SPEKULASI mengenai status Andy Lau sudah lama dibincang, diheboh dan dipertikaikan. Orang ramai sering bertanya sama ada Andy akan berkahwin atau tidak.
Sejak dua dekad lalu, banyak media terutamanya Hong Kong telah bersungguh-sungguh mencari bukti untuk mengesahkan sama ada penyanyi dan pelakon kesayangan kelahiran negara itu sudah berkahwin dengan kekasih lamanya, Carol Zhu Li Qian yang berasal dari Malaysia.
Tahun lalu, isu ini menjadi hangat seketika apabila Andy, 48, telah melawat Malaysia pada 10 Mei lalu untuk menghadiri majlis perkahwinan adik perempuan Carol, Nica Zhu bersama Philip Gan di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
Sungguhpun hanya berada pada majlis itu selama 10 minit dan menyampaikan dua buah lagu, kemunculan dia sahaja sudah cukup untuk menunjukkan hubungannya yang rapat dengan keluarga Carol.
Maka bagi pasangan ini yang tidak pernah mengiya atau menafikan hubungan cinta mereka, tindakan Andy telah membuktikan bahawa Carol adalah wanita istimewa di hati Andy selama ini.
Ramai yang tidak pasti mengapa Andy mahu merahsiakan hubungan cinta ini. Kalau dulu dia takut akan kehilangan jumlah peminatnya, ideologi ini boleh diterima.
Namun, selepas berkecimpung dalam dunia hiburan selama 27 tahun dan mempunyai pangkalan peminat di serata dunia, Andy tidak perlu lagi risau sama ada peminatnya akan berkurangan jika dia bergelar suami mahupun bapa.
Lihat sahaja budaya dan trend terkini selebriti Hollywood. Ramai di antara mereka masih dan semakin popular walaupun selepas bergelar suami isteri dan ibu bapa.
Mungkin sudah mula menyedari perubahan minda peminat atau memikirkan usia yang semakin lanjut, Andy baru-baru ini dilaporkan telah membuat keputusan untuk mengiktiraf secara terbuka wanita kesayangannya itu.
Berita mengenai perancangan perkahwinan Andy mula dilaporkan awal Disember lalu. Menurut laporan majalah Hong Kong, Three Weekly, Andy dan Carol bakal berkahwin di Pulau Redang, Terengganu tahun ini untuk mengelakkan gangguan paparazzi. Namun, tarikhnya masih belum dipastikan.
Laporan itu tersebar luas selepas Andy bertanya kepada peminatnya sewaktu mengadakan konsert di Taipei, Taiwan November lalu mengenai pandangan dan penerimaan mereka jika bintang pujaan mereka berkahwin.
"Andy berbuat demikian kerana ingin melihat reaksi peminat jika dia berkahwin dengan Carol kelak. Dia ingin berkahwin secara tertutup di pulau seperti dua teman rapatnya, Tony Leung dan Carina Lau yang berkahwin pada 21 Julai di Bhutan," kata satu sumber.
Malah pada bulan April lalu, Andy telah memberitahu media Taiwan bahawa dia sudah bersedia untuk menjadi suami dan ayah. Kenyataan itu menyakinkan ramai bahawa Andy adalah serius kali ini kerana dia tidak pernah bercerita mengenai kehidupan peribadinya kepada umum selama ini.
Bukan itu sahaja, Andy yang telah mengurangkan penglibatannya dalam dunia hiburan tahun lalu seolah-olah sedang menyediakan diri untuk memasuki alam perkahwinan.
"Mereka dilaporkan pernah membeli tanah di sekitar Kuala Lumpur dengan harga HK$20 juta (RM9.3 juta) untuk membina rumah. Rumah itu dikatakan dikawal rapat dan ditanam dengan bunga kegemaran Carol.
"Selain daripada itu, Andy juga dikatakan telah melabur sebanyak HK$10 juta (RM4.65 juta) untuk membuka sebuah syarikat agensi pelancongan di Hong Kong lapan tahun lalu. Itu adalah antara bukti cinta Andy yang menyukai sifat sederhana dan lemah-lembut Carol," tambah sumber itu.
Namun, ada yang mendakwa semenjak tahun 1986 hingga 2008, pasangan ini telah berkahwin banyak kali dan melahirkan anak bersama. Menurut majalah Next, Andy telah menjalin hubungan bersama Carol selama 23 tahun, dan mereka telah berkahwin di Kanada pada tahun 1992.
Bukan sahaja spekulasi itu yang timbul kerana ada pihak yang mendakwa bahawa pasangan ini memiliki sepasang anak kembar perempuan berusia 16 tahun dan kini sedang belajar di United Kingdom.
Mungkin hubungan antara Carol sudah boleh disahkan tetapi anak kembar milik Andy ini masih menjadi persoalan. Tetapi jika diikutkan kenyataan daripada kawan baik Andy, Ken Tong, Andy masih belum bergelar ayah.
"Saya tidak pasti sama ada Andy sudah lama bersama Carol. Baguslah jika mereka benar-benar ingin berkahwin kerana dia sudah terlalu 'tua' untuk berkahwin. Jika dia tidak berkahwin dan mempunyai anak, dia akan menjadi terlalu tua untuk mencapai matlamat itu nanti.
"Cuma apa yang pasti adalah, Andy tidak mempunyai anak. Tetapi adakah mereka akan melahirkan anak? Itu saya tidak pasti," ujar Ken.
Sungguhpun ada laporan yang menyatakan Andy bakal berkahwin tahun ini, namun persoalannya adakah Andy serius akan berkahwin kali ini?
Bukannya bersifat negatif tetapi berita mengenai Andy bakal berkahwin sudah pun menghiasi dada akhbar untuk sekian lama. Nampaknya sehingga ke hari ini, kita hanya boleh tunggu dan lihat bila sebenarnya Andy dan Carol akan disatukan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: