anak pada majlis sidang media AJL23 baru-baru ini, dia tidak berhenti memanjatkan kesyukuran kerana lagu Dingin terpilih juga ke peringkat akhir AJL23 walaupun diumumkan pada saat akhir.
Begitu juga dengan persembahannya pada malam yang cukup gilang-gemilang itu nanti kerana jelas Ziana, dia tidak mahu ambil pusing kata orang mengenai persembahannya malah cukup optimis dengan apa yang dilakukannya.
Apa yang penting, dia mahu menyanyi dengan tenang agar persembahannya mampu diingati oleh peminatnya.
“Jujurnya, memang dulu, saya memang terlalu fikirkan tentang kritikan terhadap diri saya apabila menyertai AJL. Maklumlah, orang mengharapkan kita akan buat yang terbaik tetapi ada kalanya, apa yang kita harapkan itu tidak terlaksana kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.
“Kini, dengan usia saya yang semakin matang dan dewasa, saya tidak mahu lagi begitu tertekan memikirkan tentang persembahan saya pada malam itu nanti kerana jika kita terlalu tertekan, peluang untuk membuat kesilapan itu memang terbuka luas.
“Apa yang penting, adalah untuk melunaskan tanggungjawab yang diberikan itu sebaik mungkin. Soal rezeki itu semuanya adalah ketentuan Allah. Apa yang saya harapkan, semuanya berjalan lancar dan saya juga berdoa agar kesihatan saya baik pada malam itu nanti,” kata Ziana optimis.
Bercerita tentang lagu Dingin, pemilik nama Siti Roziana Zain in memberitahu, lagu berkenaan merupakan sebuah lagu yang berhantu serta mencabar vokal serta kredibilitinya sebagai seorang penyanyi dan penghibur.
“Apabila Azlan memberi lagu berkenaan kepada saya, tanpa berlengah, terus saya setuju untuk merakamkannya. Bukan mudah untuk membawakan lagu ini kerana ia bermula dengan nada rendah dan seterusnya ke nada yang tinggi.
“Lagu Dingin juga banyak mengajar dan memperbaiki kelemahan saya sebagai seorang penyanyi terutama bahagian nada rendah saya. Malah, kekuatan lagu ini juga terletak pada susunan muziknya yang begitu indah.
“Pada saya, Azlan memang bijak bereksperimentasi dengan muzik kerana jika kita perhatikan, setiap lagunya pasti akan disuntik dengan elemen muzik yang baru serta segar,” ujarnya lagi.
Untuk kategori Balada, Dingin akan berdepan dengan saingan yang cukup sengit dari lima buah lagu lain iaitu Cuba dan Sampai Syurga nyanyian Faizal Tahir, Bila Nak Saksi (Spider), Lagu Kita (Aizat) dan Hanya Di Mercu (Ayu).
Kata Ziana lagi, dia sendiri tidak mampu mengatakan siapakah saingan terdekatnya kerana semua lagu yang bertanding cukup hebat dan berkualiti.
Dingin dicipta untuk Ziana - Azlan
Bagi komposer tersohor ini, setiap kali menyertai AJL, dia tidak terlalu memikirkan tentang kemenangan tetapi sebaliknya apabila lagunya diterima baik oleh peminat dan juri yang menghargai karyanya.
Sehubungan itu, apa yang penting kata Azlan, tahun ini, dia mahu peminat Ziana mencapai kepuasan menerusi lagu Dingin pada malam itu nanti.
“Lagu ini juga untuk peminat Ziana yang telah lama merindui kemunculannya untuk muncul di gelanggang AJL. Saya juga mengharapkan yang terbaik dan seboleh-bolehnya, kami tidak mahu peminat Ziana kecewa.
“Soal menang atau kalah itu adalah perkara kedua kerana apabila membicarakan tentang AJL, ia adalah tentang tuah. Sesiapa sahaja boleh menang dan ia bergantung kepada kebijaksanaan juri untuk memilih yang terbaik. Seandainya lagu Dingin menang, ia benar-benar memberikan kejutan buat saya.,” katanya.
Azlan juga memberitahu, saingan tahun ini sememangnya cukup sengit dan semua pihak boleh membuat ramalan siapa yang bakal bergelar juara.
“Tahun lalu apabila Izinku Pergi menang kategori Balada, saya memang terkejut kerana menyangka lagu Mahakarya Cinta akan menang. Lagu itu memang cukup kuat dan saya memang sukakan lagu itu.
“Tahun ini pula, lagu Hanya Di Mercu ciptaan Aubrey Suwito juga mempunyai potensi kerana lagu itu memang indah ciptaannya,” jelas Azlan.
Untuk memantapkan lagi persembahan Ziana, Azlan akan melakukan latihan vokal bersama Ziana beberapa hari sebelum AJL berlangsung.
“Orang suka melihat Ziana apabila dia menarik suaranya dan untuk itu, saya akan berlatih dengannya untuk memperbaiki lagi nada tingginya adar dia mampu melakukan yang terbaik pada malam itu nanti,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: